Home » , » Biduk Berlalu Kiambang Bertaut & Manouvres Tun Dr Mahathir Mohamad

Biduk Berlalu Kiambang Bertaut & Manouvres Tun Dr Mahathir Mohamad

Written By Wadah Baru on Isnin, 19 September 2016 | 3:44 PTG

Oleh Hayar Hassan.

Sebelum ini, saya telah pernah menulis sekitar langkah Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas pindaan Perlembagaan yang menyebabkan kelulusan, tandatangan Yang di Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Impak terhadap pindaan Perlembagaan itu terlalu besar sekali. Banyak pihak menilai bahawa kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri Malaysia selepas pindaan tersebut adalah terlalu besar dan sukar untuk diganggugugat.

Namun demikian, seperti lazimnya, musuh-musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad memang cepat untuk menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ikhlas dalam permintaan maafnya, sekadar lakonan orang politik sahaja. Malah ada yang menyamakannya seperti filem “Bollywood” sahaja. Sepertinya, mudah meremehkan pandangan orang lain yang tidak sehaluan dengan kita sudah menjadi begitu lumrah bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi orang-orang politik.

Sepatutnya lontaran sesuatu idea daripada negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberikan perhatian kerana beliau adalah mantan Perdana Menteri Malaysia Ke 4. Sepatutnya idea yang bakal memberikan banyak manafaat itu dipertimbangkan dahulu, bukan diremehkan, walau pun ianya  datang daripada kelompok lawan kita. Budaya begini telah lama diamalkan oleh negara-negara maju.

Namun begitu, rupanya Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah seperti orang biasa. Beliau seorang yang kuat semangat, cekal dengan prinsip dan tidak mudah mengalah dengan sindiran dan tohmahan orang ramai. Seandainya beliau berpendapat sesuatu tindakannya betul, beliau akan terus mencuba tanpa ragu-ragu. Kalau kita imbau kembali , Tun Abdullah Ahmad Badawi akhirnya berundur juga dari jawatan Perdana Menteri ke 5, ekoran asakan bertalu-talu dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang-orang UMNO sendiri.  

Banyak orang berkata, dalam politik ini kita perlu banyak melaku“ manoeuvres “. Banyak “ manoeuvres” bukannya bermakna kita meninggalkan prinsip-prinsip perjuangan. Ianya adalah strategi dan sentuhan-sentuhan untuk menghasilkan apa yang kita perjuangkan.

Tanggal  5 September 2016, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi  perhatian umum rakyat Malaysia, apabila beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan sokongannya kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam usaha menyekat penguatkuasaan akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selanjutnya, Tun Dr Mahathir telah menghulurkan salam erat sambil bertanya khabar kepada DSAI dengan diperhatikan oleh ramai orang. Ada pihak yang menamakan peristiwa tersebut sebagai “Salam Bersejarah” . Kesanggupan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk datang sendiri bertemu DSAI adalah sesuatu yang mengejutkan dan mengharukan. Mana mungkin orang yang lebih tua, mantan Perdana Menteri pula datang sendiri menemui seorang banduan dan musuh ketatnya suatu waktu dulu.

“ Manoeuvres “ terkini Tun Dr Mahathir Mohamad ini telah menambahkan banyak kawan kepada beliau dan telah mengurangkan banyak musuh kepadanya. Betul lah seperti kata peribahasa Melayu, pertemuan dan salam erat antara dua tokoh tersebut umpama “ Biduk Berlalu, Kiambang Bertaut “.  Perbezaan pendapat dan perseteruan antara dua tokoh negarawan ini sewajarnyalah ditangani dengan baik dan dilupakan oleh keluarga dan sahabat-sahabat mereka.
Kelihatannya asakan Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya berundur daripada jawatan Perdana Menteri ke 6 melibatkan juga pihak pembangkang. Ini bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mempersiapkan strategi dan langkah yang lebih rapi dan mantap. Itu lah keistimewaan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau tidak akan mudah mengalah dan duduk diam selagi impiannya tidak tercapai. Harapan kita semua agar ianya dapat berjalan dengan baik dan dalam kerangka undang-undang yang dibenarkan. Kita tidak impikan suatu keadaan huruhara yang pastinya akan terus menjejaskan ekonomi dan keselamatan Negara.

Marilah kita mengambil hikmah daripada apa yang telah terjadi. Masalah ekonomi Negara yang tidak menentu, suasana politik yang bersimpang siur dan kesengsaraan rakyat menghadapi kos sara hidup yang sentiasa melonjak naik itu patut menjadi  agenda utama setiap pemimpin-pemimpin parti politik.

Ekoran daripada peristiwa “ Salam Bersejarah “ ini timbul ramalan bahawa UMNO/BN akan mengadakan PRU ke 14 sekitar bulan Mac 2017, sekitar enam (6) bulan sahaja lagi.  Melewat-lewatkan PRU ke 14 itu akan memberikan lebih masa kepada BERSATU untuk mengembangkan pengaruh, khususnya kepada orang-orang UMNO.

Terbaru,  telah ada suara mencabar agar MCA keluar daripada BN seandainya pemimpin-pemimpin MCA sudah tidak senang dengan cara pemimpin-pemimpin UMNO menerajui BN. Adakah UMNO sudah merasa terlalu kuat, sampai sudah tidak memerlukan lagi dokongan daripada MCA ! Kelihatannya sudah ada tanda-tanda keretakan dalam BN. MCA dan Gerakan sudah berani mempertikaikan sesetengah tindak tanduk pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka berpendapat merosotnya undi kepada BN pada PRU ke 12 dan 13 lalu adalah berpunca daripada kesilapan-kesilapan UMNO yang dilihat terlalu memperjuangkan fahaman Kebangsaan Melayu yang sempit.

Saya berpendapat “ manoeuvres ” yang telah dan sedang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak pembangkang sudah mula menampakkan hasilnya. UMNO/BN agak terkejut dan terus berada dalam keadaan yang keliru dan bingung. Komen-komen dan idea yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO pada waktu ini sepertinya tidak menarik perhatian rakyat, malahan sering dipertikaikan.

Terbaru lontaran idea yang dikemukakan oleh Tan Sri Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membenarkan pemaju-pemaju memberikan pinjaman kepada bakal-bakal pembeli rumah dengan kadar faedah yang  tinggi   ( sehingga 18% ). Idea gila ini, kata YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, juga telah diremehkan oleh Menteri Kewangan 2, YB Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi CIMB, Dato Seri Nazir Tun Abdul Razak.     

Sama-sama lah kita tunggu dan lihat “ manouvres “ politik seterusnya daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin parti pembangkang dalam usaha mereka mengalahkan BN dalam PRU ke 14 nanti. Saya menjangkakan bahawa seorang sosok yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad pastinya tidak akan berdiam diri selagi hayatnya ada untuk menggapai impiannya dan juga impian rakyat terbanyak. Semoga Negara ini terus aman dan makmor walaupun pemerintahnya bertukar tangan kerana yang lebih utama adalah kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Sekian, Terima Kasih.

Selamat Menyambut Hari Malaysia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger