Walaupun dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi dua pertuduhan
berkaitan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli
Parlimen Pandan Rafizi Ramli tekad untuk terus membongkar kepincangan
urus tadbir Perdana Menteri.
Dalam surat yang ditulisnya dari kandang tertuduh semasa penghakiman
dibacakan hari ini, beliau memberitahu usaha berkenaan tidak akan pernah
terhenti termasuk siri jelajah ke negeri sehingga akhir Januari depan.
“Keputusan pemenjaraan yang memang telah dijangka pada hari ini
sedikit pun tidak akan mengubah apa-apa. Saya akan terus lantang seperti
sebelum ini di dalam dan di luar parti.
“Saya akan teruskan dengan pembongkaran dan menyemak setiap satu sen
yang dibelanjakan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selagi
dalam kemampuan saya,” tegasnya dalam tulisan terdiri daripada 32
perenggan itu.
Rafizi yang juga Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR itu berkata,
beliau bersama beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan mendedahkan
kepincangan projek kereta api pantai timur (ECRL) yang mencecah kos RM55
bilion (AS$13.1 bilion) itu.
“Saya juga akan menjawab isu-isu berkenaan Tabung Haji dan
membentangkan beberapa analisis baru kedudukan kewangannya. Selain
Tabung Haji, fokus saya masih lagi kepada isu pendidikan tinggi dan
kelangsungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan
kedudukan tabung pencen negara,” jelasnya.
Antara yang juga menjadi perhatian beliau, perbezaan imbuhan gaji
yang terlalu ketara di antara kakitangan kerajaan berpangkat rendah dan
tinggi serta desakan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Mulai esok, saya akan mula turun berceramah bersama-sama pimpinan
dan aktivis yang mahukan Datuk Seri Najib meletak jawatan. Ceramah
pertama yang bertemakan #LawanTetapLawan akan bermula di Pandan iaitu di
Dewan Kampung Cheras Baru.
“Hari Rabu, saya akan ke Pangkalan Tentera Laut (TLDM) Lumut untuk
berjumpa dengan pesara-pesara tentera laut yang mula-mula sekali membawa
ke pengetahuan saya kelewatan pembayaran pampasan persaraan,” ujar
Rafizi lagi.
Tenang tanpa rasa marah
Mengulas keputusan penghakiman mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972
itu, Rafizi mengakui usahanya dalam mengetengahkan kepincangan skandal
1MDB itu adalah tanggungjawab beliau sebagai pemimpin yang diamanahkan
rakyat.
“Saya tenang tanpa rasa marah, takut atau pun sedih kerana saya yakin
saya telah menjalankan amanah saya sebagai seorang rakyat biasa,
seorang pemimpin parti pembangkang dan seorang wakil rakyat.
“Setiap kali saya berdepan dengan keputusan, saya tidak pernah
menghadapi dilema untuk membuat keputusan kerana hukumnya kebajikan dan
kesusahan rakyat mengatasi kepentingan peribadi kita sebagai ahli
politik.
“Oleh itu, keputusan saya sebagai seorang wakil rakyat atau ahli
politik kadang-kadang mengundang rasa marah atau rasa terancam di
kalangan pemimpin lain baik dalam BN atau parti saya sendiri,” akuinya.
Rafizi yang juga merupakan bekas akauntan bertauliah dan meninggalkan
Petronas pada 2009 itu menyifatkan apa sahaja perbuatannya dinilai oleh
malaikat bukannya ahli-ahli politik.
“Ingatan kepada diri saya setiap pagi saya ke pejabat ialah setiap
tindakan dan amal kita disukat setiap saat bukannya oleh ahli-ahli
politik yang nampak berkuasa, tetapi oleh malaikat yang tidak akan lalai
walau sezarah pun,” tambahnya lagi.
Rafizi tekad terus semak setiap sen yang Najib belanjakan
Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 11:00 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan