“Daging kambing sekilo RM55. Mahal gila. Tahun ini saya tak ada mood
langsung nak sambut Deepavali. Tapi demi anak, saya terpaksa,” kongsi
pesanan ringkas dalam grup Whatsapp oleh seorang rakan.
Tahun 2016, nampaknya agak mencabar kepada semua. Daripada tahun-tahun sebelum, tahun ini berbeza.
Deepavali dulu dan kini, dulu bukan merujuk kepada era 80an atau 90an… tetapi 2015, 2014 dan sebelumnya.
Mungkin tahun depan boleh jadi lebih mencabar daripada sekarang.
Begitulah nampaknya, setiap tahun semakin menguji poket dan emosi.
“Saya tak buat shopping, kecuali untuk anak. Mujurlah mereka masih
kecil, semua saudara-mara ada hadiahkan baju. Cukuplah. Ikutkan saya tak
mahu bergerak ke mana-mana pun,” kata Vasugi.
Berkahwin, 2 orang anak, bekerja, keluarga mertua di Sungai Petani,
sebelah ibu di Shah Alam, memang agak sukar untuk elak daripada
berbelanja lebih bagi Vasugi.
Rata-rata perbualan Whatsapp mengenai belanja dan mood Deepavali yang agak suram.
“Saya dan sediakan RM3,000 untuk belanja tahun ni. Tahun lepas tak
sampai, tapi tahun ini macam boleh exceed je,” kata Reena, seorang
doktor.
Tapi dalam menghadapi kesukaran terutamanya ekonomi (setiap tahun!),
ada juga perkara baik yang berlaku. Bak kata orang tua, hikmah di
sebaliknya.
Hampir semua kawan-kawan dalam dalam grup “Mommy’s Only”, buat
pertama kali bertekad membuat sendiri biskut dan kuih-muih Deepavali.
Ya, kalau 5 atau 10 tahun dulu, kita lebih berbangga menunjukkan 15
jenis balang biskut pelbagai perasa yang dibeli dari Little India di
Brickfields, Klang atau Masjid India, secara dalam talian, tempah
daripada rakan dan kenalan Facebook, namun tahun ini semuanya berbeza.
Kami tekad buat sendiri, kurangkan kos belanja dan latih skill baking.
Daripada 15 jenis sekarang tak sampai 5 jenis, tetapi istimewanya, ia
dibuat dengan air tangan sendiri. Ditemani anak-anak, penat lelah
membuat biskut hilang selepas setiap dulang biskut yang dibakar keluar
sempurna.
“Biskut Deepavali!” gambar kolaj dengan 5 jenis biskut dikongsi oleh
Shanti, manakala saya akui setakat ini sudah membuat 3 jenis dan mungkin
akan tambah biskut Nestum kelak.
Banyak bezanya daripada segi kos. Kalau di luar sebalang biskut (50
biji) RM40-RM50, rupanya bila buat sendiri boleh jimat lebih separuh,
rasanya pula lebih sedap, penuh kasih sayang dan dijamin selamat.
Malah, kuih-muih paling sukar yang tidak pernah terfikir untuk dicuba
juga berjaya dibuat sendiri, antaranya ialah murukku, murukku ros,
athiresam dan sebagainya. Ada juga rakan saya yang sudah pasang impian
buka bisnes tahun hadapan.
Dari segi shopping, kalau bukan untuk anak-anak memang tiada yang peduli mengenainya.
“Dulu-dulu kita bershopping setahun sekali, sewaktu Deepavali.
Sekarang bukan macam tu, bila-bila pun boleh. Waktu Deepavali, banyak
belanja, jadi pakaian bukan keutamaan,” kata seorang lagi ibu, Tina.
“Asal ada satu pasang untuk sembahyang pun dah cukup,” kata saya yang sememangnya beli sehelai kurtha sahaja untuk tahun ini.
Maka, keadaan ekonomi kali ini membuatkan kami semua ekstra rajin dan memahami erti berjimat-cermat!
“Okay ada satu lagi berita baik,” tulis Vasugi.
“Suami saya beri lampu hijau untuk sambut Deepavali di Shah Alam,
rumah mak saya. Kami tak balik Sungai Petani. Malah mak mertua yang akan
datang ke sini. Jadi senanglah saya, tak perlu ulang-alik, jimat masa
dan tenaga,” katanya lagi.
Oh ya, daripada hiasan hingga permainan bunga api juga dikurangkan.
Misalnya saya sendiri langsung tidak membeli bunga api kerana sudah
berjaya memujuk anak, belikan mereka alat permainan yang boleh digunakan
untuk tempoh yang lebih lama. Hiasan pula, mujur saya simpan barangan
tahun lalu, untuk dikitar semula.
“Betulkan harga minyak akan naik mulai 1 November? Kalau naik, tak
payah nak buat open house dah ataupun masak sendiri sahaja,” sindir
seorang lagi rakan, Madhu.
Tambahnya lagi, “Tak masak sekarang pun tak mengapa sebab boleh bagi alasan tiada bekalan minyak di pasar raya, lagi senang.”
Yang lain seolah setuju dengan alasan kelakarnya dan kami terus
berchatting berkongsi idea bagaimana untuk berjimat pada tahun ini.
Celoteh ibu di musim Deepavali yang mahal
Written By Wadah Baru on Jumaat, 28 Oktober 2016 | 3:19 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan