Home » , » Masalah negara bukan Mukhriz tapi Najib, tegas Mahfuz

Masalah negara bukan Mukhriz tapi Najib, tegas Mahfuz

Written By Wadah Baru on Isnin, 1 Februari 2016 | 3:40 PTG

Oleh HAZAYANI ZAKARIA 

Tindakan mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Seri
Mukhriz Mahathir bukan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat Kedah tidak berminat untuk mengetahui calon menteri besar baharu sebaliknya mahu mengetahui sebab menteri besar perlu ditukar.

“Persoalan kemelut politik Kedah masih berterusan tanpa ada penyelesaian berteraskan kedamaian dan keinsafan. Penyelesaian yang dicari hanya berteraskan dendam untuk melenyapkan musuh politik Putrajaya. Penyelesaian tanpa melihat kepada hati nurani dan akal budi rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mahfuz juga menegaskan, mudarat yang lebih besar kepada negara bukan menteri besar Kedah sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Usaha menggulingkan Mukhriz tidak akan menyelesaikan segala beban kos sara hidup rakyat dan tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Adakah dengan menyempurna agenda politik dendam Putrajaya terhadap Mukhriz, ekonomi Malaysia akan pulih, nilai mata wang Malaysia akan pulih dan kukuh, pendapatan negara akan bertambah?

“Pulihkah keyakinan pelabur terhadap Malaysia dengan buang Mukhriz? Apakah harga getah dan kelapa sawit akan meningkat?

"Apakah dengan gugurnya Mukhriz sebagai menteri besar akan selesaikan segala masalah beban kos sara hidup rakyat?” soalnya yang juga Yang Dipertua PAS Pokok Sena.

Rakyat Kedah bukan lembu dicucuk hidung

Mahfuz juga yakin rakyat Kedah bijak dalam membuat keputusan berkaitan krisis yang berlaku dan tidak akan terpedaya dengam politik dendam yang diamalkan sebahagian pemimpin Umno negeri itu.

“Saya percaya rakyat Kedah bukannya boleh dibuat lembu dicucuk hidung. Mungkin ada beberapa kerat Ahli Parlimen dan Adun serta Ketua Umno Bahagian yang boleh jadi seperti lembu dicucuk hidung, tetapi tidak kepada majoriti rakyat Kedah yang punya hati nurani dan akal budi yang tinggi,” katanya lagi.

Justeru beliau memohon agar Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan tidak dilibatkan dalam krisi politik yang didakwa tidak beradab ini.

“Kedegilan politik yang tidak bertempat yang memaksa serta mengheret Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menyelesai masalah dalaman Umno sekaligus menyempurna agenda politik peribadi Najib yang giat menghapus musuh politik beliau,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, sebahagian anggota Exco Kedah tidak menghadiri mesyuarat.

Tindakan itu bukan saja melanggar ikrar mereka kepada sultan malah menyebabkan pihak istana murka.

Keengganan exco berkenaan menghadiri mesyuarat pada menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan diatur kerajaan negeri untuk pembangunan rakyat di negeri berkenaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger