Home » » Keputusan PRN Sarawak Berjaya Perkenal Amanah Dan Iktibar Untuk Kerja Lebih Kuat Dalam PRU 14

Keputusan PRN Sarawak Berjaya Perkenal Amanah Dan Iktibar Untuk Kerja Lebih Kuat Dalam PRU 14

Written By Wadah Baru on Ahad, 8 Mei 2016 | 9:42 PG


Parti Amanah Negara (AMANAH) yang baru dibentuk tujuh bulan lalu telah diuji dengan pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berlangsung hari ini dengan AMANAH bertanding di 13 kerusi. Keputusan rasmi telahpun kita ketahui di mana kita tidak berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

2. Biarpun begitu, keputusan hari ini menunjukkan penerimaan rakyat Sarawak terhadap AMANAH sangat baik sekaligus meletakkan parti ini mempunyai masa depan yang cerah untuk terus subur di Bumi Kenyalang.
3. PRN Sarawak kali ini secara tradisinya memperlihatkan bahawa proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan pencerobohan demokrasi begitu ketara oleh BN sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

4. Tindakan BN Sarawak menghalang petugas parti pembangkang khususnya dari AMANAH, PKR dan DAP telah memberi kesan psikologi kepada pengundi. Penyalahgunaan media, pengumuman projek segera oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri serta fitnah melampau tidak mampu dijawab parti pembangkang yang tidak mempunyai saluran seimbang dengan pemerintah.

5. Selain itu faktor ketidak seragaman Pakatan Harapan khususnya pertembungan kerusi sesama sendiri juga menyumbang kepada keadaan ini. Pakatan Harapan dilihat tidak turun sebagai satu pasukan dalam menghadapi BN di Sarawak. Semoga keputusan pilihan raya ini menjadi iktibar kepada Pakatan Harapan untuk PRU akan datang.

6. Bagaimanapun saya berpuas hati dengan kerja yang dibuat oleh petugas-petugas AMANAH yang diketuai oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub. Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh petugas yang bertungkus-lumus sepanjang PRN Sarawak berlangsung.

7. Keputusan PRN Sarawak ini memberi rangsangan kepada AMANAH untuk terus bergerak ditengah-tengah masyarakat dalam arena politik demokrasi tempang di Malaysia ini. Kita akan berusaha habis-habisan untuk muncul sebagai pemenang utama pada PRU akan datang.

"Harapan Baru"
HJ MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger