Home » » Amanah buka pintu untuk Dr Mahathir

Amanah buka pintu untuk Dr Mahathir

Written By Wadah Baru on Rabu, 2 Mac 2016 | 2:21 PTG

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengundurannya daripada Umno, Parti Amanah
Negara (Amanah) “membuka pintu” kepada bekas perdana menteri itu dan mana-mana pihak bagi mengadakan sebarang rundingan atau menjalin kerjasama bersama mereka, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Presiden Amanah Mohamad Sabu, tindakan Dr Mahathir meninggalkan Umno demi menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan satu perkara serius.

Mohamad yang lebih dikenali dengan Mat Sabu berkata, jalinan kerjasama antara Amanah dan pengkritik utama Najib itu boleh dizahirkan menerusi penyertaan dalam pelbagai perkara termasuk kenyataan bersama, perhimpunan dan sebagainya.

“Kita bersama, bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir. Rancangan itu sedang dibincangkan dan kita akan umumkan tentang program-program tersebut dari semasa ke semasa.

“Cuma saya minta pihak Dr Mahathir dan lain-lain untuk umumkannya dan kita akan bincang perkara ini dari semasa ke semasa, sama ada perlu hadir atau membuat kenyataan secara bersama,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada pengunduran Dr Mahathir dalam Umno akan memberi kesan kepada parti berkenaan, Mohamad berkata, tindakan itu bakal menjejaskan undi rakyat terhadap  Barisan Nasional (BN).

“Itu kita tidak dapat nilai kesannya dalam jangka masa singkat.

“Kita akan lihat perkembangan dalam masa terdekat, tetapi Amanah yakin sebarang pergolakan akan beri kesan kepada rakyat dan kita terus menghasut rakyat supaya menolak kerajaan BN,” katanya

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger