Home » , » Persempadanan dijadikan alat pemisahan kaum

Persempadanan dijadikan alat pemisahan kaum

Written By Wadah Baru on Khamis, 22 September 2016 | 11:49 PG

Oleh Arif Atan

Syor persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya akan menghancurkan fabrik masyarakat di negara ini, tegas Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli.

Menurutnya, cadangan persempadanan selepas kali terakhir dilakukan pada 13 tahun lalu itu dilihat tidak munasabah berbeza dengan langkah sebelum ini.

“Walaupun dulu kita tidak sepenuhnya berpuas hati tetapi ada satu jumlah besar yang kita anggap kawasan campuran. Kawasan inilah kita anggap citra atau imej Malaysia.

“Sekarang, ramai pengundi Cina dipindahkan ke parlimen yang mereka jangka kalah. Pengundi Melayu pula ditambah di kawasan yang dianggap berpotensi menang.

“Itu satu strategi yang saya anggap keterlaluan dan hanya menghancurkan fabrik masyarakat kita untuk jangka panjang. Kita tidak mahu persempadanan ini jadi alat untuk memisahkan kaum,” katanya dalam wawancara ekslusif Malaysia Dateline di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, persempadanan kawasan pilihan raya harus mewakili komposisi masyarakat negara ini tetapi BN pada masa ini ketara menganggap kawasan bercampur akan merugikannya.

“Kawasan-kawasan yang ketika PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) lalu, pengundi Melayu dan bukan Melayu dalam jumlah lebih kurang sama, sekarang dikikis,” ujarnya.

Beliau yang juga salah seorang daripada sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya berkata, kawasan bercampur pada 2004 telah terbukti memberi kemenangan kepada BN.

“Untung rugi bergantung pada suasana, isu, kepimpinan dan prestasi kerajaan. Itu yang menentukan bukannya kedudukan kaum itu.

"Dari segi jangka panjang, kawasan bercampur membantu keharmonian kaum kita. Jangan anggap syor persempadanan pada masa sekarang sebagai ruang untuk menang sebaliknya fikirkan jangka panjang,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, terdapat dua peringkat untuk mengemukakan bantahan terhadap usul persempadanan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 itu.

“Di peringkat Pakatan Harapan, dua kerajaan negeri pimpinan kita diharap tampil membantah. Ada tiga pihak yang boleh membuat bantahan iaitu kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan kelompok pengundi seramai 100 orang dalam sesebuah kawasan.

“Di peringkat parti, Amanah akan membantah di semua kerusi yang berkaitan dengannya. Saya juga mendapat maklumat, rakan PKR dan DAP juga akan mengambil tindakan sama bagi kerusi masing-masing,” jelasnya lagi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bantahan terhadap Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah yang dipamerkan sejak 15 September lalu mesti sampai kepada pihaknya sebelum 14 Oktober.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger