Home » , » Amanah 'Ahlan wa Sahlan' Pas bawa usul baiah ke mahkamah

Amanah 'Ahlan wa Sahlan' Pas bawa usul baiah ke mahkamah

Written By Wadah Baru on Ahad, 12 Mac 2017 | 10:12 PTG

Parti Amanah Negara (Amanah) mengalu-alukan mana-mana pihak khususnya Pas yang ingin membawa individu yang dianggap melanggar baiah ke Mahkamah Syariah kerana banyak kekeliruan mengenainya dapat diselesaikan.

Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) Mohamed Hanipa Maidin berkata Amanah bersedia berjumpa pihak tersebut di Mahkamah Syariah pada bila-bila masa.

"Jika pembawa usul atau Pas bersungguh untuk bawa usul tersebut ke mahkamah syariah, jawapan Amanah adalah ahlan wa sahlan wa marhaban bikum, kami mengalu-alukan dan bersedia untuk berjumpa anda semua di mahkamah syariah bila bila masa Insya-Allah.

"Sebenarnya kami lagi seronok kerana kami percaya jika syariah betul-betul dilaksanakan di Mahkamah Syariah, banyak kekeliruan berkaitan baiah tersebut dapat diselesaikan Insya-Allah. Terima kasihlah kepada pembawa usul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Pas Kawasan Tanah Merah yang meluluskan usul supaya mana-mana bekas pemimpin parti itu didakwa di Mahkamah Syariah jika melanggar sumpah taklik dan baiah yang dilafaz sebelum ini.

Mengulas lanjut, Hanipa menegaskan adalah kesilapan besar jika ada pihak yang menganggap Amanah gentar terhadap usul tersebut.

"Saya ingin tegaskan bahawa jika pembawa usul itu atau sesiapa juga di belakang usul itu cuba berfikir yang pemimpin Amanah gentar dan bimbang dengan usul itu, mereka tersilap besar.
"Jika usul sebegitu digeruni atau ditakuti, maka sejak awal lagi parti Amanah tidak akan ditubuhkan," katanya yang juga ahli Parlimen Sepang.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat itu turut berkata, Pas juga harus bersedia untuk membawa isu 'smuggle' (menyeludup) baiah dari pintu belakang dalam kes di Dun Kota Damansara sebelum ini ke Mahkamah Syariah.

"Seperkara lagi, memandangkan isu baiah yang sedang tidur lena tiba tiba dikejutkan semula, kami juga harap pembawa usul dan Pas mesti juga bersedia untuk bawa isu "smuggle" baiah dari pintu belakang dalam kes di Dun Kota Damansara sebelum ini ke Mahkamah Syariah.

"Bukankah kerana 'smuggle' tersebut, ianya berakhir dengan Pas rela memenangkan calon BN di Dun tersebut?" soalnya.

Beliau juga berkata, Kanun juga bersedia menawarkan khidmat peguam syarie jika isu baiah ini dibawa ke Mahkamah Syariah.

Lafaz taklik dan sumpah baiah dimestikan kepada semua calon yang diturunkan mewakili Pas dalam pilihan raya di Kelantan.

Ia diperkenalkan ketika Pas bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Melalui lafaz itu, perkahwinan seseorang wakil rakyat dianggap terbubar dengan talak tiga jika mereka meninggalkan Pas.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger