Home » , » Bentangkan Prestasi Ahli - Ahli Parlimen PAS Terengganu Sebelum Desak Letak Jawatan

Bentangkan Prestasi Ahli - Ahli Parlimen PAS Terengganu Sebelum Desak Letak Jawatan

Written By Wadah Baru on Isnin, 7 September 2015 | 9:36 PTG

Oleh RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD

Saya mohon pesuruhjaya PAS Terengganu terlebih dahulu menyiasat perkara di bawah kerana kesemua ahli parlimen, yang bersidang hanya tiga kali setahun, dibayar gaji serta elaun untuk berkhidmat untuk rakyat. Saya menuntut pesuruhjaya PAS Terengganu membentang rekod rasmi aktiviti ahli parlimen PAS dari Terengganu, termasuk juga saya, seperti di bawah:

(i) Kehadiran harian termasuk beberapa jam sehari setiap sesi oleh ahli parlimen Terengganu sejak PRU13 dari rekod kedatangan rasmi Parlimen sendiri.

(ii) Kekerapan bilangan ucapan serta isu yang dibawa oleh ahli parlimen PAS Terengganu dalam Dewan.

(iii) Apakah prestasi sidang akhbar isu Rakyat setiap ahli parlimen Terengganu melalui kemudahan yang disediakan di Parlimen untuk mereka keluaran akhbar dan media alternatif – sosial.

(iv) Adakah ahli parlimen Terengganu terlibat dalam aktiviti melibatkan imbuhan berbayar lain semasa waktu sesi parlimen sedang berjalan dari jam 10 pagi hingga tamat sesi malam memandangkan mereka dibayar gaji khidmat Parlimen.

(v) Rekod kehadiran ahli parlimen Terengganu di Mesyuarat Pengurusan Mingguan Ahli Parlimen PAS di Pejabat Pembangkang Tingkat 14 Parlimen yang dipanggil oleh Ketua “whip” PAS Dato’ Mahfuz Omar.

Setelah pesuruhjaya membentang prestasi dan kehadiran setiap Ahli Parlimen Terengganu barulah beliau dan rakyat – pengundi boleh membuat penilaian siapakah sebenarnya yang patut meletak jawatan sebagai ahli parlimen.

Saya mohon fakta ini diperjelaskan dahulu 14 hari dari sekarang. Biarlah hukuman yang hendak di jatuhkan berasas pada fakta di atas.

Saya juga mohon pesuruhjaya menjelaskan kenapa tiada ahli parlimen dari Terengganu yang berlatar belakang agama mengambil bahagian berucap pada 18 Jun 2015 hari akhir sesi parlimen.

Pada waktu itu, Datuk Mahfuz Omar menimbulkan kegagalan kerajaan dan parlimen sekali lagi membentang Akta Pindaan Enakmen Syariah Kelantan 355 Hudud di Parlimen.

Kenapa mereka yang sepatutnya lebih arif dalam isu ini memilih berdiam diri di parlimen dalam isu yang selama ini digegarkan di kawasan masing-masing.

Saya memberi 14 hari dari tarikh ini untuk pesuruhjaya PAS Terengganu membentang kepada rakyat rekod ahli parlimen Terengganu. Biarlah rakyat jelata mengetahui fakta sebenar prestasi ahli parlimen mereka sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman. Sesungguhnya Islam menuntut pertimbangan fakta-fakta yang benar untuk proses keadilan sebelum menjatuhkan hukuman.

Kesemua pengundi termasuk ahli biasa PAS berhak mengetahui prestasi sebenar wakil rakyat mereka di Parlimen.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
MP Kuala Terengganu
7 Sept 2015












0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger