Home » , » DAP akan menang mudah pilihan raya Pulau Pinang, kata penganalisis

DAP akan menang mudah pilihan raya Pulau Pinang, kata penganalisis

Written By Wadah Baru on Jumaat, 22 Julai 2016 | 4:07 PTG

PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik meramalkan DAP akan kekal berkuasa di Pulau Pinang sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan sebelum PRU14.
Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata walaupun trend sokongan pengundi Cina mula kembali kepada Barisan Nasional (BN), ia masih belum mampu mempengaruhi majoriti pengundi bukan Melayu di Pulau Pinang menolak DAP.
“Tujuan PRN mungkin untuk kukuhkan semula kedudukan dalam parti selepas pendakwaan ketua menteri (Lim Guan Eng). Saya percaya DAP akan kekal berkuasa walaupun PRN ditolak oleh majoriti pengundi yang melihat ia sebagai pembaziran,” katanya kepada FMT.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan serupa, dan berkata sukar pentadbiran DAP digugat memandangkan Pulau Pinang merupakan kubu kuat parti itu walaupun prestasi pembangkang di mata rakyat kurang memuaskan.
“Bagi pengundi Pulau Pinang, saya percaya mereka lebih cenderung kepada DAP. MCA dan Gerakan belum cukup kuat lagi mengatasi DAP di Pulau Pinang.
“Saya kira pembangkang mampu mempertahankan (kerusi) tapi sukar menambah kerana BN dan krisis PAS dan Amanah,” katanya.
Azman bagaimanapun tidak menolak kedudukan DAP dan PKR di kawasan majoriti Melayu sedikit goyang berdasarkan kepuusan dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum ini.
“Saya rasa mungkin majoriti undi (DAP, PKR dan PAS) berkurangan kerana pakatan pembangkang yang tidak bersatu menghadapi kekuatan jentera BN seluruh Malaysia di Pulau Pinang.
“Saya rasa BN boleh mengambil peluang, memandangkan pengundi Cina menunjukkan tanda-tanda kembali menyokong BN.
“Ini ada kelebihan kepada BN untuk meningkatkan majoriti sokongan pengundi Cina,” kata seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger