Home » , » Isu dana RM90 juta hanya helah Husam, kata Hadi

Isu dana RM90 juta hanya helah Husam, kata Hadi

Written By Wadah Baru on Ahad, 12 Februari 2017 | 4:29 PTG

KUALA LUMPUR: Tindakan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa membangkitkan isu berkaitan dana RM90 juta hanyalah helah untuk tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sekiranya isu RM90 juta dibawa ke mahkamah dan Husam dijatuhkan hukuman, kelayakannya untuk bertanding akan hilang.

“Saya merasakan beliau (Husam) tidak mahu bertanding PRU akan datang. Jadi, beliau buat begitulah (bangkitkan isu RM90 juta). Kalau bawa ke mahkamah benda bohong, apabila kalah sudah tidak boleh bertanding dalam PRU.

“Kalau tidak mahu bertanding, beritahulah supaya senang,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih daripada RM2,000 oleh mahkamah.
abdulhadiawang2
Sebelum ini, Husam mendakwa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS. Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke dalam akaun di Affin Bank.

Husam sebelum ini dipecat daripada PAS pada Mei 2016 atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan akan menjelaskan mengenai butiran dana itu menjelang PRU akan datang.

Jumaat lalu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.
PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Husam itu.

“PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report,” kata Tuan Ibrahim.

Pada Ogos tahun lalu, Hadi berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report, laman pertama yang membangkitkan dakwaan itu.

PAS menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown pada 13 Disember lalu, antaranya meminta laman itu menarik balik artikel berkaitan dan menyiarkan permohonan maaf.

Setakat ini, tiada prosiding mahkamah melibatkan PAS dan Sarawak Report.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger