Oleh Shahbudin Husin
PRU 14 ini perhitungan utamanya adalah untuk menyingkirkan Najib Razak
yang bukan saja terpalit dengan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta,
berkawan baik dengan Jho Low dan gaya kepimpinan kleptokrasi, malah
juga kerana berterusan mendatangkan sengsara kepada kehidupan rakyat.
Lantaran itu, tidak menghairankan suara penolakan terhadap Najib boleh didengar di mana-mana sekarang ini.
Hampir tidak ada kelompok atau segmen masyarakat yang tidak membenci
anak Tun Razak itu.
Mengata dan melecehkan Najib sudah menjadi perbualan
biasa di kedai kopi, surau, masjid, pejabat, pasaraya, kenduri-kendara,
grup whatsapp dan di mana-mana saja.
Begitu juga, tidak
menghairankan lagi melihat orang menutup atau mengalih siaran televisyen
apabila tiba-tiba Najib muncul atau suaranya terpacul memecah
keheningan.
Pemimpin-pemimpin UMNO pun, jika berbual dengan
rakan-rakan rapat mereka, turut tidak terlepas menyalahkan Najib
terhadap semua yang berlaku sehingga makin menyukarkan ia mengekalkan
kuasanya.
Cuma, disebabkan terikat dengan jawatan, mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk merubah keadaan.
Seorang rakan memberitahu, isterinya kadang-kadang membebel mengenai
Najib, tidak saja di meja makan, tetapi juga sampai ke bilik tidur.
Esoknya, kata beliau, sebelum ke pasar, sekali lagi isterinya bersungut
mengenai Najib.
Ini menunjukkan penolakan, kebencian dan
sentimen anti Najib adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum
ini. Ketika era Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi, memang
sentimen kebencian diakui wujud, tetapi ia tidaklah separah sekarang
ini.
Jika dihitung secara umum, mereka yang masih menyokong
Najib tidak sampai pun 30 peratus. Itu pun sebahagiannya disebabkan
kepercayaan bahawa tidak menyokong Najib sama seperti mahu "membunuh"
UMNO.
Ikut hukum akal, UMNO dan BN, selagi terus diketuai Najib,
hanya menunggu masa saja lagi untuk dicabut nyawanya daripada terus
berkuasa. Ia ibarat pesakit nazak yang tidak mampu diubati lagi.
Satu-satunya, talian hayat UMNO untuk terus kekal berkuasa ialah
melalui pertolongan Pas. Parti Islam yang yang pernah mengkafirkan UMNO
itu kini sedang disintuk-limau dan dibelai oleh Najib dengan pelbagai
janji, berjalan-jalan ke luar negara atas nama Akta 355 dan dengan
khabarnya juga melalui "habuan ehem, ehem" agar kekal bersendirian dan
menjadikan pertandingan tiga penjuru.
Kata pepatah lama, tiada
angin takkan pokok bergoyang. Pepatah lain pula menyebut, kalau tidak
berada-ada, takkan tempua bersarang rendah.
Sebab itu, menjadi
kehairanan seluruh dunia mengapa Pas masih tidak menyaman Sarawak
Report, manakala meskipun dicabar secara terbuka oleh Husam Musa agar
segera menyeretnya ke mahkamah, Pas masih berdalih-dalih untuk mengambil
tindakan saman.
Pas sendiri melalui kenyataan Hadi Awang dua
hari lalu, semakin jelas warna perjuangan dan laluan yang bakal
dilaluinya. Bersatu dan PKR tidak perlu membuang masa dan terhegeh-hegeh
lagi memujuk rayu Pas untuk bekerjasama. Terus mengharapkan Pas hanya
akan membuatkan parti itu mengada-ngada dan tergedik-gedik cuba menarik
perhatian.
Pakatan Harapan dan Bersatu harus sedar bahawa
sentimen anti Najib sekarang ini sedang mencapai kemuncaknya. Najib,
UMNO dan BN tiada lagi kekuatan sendiri untuk menarik keyakinan rakyat.
Selain bergantung nyawa kepada Pas, Najib mungkin terus berusaha untuk
mengubah persepsi rakyat dengan cara mengungkit-ungkit cerita lama
berkaitan Tun Mahathir.
Tetapi, lihat saja bagaimana isu BMF
dan forex yang cuba dihidupkan semula, telah gagal hanya dalam waktu
yang singkat untuk melemahkan kekuatan pembangkang. Mungkin beberapa
isu lagi akan dibangkitkan selepas ini, tetapi sebagaimana BMF dan forex
menemui kegagalan, ia juga akan gagal kerana Najib dengan segala
bebannya adalah bala paling besar yang tidak mungkin mampu mengubah
apa-apa kepada rakyat dan negara.
Sentimen anti Najib pada
hakikatnya sudah cukup kuat untuk menolak Najib dan menumbangkan UMNO
serta BN. Ketika ini juga, rakyat tidak lagi melihat Pas sebagai parti
Islam berikutan tingkah lakunya yang tidak segan-segan berbaik dengan
dilihat orang yang dilihat jahat di seluruh pelusuk dunia.
Dalam
mana-mana masyarakat pun, jika imam masjid berkawan baik dan selalu
minum-minum dengan seseorang yang disyaki pencuri, ia tentu akan menjadi
bualan dan sebagaimana pencuri itu sedia dijauhi, imam tersebut juga
semakin kurang didekati oleh sesiapa.
Dalam hal ini, biarkan
saja Pas terus dengan cengkeramanya bersama Najib dan UMNO. Pakatan
Harapan dan Bersatu perlu yakin dengan kebijaksaaan rakyat dalam membuat
pilihan, sambil terus berusaha memberi penerangan semaksimum mungkin ke
merata-rata ceruk kampung dan desa di seluruh negara.
Lagi pun,
dengan Bersatu, PKR dan Amanah yang majoritinya adalah Melayu, ditambah
dengan DAP juga semakin diterima oleh orang-orang Melayu, gabungan itu
sudah memadai untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang Melayu
sendiri.
Sentimen anti Najib yang dijangka berterusan, bukan
saja akhirnya akan membenam UMNO dan BN, malah yakinlah, ia juga akan
menenggelamkan Pas sekali bersama dengannya.
Sebagaimana yang
disebut di awal lagi, PRU 14 bukan berkaitan hal-hal lain, termasuk Akta
355 sekali pun, tetapi khusus tentang keinginan menyelamatkan negara
dan menolak Najib yang bersamanya ada beban 1MDB, Jho Low, wang RM2,600
juta, ciri-ciri kleptokrasi dan kepimpinan yang berterusan membeban
serta menyusahkan.
Jika sejak bertahun-tahun sudah membenci dan
terasa disusah serta disengsarakan, apakah rakyat yang bijaksaana mahu
dijadikan mangsa lagi dengan kesengsaraan yang lebih parah melalui terus
kekalnya Najib berkuasa?
Tanpa PAS, Sentimen Anti Najib Sudah cukup Kuat Untuk Tumbangkan Umno
Written By Wadah Baru on Selasa, 14 Februari 2017 | 8:05 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan