Oleh Shahbudin Husin
Hari
ini, Presiden Pas, Hadi Awang telah menjawab dua persoalan yang
sebenarnya sudah boleh dikira itulah pendirian rasmi parti tersebut.
Pertama,
ketika diminta mengulas mengenai tempoh sebulan yang diberikan oleh
Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad kepada Pas untuk memberi kata
putus mengenai kerjasama antara kedua-dua parti, Hadi berkata, keputusan
mengenainya sudah pun ada.
Beliau
menjelaskan, tanpa menunggu tempoh sebulan yang diberikan itu, Pas
sudah mempunyai dasar untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan parti
yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.
"Tak
perlu tunggu sebulan untuk membuat keputusan dengan Bersatu. Kita sudah
ada dasar, semua parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah, kita
tidak ada hubungan dengan mereka.
"Bila dia (Bersatu) dah ada hubungan dengan DAP dan Amanah, habislah," kata Presiden Pas itu lagi.
Dalam
masa yang sama, Hadi juga memberitahu, Pas akan membuat keputusan
selewat-lewatnya di Muktamarnya pada 28 April nanti mengenai hubungannya
dengan PKR.
Ikut
logik, oleh kerana berbanding Bersatu, hubungan antara PKR dengan DAP
dan Amanah lebih akrab kerana ketiga-tiga parti itu anggota Pakatan
Harapan, maka tentulah jalinan kerjasama selama ini antara Pas dengan
parti pimpinan Dr Wan Azizah Wan Ismail itu lebih wajar diputuskan juga.
Malah,
oleh kerana Hadi tidak mahu menunggu tempoh sebulan sebagaimana yang
diminta oleh Tun Mahathir, meskipun Mukhriz Mahathir yang mewakili
Bersatu dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Pas ada mengeluarkan
kenyataan bersama ke arah untuk bekerjasama, Pas seharusnya tidak perlu
menunggu sehingga tarikh Muktamarnya untuk memutuskan hubungannya
dengan PKR.
Putuskanlah dengan segera hubungan dengan PKR sebagaimana Pas menolak kerjasama dengan Bersatu!
Dalam
masa yang sama, baik Bersatu mahupun Pas, kedua-duanya haruslah
membubarkan pasukan yang sebelum ini beberapa kali sudah bertemu untuk
merundingkan kerjasama tersebut.
Semuanya sudah tidak bermakna lagi berikutan jawapan Hadi itu.
Kedua,
meskipun Tuan Ibrahim beberapa hari lalu mengatakan Pas akan mengambil
tindakan saman terhadap Husam Musa berhubung dakwaannya mengenai
penyaluran wang RM90 juta melibatkan pemimpin tertentu parti itu yang
didakwanya melalui Affin Bank, tetapi Hadi nampaknya memberi gambaran
enggan berbuat demikian.
Bagi
Hadi, tindakan Husam meminta disaman adalah helah yang sengaja
dilakukan oleh Adun Salor itu kerana tidak mahu bertanding dalam
pilihanraya umum akan datang.
"Kalau
bawa ke mahkamah benda bohong, bila kalah tak boleh tanding
pilihanraya. Kalau tak mahu bertanding, beritahu senanglah," tambah
beliau.
Bagaimanapun,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Husam kemudiannya, alasan Hadi itu
agak melucukan kerana saman sivil, meskipun seseorang itu kalah, ia
tidak menghilangkan kelayakan untuk bertanding dalam pilihanraya.
Yang
menyebabkan hilang kelayakan bertanding ialah jika disabitkan kesalahan
jenayah dan dihukum denda lebih RM2,000 atau penjara dua tahun.
Selain
itu, kata Husam lagi, oleh kerana kes belum dibawa ke mahkamah,
bagaimana Hadi boleh membuat kesimpulan beliau akan kalah dalam kes
tersebut?
Yang nyata, jawapan Hadi itu lebih merupakan alasan untuk tidak mengambil tindakan saman kepada Husam.
Bermakna,
saman kepada Sarawak Report tidak ketahuan hujung pangkalnya sehingga
sekarang dan saman kepada Husam pula hampir pasti tidak menjadi
kenyataan.
Jika
dihubungkaitkan antara kedua-dua jawapan Hadi hari ini iaitu mengenai
penolakan untuk bekerjasama dengan Bersatu dan mungkin pula memutuskan
hubungannya dengan PKR serta dalam masa yang sama enggan menyaman
Husam, tidaklah sukar memahami apa kedudukan Pas dalam pilihanraya akan
datang.
Pas
nyata akan bertanding bersendirian dan tujuan bertanding itu bukanlah
untuk menang pilihanraya atau untuk memastikan Islam dapat disemarakkan
melalui perjuangan parti itu.
Tujuan
bertanding hanyalah untuk memberi kelebihan kepada Najib, UMNO dan BN
agar dapat terus kekal berkuasa melalui percaturan tiga penjuru.
Kalah
atau menang bukan lagi penting bagi Pas, yang mustahak ialah dapat
membantu sehabis baik kepada Najib mengekalkan kuasanya.
Agaknya
jika kali ini kalah semua 70 kerusi pun, Pas tetap akan berkata, "tidak
mengapa" serta jawapan tambahan lain kepada para penyokongnya ialah,
"yang penting bukan menang di dunia, tetapi di syurga."
0 ulasan:
Catat Ulasan