Home » , » Polemik Kedah menguji cinta Hadi

Polemik Kedah menguji cinta Hadi

Written By Wadah Baru on Selasa, 2 Februari 2016 | 4:19 PTG

Oleh Muammar Qaddafi

Berakhirnya jam 12 tengah malam 31 Januari 2016 merupakan satu kemenangan buat Datuk Seri
Mukhriz Mahathir apabila perancangan Datuk Seri Najib Razak melalui Datuk Seri Ahmad Bashah gagal sebagaimana yang dirancang.

Najib seakan terlupa siapa lawan beliau, mungkin kerana zahirnya beliau hanya melihat pada sosok Mukhriz selaku pengerusi perhubungan Umno Kedah dan menteri besar Kedah, jadi siapalah Mukhriz dibandingkan Najib iaitu presiden Umno dan perdana menteri Malaysia.

Najib terlupa di belakang Mukhriz adalah pengasas ‘Umno Baru’ dan orang yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Tindakan Najib mahu menyingkirkan Mukhriz pun rakyat sedia maklum bukan kerana sosok Mukhriz itu sendiri tetapi kerana kritikan keras Mahathir terhadap skandal dalam negara yang sedikit sebanyak mengganggu gugat pentadbiran Najib. Maka secara tidak langsung ini sebenarnya peperangan antara Najib dan Mahathir dimana Mukhriz tersepit di tengahnya.

Kegagalan Najib menerusi Bashah secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada imej politik beliau dan jika usaha mendatang juga gagal maka Najib perlu maklum zahirnya kedudukan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri Malaysia tidaklah seberapa apabila terpaksa tunduk kepada pengerusi perhubungan negeri dan menteri besar sahaja.

Khabar yang mendakwa hanya 8 orang Adun Umno yang bersetuju untuk menukar Mukhriz ternyata benar dan ia sekaligus menutup ruang untuk Najib mengambil langkah seterusnya kecuali beliau (Najib) sanggup meminta bantuan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminjamkan Adun PAS seramai 9 orang bagi mengelakkan malu Najib bertambah besar.

Berbekal dengan sokongan 2 Adun MCA yang dikatakan berkecuali, 9 Adun PAS dan 8 Adun Umno akan membuka ruang kepada Najib menyingkirkan Mukhriz secara sah.

Di sinilah setia kawan PAS teruji, adakah benar mereka mendakwa mereka sudah memaafkan Umno dan sudi bekerjasama kearah kebaikan.

Jika Hadi menolak, mungkin perjuangan hudud mereka juga kelak tidak akan disokong Umno dan jika mereka menerima maka itu sebagai tanda keikhlasan persahabatan parti Islam terbesar dengan parti Melayu terbesar itu.

Pun begitu, sekiranya kerjasama ini dapat dibentuk, Najib tetap berhadapan risiko 2 Adun PAS Kedah yang mendapat jolokan "Harum manis" iaitu  kumpulan pro perubahan dan bercita-cita menjatuhkan Umno yang mungkin menolak arahan kerjasama ini.

Pada masa yang sama 2 Adun MCA yang berkecuali ini juga dikhabarkan lebih cenderung kepada kepimpinan Mukhriz dan tidak sebulu dengan Bashah.

Sesuatu yang lebih menarik di Kedah mungkin berlaku jika wujud kerjasama Umno-PAS adalah MCA Kedah mungkin memilih untuk bersama Mukhriz dan tidak lagi sebulu dengan Umno Pusat.

Najib sebenarnya berjaya memecahkan Umno sebagaimana kumpulan pro-ulama dalam PAS memecahkan PAS seterusnya membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah), cuma yang menjadi persoalan adakah wujud tokoh tersingkir dari Umno untuk bertindak serupa menubuhkan parti alternatif kepada rakyat mengantikan parti yang sudah usang dan tua itu.

Sekiranya langkah kerjasama PAS-Umno yang menjadi pilihan terbaik Najib untuk mengelakkan beliau malu besar juga gagal, maka kedua-dua pihak akan menanggung malu juga.

Seterusnya cengkaman Mukhriz terhadap kerusi menteri besar Kedah akan terus kukuh untuk sepenggal ini walaupun secara tidak langsung, Mukhriz adalah menteri besar tidak cukup syarat kerana gagal mendapatkan sokongan sekurangnya-kurangnya 19 Adun Barisan NAsional (BN) dan setiap hari kedudukan beliau adalah tidak selama kecualilah beliau berani mengambil risiko membubarkan DUN dan kembalikan kuasa memilih kepada rakyat negeri Kedah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger