PETALING JAYA: Trend pengundian kaum India akan menjadi tumpuan pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memandangkan sokongan pengundi Cina
kepada DAP sudah mencapai 90%, kata pengarah Institut Asia di Universiti
Tasmania, Prof James Chin.
“Kebanyakan bukan Islam menyokong DAP, mereka sudah dapat 90% sokongan pengundi Cina, tiada ruang untuk berkembang lagi.
“(Tumpuan) sekarang ialah pengundi India, mereka kini 50:50,
beransur-ansur kembali kepada Barisan Nasional (BN). Tetapi, jika Umno
membenarkan rang undang-undang persendirian PAS, mungkin India akan
mengundi Pakatan Harapan dan DAP,” katanya kepada Sin Chew Daily.
Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
memohon Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang
persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
1965 atau RUU 355 ke sidang yang dijadualkan pada Mac 2017 untuk
menerangkan pindaan RUU itu secara terperinci.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30
tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding
maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh
dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Beliau berkata, walaupun tidak bergabung, PAS dan Umno sudah mencapai
persefahaman dengan bekerjasama secara tidak rasmi bagi menentang
Pakatan Harapan.
“(Tun Dr) Mahathir Mohamad benci DAP, (Datuk Seri) Najib Razak benci
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mereka ada manfaat bersama,
kerjasama tidak rasmi akan membolehkan mereka menentang PPBM di kawasan
perkampungan Melayu.”
Chin berkata, MCA, Gerakan dan MIC tidak akan dapat bertahan jika
mereka meninggalkan BN, sebaliknya parti komponen BN dari Malaysia Timur
mungkin berani berbuat demikian dan faktor utama ialah sama ada mereka
boleh mengundi menentang RUU 355.
Beliau berkata, keadaan paling serius bukannya kerjasama Umno-PAS,
sebaliknya kebangkitan politik Islam, penerimaan undang-undang Islam
adalah permainan politik berbahaya.
“Ini adalah keadaan paling berbahaya sejak merdeka, kemungkinan besar Malaysia berubah menjadi sebuah negara baharu.”
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia,
Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, serangan demi serangan ke atas DAP
dan orang Cina akan mendatangkan kesan jangka panjang terhadap hubungan
perkauman.
Penganalisis: Undi Cina dan Melayu pasti, India jadi penentu
Written By Wadah Baru on Selasa, 6 Disember 2016 | 9:11 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan