Sejak diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun 1973, 1 Mei telah diangkat sebagai tarikh keramat untuk menghargai khidmat, keringat dan penat lelah warga pekerja serta meraikan jasa dan bakti mereka yang tidak terbalas.
Wajar diakui bahawa setiap pekerja telah berganding bahu berusaha dan menyumbang terhadap pembangunan negara menurut kemampuan dan bidang tugas masing-masing, demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Namun ironinya, saban hari, rata-rata warga pekerja terpaksa menempuh beban kerja yang bertambah sedangkan kenaikan upah atau gaji jelas tidak setimpal, jauh ketinggalan di belakang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan rentetan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Lebih memburukkan keadaan apabila gaji minimum yang ditetapkan kerajaan langsung tidak berpadanan dengan keadaan hidup masa kini, malah tidak masuk akal terutama dalam konteks warga penduduk Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Lantas sesuatu perlu dilakukan. 1 Mei adalah simbol perjuangan. Tidak sedikit mereka yang terkorban semata-mata ingin menuntut hak bekerja selama lapan jam dan penerimaan gaji bulanan.
Dahulunya semua ini seakan-akan satu utopia yang tidak mudah digapai. Namun segalanya terealisasi hari ini. Kita percaya bahawa dengan semangat juang yang utuh, di samping faktor ilmu dan desakan perubahan, tiada tuntutan yang mustahil dalam kamus hidup kita.
Kini Sarawak sedang memilih. Memilih pemimpin yang bakal diberikan mandat untuk lima tahun lagi untuk duduk di Dewan Undangan Negeri.
Dalam keadaan Malaysia dibelit skandal gila 1MDB yang berkait langsung dengan pengerusi BN, tiada jaminan bahawa gabungan ini mampu menggalas mandat dengan amanah dan jujur. Apatah lagi dengan persetujuan #Sarawak4Najib yang dipimpin Adenan Satem sebelum ini, ia seakan-akan meranapkan impian perubahan Sarawak.
Dengan roh dan semangat perjuangan Hari Pekerja ini, kita meyakini Sarawak mampu melakukan perubahan.
Pastikan lima tahun mendatang ini rakyat Sarawak benar-benar bebas dikaitkan dengan mimpi hitam Najib Razak dan Taib Mahmud. Kita tidak mampu mengekalkan pemimpin yang masih tidak bebas dengan elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Biarlah untuk lima tahun ke depan ini, Sarawak memilih untuk benar-benar bebas daripada legasi dan igauan buruk BN!
--------------------------
SANY HAMZAN ialah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara
0 ulasan:
Catat Ulasan