Home » , » BN tidak selamat lagi di kerusi majoriti Melayu

BN tidak selamat lagi di kerusi majoriti Melayu

Written By Wadah Baru on Sabtu, 25 Februari 2017 | 10:09 PG

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan semua kerusi majoriti pengundi Melayu tidak lagi menjamin kemenangan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang disebabkan lahirnya parti Bersatu.

Menurutnya, Bersatu yang dipengerusikan Tun Mahathir wujud ketika isu perkauman sempit dijaja untuk meracuni Melayu menjauhi DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan.

"Pertolongan datang tanpa kita tidak sangka. Di tengah-tengah isu melayu dimainkan tiba-tiba lahir parti Bersatu yang dipimpin pula Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

"Mahathir dulu terkenal sebagai ultra Melayu dengan bukunya seperti, 'Malay Dilemma'. Pada 13 Mei (1969), orang inilah (Mahathir) dituduh menghasut Melayu.

"Sekarang Bersatu ini menghulurkan tangan bersama Pakatan Harapan yang ada DAP," ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Ulu Tiram, Johor malam tadi dengan menganggap dakwaan kononnya masa depan orang Melayu dalam bahaya jika BN jatuh tidak lagi relevan.

Beliau yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sambutan terhadap ceramah Tun Mahathir amat menggalakkan memandangkan kedudukan bekas Perdana Menteri itu yang berusaha menumbangkan kepimpinan Najib Razak.

"Ke mana Tun (Mahathir) pergi, sambutannya cukup hebat kerana dia dikenali sebagai pelampau Melayu tetapi sekarang dia nak menjatuhkan kerajaan Najib yang pemimpin Melayunya rasuah," tegasnya.

"Kerusi-kerusi majoriti Melayu semuanya tidak selamat lagi pada BN kerana ada Amanah, PKR dicampur sekarang munculnya Bersatu. Orang tidak berani tuduh Tun Mahathir pengkhianat Melayu kerana mereka juga dulu mengatakan dialah penyelamat Melayu.

"Mereka (Umno-BN) tidak boleh kata Bersatu ini pengkhianat Melayu kerana Bersatu tetap bersama Melayu cuma nak ubah pemerintah mesti kena berkawan dengn semua orang," tegas Mat Sabu lagi.
Turut hadir berucap ahli DAP yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan ahli Bersatu, Ainina Saadudin yang juga merupakan mantan anggota Wanita umno Langkawi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger