Home » , » Speaker belum terima sebarang usul mengenai hudud

Speaker belum terima sebarang usul mengenai hudud

Written By Wadah Baru on Isnin, 7 September 2015 | 9:09 PTG

OLEH YASMIN RAMLAN

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini berkata beliau belum menerima sebarang usul mengenai rang undang-undang (RUU) hudud untuk dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada RUU itu akan dibawa pada sidang akan datang yang akan bermula bulan depan.

"Saya belum menerima sebarang usul mengenai perkara itu kerana sesi Parlimen akan datang pada Oktober.

"Lama lagi dari sekarang," katanya kepada pemberita ketika di Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-36 di Kuala Lumpur hari ini. Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-13 dijadualkan berlangsung dari 19 Oktober hingga 3 Disember, 2015.

Sementara itu, ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi menjelaskan, usul tersebut perlu dibawa semula pada sesi akan datang.

Namun, beliau yang merupakan bekas ketua penerangan PAS Pusat itu berkata, beliau tidak pasti sama ada parti itu sudah memulakan langkah ke arah itu.

"Saya tidak tahu sudah dibuat atau belum. Tetapi setiap sidang kena masukkan yang baru," katanya.

Sebelum ini Astro Awani melaporkan, naib presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu sedia "kembali berperang" dengan Umno sekiranya RUU Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993 pindaan 2015 tidak dapat dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Katanya, PAS akan berusaha sedaya mungkin memasukkan pembentangan RUU itu ke sidang Parlimen yang akan datang.

Sekiranya Umno benar-benar jujur untuk melihat Mahkamah Syariah diperkasakan, parti itu perlu membantu memudahkan pembentangan RUU tersebut, katanya.

"Kita akan berusaha dan cuba masukkan untuk kali terakhir pembentangan RUU pada sesi sidang Parlimen Oktober ini. Kalau tidak jadi, lepas ini kita (PAS) akan kembali kepada asal. Waktu ini 'gencatan senjata' kita tamatkan dan kita perang balik," katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dua kali cuba membawa RUU tersebut ke Dewan Rakyat tahun ini bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Pada sidang terakhir bulan April dan Jun, RUU itu dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat tetapi diletakkan sebagai item terakhir dalam senarai usul untuk dibahaskan, memandangkan mengikut konvensyen, keutamaan diberi kepada urusan kerajaan.

Oleh itu, RUU tidak sempat dibahaskan hingga persidangan berakhir.

Rang undang-undang yang dibawa Hadi itu bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 355 bagi menggantikan peruntukan sedia ada di bawah bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah terhadap penganut agama Islam.

Pada 19 Mac, Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015). –

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger