Oleh Zairil Khir Johari
 
P. Ramlee pernah menggunakan ungkapan “pelik bin ajaib” bagi 
menggambarkan keadaan yang amat menghairankan. Begitulah yang saya rasa 
apabila melihat kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini.
Apakah PAS kini hilang arah tujuannya?
Ambil sebagai contoh kata-kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang 
baru-baru ini menegaskan parti tersebut tidak meletakkan kemenangan 
dalam pilihan raya sebagai matlamat utama perjuangan.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Mencapai kemenangan yang dihitung 
semata-mata dengan memenangi pilihan raya ertinya matlamat perjuangan 
kita sangat singkat dan terhenti di pelabuhan dunia… Kita tidak akan 
mencapai apa-apa kejayaan atau kemenangan sekiranya kita tidak dapat 
melaksanakan dasar dan tujuan sebenar kewujudan parti kita, apatah lagi 
tujuan penciptaan kita!”
Hashim turut menambah, “Untuk apa sesebuah parti politik menguasai 
Putrajaya jika mereka tidak dapat menegakkan ideologi yang menjadi dasar
 mereka?”
Kenyataan ini sangat membingungkan, kerana bagaimanakah sesebuah 
parti ingin menegakkan ideologi dan menterjemahkannya kepada dasar 
kerajaan jika tidak memenangi pilihan raya terlebih dahulu? Pada masa 
yang sama, ia juga tidak mencerminkan realiti sejarah dan perjuangan PAS
 selama ini.
Kerjasama dengan parti ‘liberal dan sekular’
Hashim juga menyatakan PAS tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan 
mana-mana parti yang menegakkan dasar liberal dan sekular. Walaupun 
tidak disebut, jelas kenyataan itu merujuk kepada parti-parti 
pembangkang lain yang pernah menjadi rakan kongsi PAS dalam gabungan 
Pakatan Rakyat dan sebelumnya dalam Barisan Alternatif.
Kenyataan ini juga menimbulkan banyak persoalan dan kekeliruan kerana
 jika DAP dengan prinsip sekular dan demokrasi sosial begitu jijik, 
kenapa boleh PAS berganding bahu dengan DAP, bukan seketika tetapi 
selama 10 tahun dalam dua gabungan berbeza? Kenapa Datuk Seri Abdul Hadi
 Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri boleh memuji dan 
pertahankan DAP pada ketika itu?
Sudah lupakah Hadi dengan kenyataannya dalam Muktamar PAS ke-59 pada 
2013 yang mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP serta memuji 
kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang ketika itu yang sentiasa memberi 
ruang kepada PAS meskipun PAS hanya menang satu kerusi di negeri itu.
Malah, sebelum itu lagi, Hadi sendiri beberapa kali membangkitkan 
fakta bahawa DAP sentiasa konsisten untuk berdialog dan bermuzakarah 
dengan PAS dalam semua isu berbanding Umno yang jelas menolak untuk 
berunding? Kini, Umno dipuji dan DAP pula yang dimomokkan.
Nik Aziz sendiri ketika hayatnya berkali-kali mempertahankan 
kerjasama dengan DAP. Kini, setelah pemergian Nik Aziz, Hadi menjadi 
penghadang paling keras terhadap permuafakatan dengan DAP kononnya atas 
alasan prinsip – apakah prinsipnya berbeza dengan Nik Aziz? Atau mungkin
 soalan yang lebih tepat, siapa sebenarnya yang lebih mengutamakan 
permainan politik berbanding prinsip?
Bagaimana pula PAS boleh mempertahankan keputusan tidak mahu 
bekerjasama dengan parti sekular dan liberal atas dasar prinsip apabila 
PAS sehingga kini masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor yang turut 
dianggotai DAP?
Pada masa yang sama, ahli tunggal PAS Dewan Undangan Negeri Pulau 
Pinang pula lantang menyuarakan sokongannya terhadap kerajaan Pakatan 
Harapan di negeri tersebut. Adakah pendirian ini juga atas dasar 
prinsip?
Apakah benar menegakkan Islam?
Lebih mencurigakan lagi, jika benar mahu berpegang kepada prinsip 
Islam, mengapa Hadi melindungi dan mempertahankan Najib dalam skandal 
kewangan 1MDB apabila sudah sah berlaku penyelewengan berskala besar? 
Sedangkan umum mengetahui rasuah adalah salah satu perlakuan yang paling
 keji dalam Islam.
Dalam isu hudud pula, Hadi sendiri maklum Umno selama ini tidak 
pernah berminat untuk menyokong agenda tersebut dan hanya baru-baru ini 
sahaja bersetuju apabila keadaan sudah terdesak dan sokongannya 
berkurangan.
Namun, Hadi pula dengan pantas membela Umno kononnya bukan hak kita 
untuk mengukur tahap keikhlasan seseorang. Apakah Hadi terlalu naif atau
 tidak mahu mengiktiraf realiti? Sememangnya keikhlasan itu bukan hak 
kita untuk tentukan tetapi kita boleh menilai berdasarkan sikap 
seseorang itu.
Umpamanya, jika Umno ikhlas untuk memperjuangkan amal makruf dan 
mencegah kemungkaran, mengapa UMNO menolak sebarang cadangan untuk 
mencegah kemungkaran amalan rasuah dan salahguna kuasa?
Ambil sebagai contoh penolakan saranan Laporan Tun Dzaidin 2005 untuk
 menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis sebagai badan 
pemantau agensi penguatkuasa yang bebas dan bertanggungjawab secara 
langsung kepada Parlimen. Mana keikhlasan Umno apabila mereka menolak 
cadangan sebuah Suruhanjaya Diraja dengan sewenang-wenangnya?
Sebelum ini, cadangan amalan pengisytiharan harta sebagaimana 
dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Harapan juga ditolak 
oleh Umno atas alasan khuatir rumah mereka akan dirompak atau keluarga 
mereka diculik, sepertimana jawapan beberapa menteri Umno.
Jelas, Umno tidak berminat untuk menegakkan prinsip amal makruf dan 
nahi mungkar yang menjadi dasar kepada syiar Islam. Walaupun demikian, 
tidak pula menjadi masalah bagi kepimpinan PAS untuk bekerjasama, malah 
menjadi ‘penasihat’ kepada kerajaan Umno-BN.
Parti politik atau jemaah tabligh?
PAS sebagai antara parti utama negara dengan sejarah perjuangan yang 
mulia tidak harus berpuas hati dengan peranan sampingan kepada Umno 
semata-mata. Adalah sesuatu yang menyedihkan untuk melihat arah tuju PAS
 di bawah kepimpinan terkini, lagi-lagilah apabila mereka seolah-olah 
bersedia untuk mengorbankan prinsip yang lama dipegang.
Apabila PAS bercakap soal mendapat keredhaan Allah dan pembalasan 
akhirat yang lebih baik dan menolak kemenangan pilihan raya sebagai 
pertimbangan strategi, mengapa PAS tidak meninggalkan sahaja perjuangan 
melalui pilihan raya dan menjadi jemaah tabligh atau tarekat sufisme 
sahaja?
Sesungguhnya, sebuah parti politik harus bermatlamat untuk memberi impak terhadap dasar negara.
Sementara kita tidak pernah menolak perlunya perubahan jati diri dan 
pembangunan masyarakat, namun bagi parti politik, jalannya adalah dengan
 mengubah dasar negara ke arah yang lebih insani, manusiawi dan adil 
kepada semua.
Jika PAS tidak lagi memiliki wawasan ini, maka apa gunanya menggelarkan diri sebagai parti politik?
Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan