Skandal demi skandal dan tangkapan yang dilakukan oleh SPRM terhadap pegawai, anak beranak dan Exco kerajaan negeri Johor menjadi bukti bahawa UMNO telah rosak sehingga ke akarnya.
Pun begitu, saya tidaklah terlalu terkejut kerana presiden parti itu sendiri pun terpalit dengan skandal 1MDB yang menjadikan Malaysia terkenal sebagai sebuah negara kleptokrat di mata dunia.
Hal ini sepatutnya menjadi jawapan kepada sikap sesetengah orang Melayu yang masih berharap ada harapan untuk UMNO berubah. Bagi saya, harapan sebegini hanyalah ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.
Kalau pun masih ada saki baki harapan bahawa UMNO di Johor masih bersih, ia tidak lebih saya sifatkan sebagai ‘banyak auta daripada fakta’.
Dalam isu di Johor kali ini, jelas sekali bahawa apa juga slogan yang cuba dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hakikatnya tidak memberi makna apa-apa.
Saya melihat trend politik UMNO Johor pimpinan Khaled sedikit sebanyak dilihat cuba menjarakkan diri dari bayangan presiden partinya Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal mega 1MDB.
Namun apa yang berlaku sekarang ini tergambar jelas bahawa kelakuan parti ras Melayu ini yang tidak boleh lari lagi dari penyakit salah guna kuasa. Ia tak mampu dicabut lagi.
Rasuah dan salah guna kuasa dalam UMNO ibarat kudis. Walaupun diketahui ia satu penyakit, tapi lagi digaru lagi sedap jadinya!
Hal ini sudah mendarah daging. Bagaimana UMNO rosak di peringkat persekutuan, begitulah rosaknya mereka di peringkat negeri hatta di peringkat lebih kecil dari itu seperti PBT dan JKK.
Kini orang menyindir bahawa UMNO dan rasuah ibarat kembar siam. Di mana ada UMNO, di situ ada rasuah!
Melayu gadai Melayu?
Menurut sumber, skandal hartanah di Johor turut melibatkan penukaran status Bumiputera kepada antarabangsa. Rujuk http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/kes-hartanah-johor-suspek-terlibat-penukaran-status-1.634703
Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri diterajui UMNO yang kononnya berjuang atas nama Melayu hakikatnya telah menggadaikan kepentingan orang Melayu. Bumiputera kini merujuk kepada kroni dan suku sakat mereka sahaja. Bumiputera dalam kamus UMNO adalah ‘bumi’ ini untuk ‘putera-putera’ UMNO!
Jika tidak, masakan anak pegawai kerajaan Johor boleh dicekup?
Daftar undi segera untuk hentikan rasuah
Sudah tiba masanya untuk rakyat tanpa mengira apa juga latar belakang, menggembleng tenaga untuk ‘mencabut’ UMNO yang rosak ini sehingga ke akarnya.
Isu di Johor kini secara langsung memberi kesan besar kepada anak muda. Apatah lagi skandal yang timbul turut memperlihatkan penglibatan anak-anak muda dari UMNO seperti anak, pegawai-pegawai dan pimpinan pemuda UMNO.
Sebenarnya juga, anak-anak muda kita samada yang baru menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi mahupun tidak, yang baru membina keluarga dan memulakan kerjaya, adalah kelompok penerima kesan besar dalam skandal serupa berlaku di Johor ini.
Cukup sinikal; yang menyamun golongan muda, yang menerima kesan juga anak-anak muda.
Rumah adalah suatu keperluan. Dengan kos sara hidup yang amat menekan sekarang ini dan skandal melibatkan perumahan sebegini, masa hadapan anak muda menjadi bertambah kelam dan suram.
Kita terfikir, apakah anda yang salah guna kuasa di atas sana tidak berhati perut menggemukkan tembolok sedangkan ramai anak muda di bawah ini terpaksa berhempas pulas separuh mati untuk survival hidup?
Oleh itu, inilah masanya. Rakyat khususnya anak muda tiada pilihan lain lagi kecuali memberi pengajaran kepada UMNO dengan cara menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Ini langkah segera yang mesti diambil.
UMNO mesti ditolak. Pada masa yang sama, kita sedia maklum bahawa seramai lebih kurang empat juta anak muda masih belum mendaftar sebagai pengundi. Mereka perlu segera mendaftar.
Inilah saluran demokratik yang kita ada untuk mencabut UMNO yang rasuah sehingga ke akarnya.
Dengan penyertaan anak muda sebagai pengundi untuk menolak UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, ia sebenarnya mengajar rakyat tiga perkara:
- Buat pertama kalinya me’rehat’kan UMNO dari terus memimpin negara dan negeri bukanlah suatu yang mustahil dalam sebuah sistem demokrasi. Dan pakatan parti-parti politik yang baru yang bakal membentuk kerajaan pastinya akan melaksanakan dasar-dasar yang lebih baik bagi menjawab segala kelemahan urus tadbir UMNO-BN.
- Ia menyuntik keberanian dalam diri rakyat bahawa hak untuk menaik atau menurunkan sesebuah kerajaan adalah ditangan mereka. Inilah kuasa rakyat. Kuasa yang tidak boleh ditakut-takutkan apatah lagi diancam oleh orang politik dengan apa sentimen sekalipun.
- Pada ketika rakyat menolak UMNO dan BN buat yang pertama kalinya, saya amat yakin keberanian yang sama juga akan menjadi senjata ampuh rakyat untuk menurunkan kerajaan Pakatan Harapan sekiranya gagal mentadbir negara dengan penuh amanah dan integriti pada masa akan datang.
*Sheikh Omar Ali adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor merangkap pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.
0 ulasan:
Catat Ulasan