Home » , » Apabila ‘orang baik-baik’ membisu

Apabila ‘orang baik-baik’ membisu

Written By Wadah Baru on Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:28 PG

Oleh ABDUL SHUKUR HARUN  

Ketika merenung cucu-cucu yang hendak ke sekolah, saya sungguh-sungguh memikirkan ‘bagaimana nasib masa depan mereka’, melihatkan suasana sekarang yang begini rupa.

Di sinilah saya teringat akan kata-kata pejuang hak asasi manusia, Martin Luther King, Jr.:
I have a dream that my four little children will one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin, but by the content of their character (kebolehan mereka).

Martin Luther King merujuk kepada suasana perjuangan hak-hak asasi manusia, terutama isu warna kulit di Barat.

Tetapi yang saya renung dengan rasa penuh kebimbangan akan masa depan cucu-cucu saya dan kanak-kanak segenerasinya ialah melihatkan suasana masa kini di tanah air kita.

Bukan saja isu extrimisme kaum dan agama, bahkan lebih-lebih lagi perihal krisis ekonomi yang melanda dengan serius, perlakuan rasuah yang kini semakin bersekala besar, isu pembaziran, salahguna kuasa, jurang miskin kaya yang semakin meluas, hutang negara – dalam dan luar negeri - semakin bertimbun dan pelbagai lagi.

Suasana yang sangat menengkam inilah yang sangat membimbangkan, yang saya kira ramai yang berkongsi kebimbangan ini, terutama rakyat prihatin.

Benar ajal maut, rezeki semuanya telah ditentukan Allah s.w.t. Tetapi persoalannya di sini pemerintah yang mentadbirkan negara, yang menyusun ekonomi negara serta pendidikan dan social, perlu melihat persoalan ini jauh ke depan. Ini adalah tanggungjawab mereka.

Justru pemimpin adalah pemegang amanah dan berkewajipan melindungi kepentingan rakyat, merancang masa depan generasi akan datang di samping masa kini.

Semuanya ini kini seperti tidak kelihatan. Di mana rancangan peduli rakyat yang sepatutnya menjadi agenda utama pemimpin yang berkuasa? Sepatutnya sudah dilihat perancangan konkrit yang memberi jaminan kepada rakyat pelbagai kaum bahawa rakyat – sejak ia lahir hingga kehari tua dan uzur mereka – terbela, mempunyai masa depan yang tidak membimbangkan.

Tokoh besar ahli sains sosial Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya ‘Muqaddimah Ibnu Khaldun’ telah menggariskan bahawa pemerintah sesebuah negara wajib baginya memikirkan kepentingan rakyatnya. Ia mesti merancang negara menjadi sebuah negara berkebajikan hingga rakyatnya tidak bimbang dengan kehidupan mereka, kata Ibnu Khaldun.

Tetapi dengan suasana yang ada di tanah air kita sekarang, adakaan pesan-pesan Ibnu Khaldun ini wujud.

Dengan perlakuan rasuah yang semakin bersekala besar, hingga mungkin ada orang merasakan bahawa adalah ‘bodoh jika tidak mengambil rasuah’. Di samping perlakuan nepotisme, salahguna kuasa, pembazairan, peluang pekerjaan yang semakin berkurangan, sektor perniagaan semakin menguncup, ekonomi dan nilai mata wang merudum, daya beli rakyat merosot dan pelbagai lagi yang semuanya kelihatan sangat membimbangkan.

Jika suasana sedemikian rupa berlanjutan bagaimanakah generasi baru akan melansungkan kehidupan.

Sebab itu tentulah ada rakyat yang berfikir dengan penuh khuatir akan masa depan anak cucu mereka nanti jika tidak ada perancangan untuk menuju perubahan. Maka itu perubahan mestilah dilakukan.

Negara masih terus bergelut dengan isu rasuah, pembaziran, harga barangan yang terus naik, hingga harga ikan kembung mencecah RM21 sekilo, harga minyak, sayur dan lain-lain akan terus naik.

Malangnya, ada sebahagian anggota masyarakat, termasuk para agamawan dan konon ‘pejuang moral’ atau mereka yang berstatus ‘orang baik-baik’ membisukan diri dengan segala kemungkaran dalam suasana seperti ini. Dengan hujah bahwa ini konon ini adalah ‘isu politik’ dan kita tidak perlu campur. Sedangkan Islam menentang segala bentuk kemungkaran.

Di mana diletakkan pesan Al-Quran ini yang merakamkan dengan jelas kewajipan mencegah kemungkaran.

Di sinilah saya teringat akan kata-kata Napoleon Bunaparte: The world suffer a lot. Not because of the bad people, but because the sailence of good people.

Demikianlah rakyat biasa akan menderita apabila ‘orang baik-baik membisu’.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger