Home » , » Onak Dan Duri Kembara Politik LGE Yang Tetap Berwarna Warni.

Onak Dan Duri Kembara Politik LGE Yang Tetap Berwarna Warni.

Written By Wadah Baru on Rabu, 27 Julai 2016 | 4:21 PTG


Oleh Hayar Hassan 
Seluroh negara telah mengetahui apa yang telah terjadi kepada Saudara Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agong DAP. Beliau telah dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa.  Semua orang memberikan komen terutamanya politikus-politikus parti pemerintah atau pun daripada parti-parti pembangkang. Kelihatannya strategi-srategi BN untuk memporakperandakan pakatan pembangkang menjelang PRU ke 14 sedang diteruskan. 

Dalam sistem demokrasi, masing-masing punya hak untuk bersuara untuk menyatakan pendapat. Cuma dewasa ini , ada sedikit kelainan terhadap amalan demokrasi di Malaysia. Banyak akta dan perundangan yang boleh menyebabkan anda boleh didakwa atas alasan tulisan dan percakapan anda di khalayak ramai telah menyinggung hati dan perasaan individu-individu tertentu.
 Kes terbaru, dikatakan seorang warga emas berumur 76 tahun daripada Johor telah direman selama tiga hari semata-mata kerana telah menulis sesuatu yang dikatakan telah menjatuhkan maruah PM di dalam kumpulan " What's group" nya. Rupanya ber"title"kan warga emas pun tidak banyak keistimewaan. Seperti orang lain juga , warga emas terpaksa membayar GST dan terdedah kepada direman oleh pihak berkuasa apabila keadaan memerlukan. Warga emas cuma mendapat diskaun bayaran tiket KTM apabila menggunakan ETS. 

Rupanya di  zaman serba canggih ini, jenayah-jenayah juga bertukar wajah. Dahulu, masyarakat hanya tahu bahawa anda telah melakukan jenayah sekiranya anda mencuri, merompak, membunuh, mencederakan orang lain dan lain-lain lagi. Sekarang ini hanya dengan menulis di alam maya anda boleh didakwa seandainya tulisan anda itu bersifat fitnah, dusta atau pun menghina sesaorang. Di dalam Islam, kita juga diajarkan begitu. Namun demikian, kita dibolehkan untuk membuka aib sesaorang seandainya perbuatan itu boleh menghindarkan orang lain terinanya. 

Contohnya kita membuka aib seorang pemuda yang terbukti sering menipu dan memperdayakan gadis-gadis  dan keluarga mereka. Apabila kita menceritakan kebejatan pemuda berkenaan kepada bakal keluarga gadis lain yang bakal akan dipinangnya. Ini adalah dibenarkan malah dituntut agar keluarga dan gadis tersebut selamat daripada tertipu oleh pemuda bejat itu.  Demikian lah indah dan lengkapnya ajaran agama Islam. Cuma kita kena pandai menjejaki ilmu-ilmu yang bermanafaat dari guru-guru agama yang amanah dalam memberikan kuliah, bukan sebarangan orang yang bergelar Al Fadil Ustaz !.

Kembali kepada tribulasi yang sedang dialami oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng, ini bukanlah pertama kali beliau dituduh di mahkamah Malaysia. Pada tahun 1994, LGE yang pada waktu itu sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka, telah disabitkan penjara selama 18 bulan berkaitan kes pencabulan gadis remaja Melayu bawah umur. Sebelum itu, pada tahun 1987, Saudara LGE telah ditahan selama 18 bulan juga dibawah  ISA dalam " Operasi Lalang " bersama-sama dengan beberapa tokoh-tokoh parti pembangkang. 

Oleh yang demikian kes mahkamah , penjara dan tahanan tanpa bicara bukan lah perkara baru bagi tokoh pembangkang ini yang bernama LGE ! Tidak menghairankan apabila beliau mampu memberi komen, " Saya rela mati berdiri , daripada melutut tunduk kepada mereka !". Itu lah semangat dan prinsip seorang pejuang , rela menghadapi risiko dan sebarang tribulasi. Rupanya DSAI sudah mempunyai teman yang kental dan berhati waja dalam perjuangan ini. Semoga kedua-dua keluarga besar tokoh-tokoh ini bersabar dan tenang menghadapi mehnah ini. Kata pepatah Melayu lama , " Usah berumah di tepi pantai, kalau takut dilambung ombak". Ujian dan tribulasi yang terlalu berat seperti yang telah dan sedang dialami oleh DSAI dan LGE pastinya tidak akan dialami oleh politikus-politus parti pemerintah. Apa yang termampu dibuat oleh mereka adalah berundur daripada aktif berpolitik atau pun diberikan jawatan-jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat Kerajaan.

Menyorot kembali kepada kisah sedih terkini Saudara YAB Lim Guan Eng,   Hampir setiap orang mahu memberikan pendapat, cumanya banyak yang tidak berani dan amat berhati-hati kerana takut dikatakan menghina mahkamah atau pun bakal diambil tindakan oleh parti DAP. Kita tahu bahawa DAP mempunyai pasukan peguamnya yang hebat dan disegani oleh semua orang. Telah banyak kali LGE menerima wang ganti rugi daripada individu atau syarikat-syarikat akhbar yang ternyata telah memfitnahnya.

Keberadaan begitu ramai peguam-peguam hebat seperti mendiang Karpal Singh dalam DAP adalah suatu kelebihan kepada parti itu. Mendiang Karpal Singh, Pengerusi DAP Pusat bukan sahaja hebat berhujah di mahkamah, tetapi mempunyai keberanian yang luar biasa. Hanya beliau seorang yang terlalu berani bersuara atas perkara-perkara yang terlalu sensitif ! Orang lain hanya diam membisu sambil mengerut dahi . Oleh yang demikian, amat wajar sekali Kerajaan PR Pulau Pinang memberikan penghormatan kepada mendiang dengan menamakan sebatang jalanraya di Pulau Pinang sebagai Jalan Karpal Singh.

Almarhum TGNA sendiri amat hormat kepada mendiang Karpal Singh. Kita ingat lagi bagaimana Almarhum TGNA bersusah payah telah datang ke rumah mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang daripada Kota Baru Kelantan, semata-mata untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran mendiang Karpal Singh dengan membawa sebiji kek harijadi. Ini adalah suatu sentuhan TGNA yang di luar jangkaan orang ramai memandangkan mendiang Karpal Singh tidak pernah setuju dengan cadangan Hudud PAS.  Kedua-dua tokoh lagenda ini memang dapat beramal dan mempraktikkan slogan" We agreed to disagree". Walau pun berbeza pendapat, kedua-dua tokoh ini masih dapat berkawan dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Rupanya simpati rakyat terhadap Saudara LGE amat besar sekali dan di luar jangkaan musuh-musuh politiknya. Dalam masa hanya lebih kurang 21 jam setelah keluar berita beliau ditahan oleh SPRM, Tabung Bantuan LGE yang telah diusahakan oleh DAP telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak 1 juta ! Belum pernah terjadi dalam sejarah Malaysia, seorang terduduh di mahkamah menerima sumbangan derma sebagitu besar dan dalam waktu yang singkat ! Luar biasa sekali. Pada pagi hari Ahad berikutnya, tanggal 3 Julai 2016, sekitar 3 ribu orang simpatisan LGE turut bersama dalam acara " Morning Walk With LGE " di Esplanade Georgetown, Pulau Pinang. 

Seusai acara " Morning Walk With LGE" itu,  semua penyokong PH dan saya sendiri telah berkumpul di Dewan Sri Pinang untuk mendengar sendiri taklimat khas atas isu berkenaan daripada pemimpin-pemimpin PH. Semua tempat duduk dewan berkenaan telah dipenuhi oleh orang ramai walau pun ianya diadakan pada bulan Ramadhan. Melihatkan kepada tepukan gemuruh yang telah diberikan oleh orang ramai kepada setiap ucapan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin PH, saya berkeyakinan bahawa PH akan terus menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas PRU ke 14 nanti. Aura reformasi yang tercetus pada tahun 1998 ekoran daripada penangkapan DSAI , seolah-olah hidup kembali ! Rakyat sepertinya  tidak gentar untuk menyatakan pendirian mereka walau pun hadir bersama-sama di dewan berkenaan adalah SB-SB! 

Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa boleh duduk bersama dan bertepuk tangan memberikan sokongan kepada LGE. Pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PAN kelihatannya padu sekali memberikan sokongan solidariti kepada LGE. Semua pimpinan PR sebulat suara menyatakan bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dihadapkan kepada LGE adalah merupakan pertuduhan-pertuduhan yang berbau politik. Hikmahnya kepada PH adalah pemimpin-pemimpin pelbagai parti itu cepat membuat ketetapan-ketetapan bersama dalam sebarang isu. Pendirian mereka adalah sama dan sekata. Belum tentu suasana maufakat sebegini boleh wujud seandainya PAS ada bersama dalam PH! 

Walau apa pun, satu waktu dulu, di dalam PAS itu sendiri masih ada ahli-ahlinya yang mengkagumi Saudara LGE. Contohnya, pada bulan Ogos tahun 2010, Ustaz Zakaria Ahmad, Mudir Maahad Tarbiah Changkat Jering dalam khutbah Jumaatnya di sebuah Masjid di Pulau Pinang telah berdoa agar Saudara LGE diberikan Allah SWT hidayah dan memeluk Agama Islam. Ustaz Zakaria Ahmad adalah  merupakan adinda kepada SS Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu, Dato Hassan Ahmad. Ada pihak tertentu telah membuat laporan polis terhadap Ustaz Zakaria Ahmad. Akhbar-akhbar aliran perdana pula sibuk mempermainkan isu khutbah Jumaat kontroversi itu, sehinggakan Ustaz Zakaria Ahmad telah dipanggil oleh MAIPP. Mujurlah Ustaz Zakaria Ahmad tidak didakwa.

Ada pendapat menyatakan bahawa berdoa  untuk orang yang masih bukan Islam agar diberikan hidayah oleh Allah SWT supaya memeluk Islam adalah dibolehkan. Yang tidak dibenarkan adalah mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam. Mudah-mudahan doa Ustaz Zakaria Ahmad itu akhirnya dimakbulkan jua oleh Allah SWT. Amiin.

Di peringkat antarabangsa pula, dua pertubuhan telah membantah akan pertuduhan-pertuduhan ini. Progressive Alliance yang merupakan himpunan 130 parti-parti politik  daripada 180 negara dan Network Of Social Democracy In Asia ( Socdem Asia ) turut prihatin terhadap musibah yang telah ditimpakan kepada Saudara LGE. Dua pertubuhan ini kesal di atas tindakan pertuduhan-pertuduhan tersebut.

Kelihatannya Strategi-Strategi Untuk Memporakperandakan Pembangkang sedang dilaksanakan oleh BN menjelang PRU ke 14. DSAI sendiri meramalkan bahawa mungkin ada lagi tokoh-tokoh pembangkang yang akan dibawa ke mahkamah selepas ini. Sebelum ini pun Saudara Mohamad Sabu, YB Saudara Rafizi Ramli dan YB Saudara Tian Chua  telah dituduh dimahkamah. Siapakah tokoh-tokoh lain yang akan menerima nasib yang sama seperti mereka itu ? Sama-sama lah kita tunggu dan lihat. Apa pun daripada pengalaman kes DSAI, kes mahkamah Saudara LGE ini pastinya akan mengambil masa yang panjang sehingga ianya selesai. 

Parti DAP pastinya akan disibukan dengan kes ini . Masa, tenaga dan wang ringgit mereka akan terpaksa ditumpukan kepada kes mahkamah ini. Keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi adalah bergantung kepada persaksian saksi-saksi dan bukti-bukti yang akan dibentangkan oleh pihak pendakwa. Pihak peguam bela pula akan mencuba sedaya upaya untuk menimbulkan keraguan terhadap bukti-bukti dan persaksian saksi-saksi pihak pendakwa.

Seperti kes liwat dan salah guna kuasa DSAI yang lalu, Mahkamah dan Sistem Kehakiman Malaysia akan sekali lagi diperhatikan dengan penuh minat oleh masyarakat antarabangsa. Kehebatan Peguam Negara juga akan diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat biasa, kita mengharapkan LGE akan mendapat pengadilan yang saksama kerana itu adalah hak seorang rakyat sebuah negara demokrasi. Sesaorang itu hanya didapati benar-benar bersalah setelah dibuktikan tanpa ragu-ragu oleh mahkamah. 


Terima kasih
Hayar Hassan 


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger