Home » , » Siasat skandal Forex Bank Negara jangan sampai lupa 1MDB

Siasat skandal Forex Bank Negara jangan sampai lupa 1MDB

Written By Wadah Baru on Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:17 PG

Walaupun mengalu-alukan penyiasatan skandal Forex Bank Negara, PKR menggesa satu Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kredibiliti dan kuasa yang meluas ditubuhkan bagi menyiasat skandal itu termasuk membuka kembali siasatan skandal 1MDB.

Malah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak juga digesa menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal 1MDB yang kini menjadi perhatian dunia.
Pengarah Biro Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata, tindakan pentadbiran Najib menubuhkan pasukan petugas khas (task force) untuk menyiasat skandal Forex BNM yang berlaku lebih 30 tahun lalu tetapi membubarkan pasukan petugas khas siasatan 1MDB 6 bulan yang lalu, menunjukkan sikap hipokrasi kerajaan.
Pasukan petugas khas siasatan 1MDB ketika dibentuk dianggotai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ia dibubarkan sebaik sahaja Tan Sri Mohamad Apandi Ali dilantik peguam negara menggantikan Abdul Gani.
"Pendirian PKR adalah mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Skandal Forex BNM dan juga penubuhan Suruhanjaya Siasatan Skandal 1MDB juga. Segala skandal raksasa yang merugikan rakyat harus disiasat dan didakwa ke muka pengadilan," tegas Sim.

Menurut Sim, laporan Suruhanjaya Diraja boleh digunakan sebagai asas kukuh untuk menuntut aset dan wang bernilai berbilion ringgit daripada kerajaan Amerika Syarikat.

Aset dan wang milik 1MDB itu, katanya amat diperlukan Malaysia untuk menyelesaikan hutang 1MDB yang kini amat terdesak.
"Wang dan aset tersebut sekarang telah dibekukan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat. Pada hemat kami, penubuhan Suruhanjaya Diraja siasatan 1MDB bukan sahaja boleh mencari kebenaran tetapi boleh juga mendapat wang balik dari Amerika Syarikat. Ini lebih berbaloi," ujarnya.
Siasatan terhadap skandal 1MDB, ujarnya adalah mendesak kerana beberapa negara seperti Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat telah mengambil tindakan serius terhadap jenayah penyelewengan dana 1MDB termasuk menutup bank, menghukum penjara pekerja bank yang mempunyai kaitan dengan jutawan kontroversi Jho Low dan menyita aset.
Bagaimanapun, tambah beliau tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pihak-pihak terbabit dalam skandal 1MDB di negara ini malah seorang demi seorang pasukan petugas khas bersara daripada perkhidmatan kecuali ketua polis negara.

"Jika kerajaan boleh melantik Tan Sri Sidek Hassan yang telah bersara dalam pasukan khas siasatan Forex BNM, PKR mencadangkan supaya Suruhanjaya Diraja boleh melantik high-powered individu seperti Tan Sri Zeti dan Tan Sri Abu Kassim ke dalam Suruhanjaya Diraja tersebut.

"Ini akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap siasatan tersebut," katanya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger