Home » , » Orang lama perlu beri laluan muka baharu

Orang lama perlu beri laluan muka baharu

Written By Wadah Baru on Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:41 PG


SHAH ALAM – ‘Orang lama’ perlu memberi laluan kepada muka-muka baharu yang mahu berjinak dalam dunia politik, demikian pandangan penganalisis politik.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Prof Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, ia penting supaya proses penggantian pimpinan elit parti dapat berjalan dengan lancar.

"Setiap kali pilihan raya, parti politik perlu tampilkan muka-muka baru dari sekarang.

"Sekurang-kurangnya perlu ada 30 peratus hingga 40 peratus muka baru dalam parti masing-masing,” katanya sambil menegaskan formula itu tidak hanya terpakai kepada BN sahaja.

Sebaliknya, ia juga perlu dilaksanakan oleh setiap parti pembangkang bagi memastikan idea perjuangan parti kekal ‘segar’ dan utuh.

“Penting untuk beri peluang kepada bakat baru. Mungkin mereka boleh diangkat memegang jawatan penting dalam kerajaan atau parti.

“Tidak ada pilihan buat pembangkang mahupun BN, kedua-dua perlu ada muka-muka baharu setiap kali pilihan raya,” katanya

Katanya lagi, penggantian wajah baharu juga perlu sentiasa diteruskan pada setiap kali pilihan raya.
“Muka baru parti mungkin lebih terpelajar dan sesuai degan pemikiran anak muda hari ini. Proses penggantian tidak boleh terhenti hanya pada PRU 14 nanti sahaja.

“Yang lama memang perlu diganti, bagaimanapun bukannya ganti kseluruhan pemimpin sekali gus.
"Parti akan dapat suntik tenaga, idea dan cara pendekatan baru, sesuai dengan generasi muda hari ini,” katanya lagi.

BN perlu meletakkan lebih ramai calon muda pada PRU-14 sekiranya ingin terus kekal berkuasa memandangkan jumlah pengundi golongan itu semakin ramai.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pucuk pimpinan tertinggi terutamanya pengerusi Umno negeri wajar memainkan peranan itu dengan mengenalpasti calon muda yang berpotensi dan menyenaraikan nama mereka pada PRU akan datang.


Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmad El-Muhammady ketika ditanya soalan sama tidak menolak keperluan muka baharu dalam sesebuah parti.

Katanya, wajah baharu kebiasaanya akan mewujudkan persepsi harapan baharu dalam parti.

“Saya rasa ada betulnya pandangan Khairy. Orang selalu melihat kemunculan pemimpin baru bakal membawa harapan perubahan dalam semasa politik yang sedang berlaku pada hari ini.

“Majoriti pengundi negara ini adalah anak muda. Najib sebagai pemimpin perlu mengimbangi realiti pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, BN akan berdepan dengan penghijrahan besar-besaran oleh penyokong muda menjelang pilihan raya sekiranya terus mengekalkan ‘orang lama’ dalam pentadbiran parti.

“Kalau kita melihat parti-parti pembangkang, mereka terlalu mengetengah pemimpin yang sangat muda. Bagaimana BN boleh menandingi keadaan ini kalau mereka sendiri tidak meletakkan golongan muda?

“Kalau tidak, ia akan memberi gambaran parti tidak mesra orang muda.Oleh itu, pengundi akan berhijrah besar-besaran kepada pembangkang,” katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger