Pemuda Amanah Kelantan mendesak supaya kesemua Orang Asli di Gua
Musang yang ditangkap ekoran operasi merobohkan halangan (blocked) di
laluan pengeluaran hasil balak hari ini segera dibebaskan.
Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, penangkapan Orang Asli di hulu negeri
itu hanya kerana mereka mempertahankan hutan yang sedang digondol rakus
oleh pembalak berlesen adalah akibat kelemahan Menteri Besar dan
Timbalan Menteri Besar Kelantan.
“Jika mereka terus menangkap Orang Asli di sana, ini bermakna tiada
beza antara Kelantan dan Israel. Kezaliman tetap sebuah kezaliman walau
dilakukan oleh sang kopiah putih berjubah labuh.
“Kita perlu mengepung Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri
Kelantan), biar mereka rasa bagaimana ‘nikmat’ dikepung. Bebas Orang
Asli atau SUK dikepung!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas langkah kerajaan negeri Kelantan menyelesaikan konflik
antara masyarakat Orang Asli dengan syarikat pembalak, Hazmi mempersoal
sejauhmana proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak terbabit telah
dilakukan.
“Sehingga kini, berapa kalikah wakil Kerajaan Kelantan telah membuat
perundingan bersama Orang Asli bagi membuat keputusan yang bersifat
situasi menang-menang ini?
“Jelas, MB (Menteri Besar) dan TMB (Timbalan Menteri Besar) Kelantan
selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap isu pembalakan dan pihak
yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membela kebajikan rakyat
telah gagal sepenuhnya dalam hal ini,” bidasnya.
Menyifatkan penindasan dan ancaman terhadap komuniti Orang Asli di
negeri itu seperti nasib dialami rakyat Rohingya, beliau menyeru supaya
memperbanyakkan doa.
“Doakan semoga Orang Asli diberi perlindungan. Banyakkan membaca
Qunut Nazilah, agar pihak yang menzalimi diberi keinsafan atau
dijatuhkan bala dari Allah.
“Jika kita bersedih dengan nasib rakyat Rohingya yang dizalimi oleh
rejim Myanmar, maka apalah bezanya antara Rohingya dan Orang Asli di Gua
Musang yang sama dizalimi oleh rejim pemerintah ini,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
pada 23 November lalu dilapor berkata kerajaan negeri akan mengenakan
tindakan undang-undang ke atas Orang Asli jika rundingan supaya membuka
halangan terbabit gagal.
Siang tadi gerombolan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bersama
polis, FRU dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu dan memusnahkan
halangan berkenaan dan menangkap 41 Orang Asli.
Turut dirosakkan beberapa rumah Orang Asli manakala telefon bimbit
dan kamera dirampas. Kesemua mereka yang ditahan berada di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Bebaskan tahanan Orang Asli atau SUK Kelantan dikepung
Written By Wadah Baru on Rabu, 30 November 2016 | 9:41 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan