Oleh Faiz Fadzil
Dunia dikejutkan dengan siri pengeboman di beberapa negara termasuk Perancis, Turki dan terkini Indonesia.
Pemuda Amanah mengecam tindakan sebegini yang tidak Islamik dan tidak bertamadun.
Islam agama yang membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia, malah
seluruh alam. Islam menganjurkan keamanan negara, kemakmuran hidup
rakyat dan keharmonian antara kaum.
Amat malang jika pengeboman sebegini dilakukan oleh militan orang Islam
seperti kumpulan Isis yang sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam.
Kejadian sebegini akan meningkatkan lagi sentimen Islamophobia. Keganasan dan ekstrimisme bukan metod dakwah Islam.
Pendekatan Islam adalah wasatiah dan sederhana.
Allah memerintahkan hambaNya berdakwah dengan bijak dan nasihat yang baik (an-Nahl, ayat 125).
Justeru, Pemuda Amanah percaya keganasan sebegini disumbangkan oleh
salah faham tentang ajaran Islam yang sebenar dan sikap taksub atau
fanatik terhadap agama dan bangsa.
Pemuda Amanah tegas menolak ajaran dan fahaman sebegini.
Masyarakat negara ini cukup bimbang sekiranya agenda ekstrimisme
sebegini menyerap masuk ke negara ini. Usaha semua pihak terutama pihak
kerajaan bagi membendung ekstrimisme perlu diberikan perhatian serius.
Mendidik rakyat terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi dan
kempen anti-ekstrimisme adalah usaha efisyen bagi membendung ancaman
ini.
Tindakan undang-undang jika diambil hendaklah berpaksikan kepada
keadilan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Keselamatan negara
hendaklah diimbangi dengan kebebasan dan hak yang dijamin perlembagaan
dan nilai sejagat.
Namun, usah pula kerajaan menggunakan alasan menyekat keganasan untuk
justifikasikan undang-undang drakonian seperti Pota, Sosma dan Majlis
Keselamatan Negara (MKN). Sesungguhnya kezaliman tidak menyelesaikan
kesulitan ini.
Jangan kerana mahu mempertahankan kuasa, Umno terus meniupkan sentimen
perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa kepada Cina jika Umno hilang
kuasanya.
Sesungguhnya, khurafat dan hegemoni ini yang boleh menimbulkan
ketakutan di kalangan masyarakat Melayu, yang boleh menyemarakkan
semangat ekstrimisme yang akhirnya merugikan negara dan rakyat jika ia
berakhir dengan tindakan-tindakan keganasan.
Amat menghairankan bila kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap
golongan yang bermain api perkauman termasuk kumpulan baju merah. Sikap
pilih bulu kerajaan tidak menguntungkan rakyat pelbagai kaum di negara
ini.
Pemuda Amanah menyeru agar sentimen perkauman dan fahaman ekstrimisme
dihindari bermula hari ini demi kejayaan negara jutaan hari yang
mendatang. –
* Faiz Fadzil ialah timbalan ketua Pemuda Amanah.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan