Home » , » Jamal Yunos tak faham isu, kata Maria Chin

Jamal Yunos tak faham isu, kata Maria Chin

Written By Wadah Baru on Rabu, 27 Julai 2016 | 4:19 PTG

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah mendakwa penganjur gerakan himpunan Baju Merah Datuk Jamal Yunos tidak memahami isu sebenar dan matlamat perhimpunan Bersih.

Beliau berkata ajakan Jamal untuk Bersih membuat himpunan supaya Lim Guan Eng letak jawatan, dan bukan protes mendesak Datuk Seri Najib Razak yang berhenti, tidak relevan.

Ini kerana katanya, tiada keperluan untuk Bersih membuat himpunan mendesak ketua menteri itu meletakkan jawatannya kerana masih belum terbukti beliau bersalah.

“Saya tidak tahu mengapa dia (Jamal) berkata begitu kerana objektif Bersih, seperti dalam Bersih 4, kita hendak mereformasikan institusi dan bukan untuk tujuan lain. Itu objektif kita.

“Jadi saya tidak faham mengapa kita nak turunkan Guan Eng? Saya rasa itu bukan mesej Bersih,” katanya
.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelawaan Jamal supaya Bersih mengadakan himpunan mendesak Guan Eng letak jawatan.

Sebelum ini, Bersih berkata perhimpunan mungkin akan diadakan mendesak peletakan jawatan perdana menteri susulan sidang media Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang memfailkan saman menyita aset dibeli daripada wang yang dicuri daripada 1MDB.

Terdahulu, Jamal berkata adalah lebih baik jika desakan terhadap Guan Eng dibuat kerana beliau sudah didakwa atas tuduhan rasuah, sedangkan Najib belum berdepan sebarang pendakwaan.

“Lebih baik mereka buat perhimpunan Bersih di Pulau Pinang, desak Guan Eng letak jawatan. Buat apa desak Najib, sedangkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali kata beliau tak bersalah dan duit rakyat tidak digunakan dalam isu 1MDB,” katanya.

Maria berkata perhimpunan Bersih dibuat kerana berpandangan institusi negara sedang dilemahkan dan bertambah lemah di bawah pentadbiran Najib.

“Jadi agenda Bersih ialah hendak mengukuhkan institusi ini. Kita tidak akan buat himpunan desak Guan Eng letak jawatan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger