Usul untuk mengkaji semula enakmen kesalahan jenayah syariah (hudud dan qisas) Terengganu itu telah diserahkan kepada setiausaha Dun Terengganu jam 10.35 pagi tadi oleh Adun Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Usul itu dikemukakan di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 31(2) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dewan Undangan negeri Terengganu dengan notis 14 hari.

"Enakmen ini juga telah diperkenankan oleh Al-Sultan Terengganu pada 2 September 2002, disiarkan dalam warta pada 25 September 2002 serta telah dicatatkan berkuatkuasa bermula pada 27 Oktober 2003 melalui dokumen TR.P.U.10/2003.
"Malangnya disebaliknya kelulusan Enakmen ini, ia tertangguh perlaksanaannya di negeri Terengganu dan telah menimbulkan tanda-tanya dari pelbagai pihak tentang kemunasabahan enakmen yang diluluskan di dewan yang mulia in hampir 15 tahun yang lalu," kandungan usul itu dipetik.
Dr Syed Azman turut mempersoalkan mengapa enakmen tersebut belum dikuatkuasakan sepenuhnya dan adakah ia lebih bermotif politik?
Beliau juga inginkan penjelasan sama ada enakmen itu hanya dijadikan alat dan modal politik menjelang pilihan raya dan akan kembali 'dipetisejukkan' dan dilupakan sebaik sahaja pilihan raya berakhir.
Rakyat Terengganu, ujarnya perlu diberikan penjelasan akan kegagalan perlaksanaan enakmen itu kerana syariat Islam bukannya bersifat retorik politik tetapi menjadi kewajipan mereka yang berkuasa.
"Adalah menjadi tanggung jawab kita semua sebagai seorang Muslim, apatah lagi yang bergelar pemimpin untuk menegakkan Maqasid Syariah, yakni matlamat utama Syariah serta melindungi agama daripada pengaiban.
"Oleh itu, adalah wajar kita meneliti kembali apakah enakmen-enakmen jenayah syariah yang telah kita luluskan di Dewan yang mulia ini 15 tahun yang lalu benar-benar dapat memelihara nilai-nilai utama syariah, seperti keadilan, rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan.
"Atau apakah enakmen yang diluluskan ini masih ada kekurangan bagi menjamin syariat Islam boleh dilaksanakan dengan adil?" jelas beliau.

0 ulasan:
Catat Ulasan