Home » , » Pilihanraya untuk membela rakyat bukan menunjuk hebat

Pilihanraya untuk membela rakyat bukan menunjuk hebat

Written By Wadah Baru on Isnin, 16 Mei 2016 | 5:00 PTG

Oleh RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH 

Pilihanraya Sarawak sepatutnya membuka mata seluas luasnya semua pihak terutamanya pembangkang tentang apa yang patut di beri keutamaan.

Apa yang paling penting semua pihak mesti menundukan 'Ego' masing masing dan mempersadakan kepentingan rakyat yang makin keliru.

Kalau masing-masing terlalu asyik dengan kepentingan dan kehebatan diri serta parti sendiri rakyat akan terus keliru.

Hanya Allah yang maha agung dan sempurna dan kita semua adalah hambanya sahaja. Lagi cepat kita sedar dan insaf dengan sifat kehebatan diri lagi baik untuk rakyat yang kian menderita.

Tiada parti atau individu yang sempurna dan pihak pembangkang memerlukan satu antara lain. Semangat berpasukan diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi musuh. Setiap individu mempunyai keistemewaan tersendiri kurniaan Allah s.w.t. dan kerana itulah kita di ciptakan untuk ujud dalam satu masyarakat bersaudara.

Tiada puak atau individu patut merasa dirinya sempurna dan banyak kelebihan. Oleh itu pembangkang perlu bersatu dan mengenepikan perbezaan ideologi yang sempit dan kepentingkan diri.

PRN Sarawak telah menunjukkan akibat buruk kesan persengketaan sesama pembangkang. Pertindihan kerusi sesama pembangkang di kesali oleh rakyat.

Kepentingan peribadi serta parti mesti diketepikan. Pakatan Harapan telah di tubuh untuk menyatukan pembangkang termasuk Pas yang telah dijemput pada awal dahulu lagi dan masih berperluang bersama.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar amat kritikal untuk pembangkang menjelang PRU 14. Gesaan Menteri Umno Dato Seri Nazri Aziz pada 10 Mei supaya Pas bertanding di Kuala Kangsar dan bertembung dengan wakil Pakatan Harapan dalam pertandingan tiga penjuru bersama Umno menunjukkan pertembungan ini yang Barisan Nasional (BN) harapkan yang akan terus merosakkan dan menghancurkan pembangkang.

Mengapa harus kita terus masuk perangkap yang jelas di sediakan oleh musuh kalau kita serius membela rakyat yang dahagakan perubahan. Di mana letaknya untung pihak pembangkang membenarkan diri terus di heret kedalam perangkap demi perangkap?Adakah semata mata untuk dilihat hebat dan gagah walaupun realiti di Sarawak menunjukan keputusan yang menyedihkan. Inilah di katakan 'menang sorak, (kononnya hebat), kampung tergadai'!

Sikap inilah yang menyebabkan bilangan keluar mengundi di Sarawak begitu rendah hanya 50 peratus di tengah hari kerana rakyat muak dan jemu sikap angkuh pembangkang yang masing-masing menggelarkan diri sendiri juara yang hebat.

Pembangkang akan terus mundur sehingga ada kematangan dan pengorbanan yang bermakna. Inilah masanya semua pihak bermuhasabah diri atas kekerdilan diri berseorangan yang lemah dimata Allah dan patut bersatu dibawah kumpulan yang lebih besar dan ikhlas membela rakyat.

Adakah perjuangan pembangkang hanya untuk mendabek dada atas kehebatan diri masing masing atau perjuangan untuk membela rakyat marhaen? Inilah persoalan dari rakyat sekarang.

Pilihan raya adalah gelanggang untuk membela rakyat bukan gelanggang menunjuk kehebatan kepada rakyat!.

Marilah kita bersama-sama mencari jalan ke arah pembelaan nasib rakyat InSya’Allah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger