Oleh ARIF ATAN
Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda menjelaskan tiga fakta
bagi menafikan dakwaan Pas dan presiden parti berkenaan, Datuk Seri
Abdul Hadi berpengaruh di negeri pantai timur itu.
Beliau berkata, tanggapan Pas kononnya kuat pada pilihan raya umum
(PRU) tahun 1959 tidak benar kerana berlaku perpecahan undi antara
parti Perikatan (nama lama Barisan Nasional) dengan Parti Negara ketika
itu.
"Dalam pilihan raya 1959, Pas hanya dapat 36 peratus sahaja undi
popular. Perikatan dapat 35 peratus, pecah dua sebab 17 peratus undi
Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar (bekas Presiden Umno pertama).
Maknanya, bukan sebab Pas paling kuat," ujarnya.
Menurutnya, kemenangan besar Pas pada PRU tahun 1999 pula berkaitan
dengan faktor pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan
Timbalan Perdana Menteri Malaysia setahun sebelum itu.
"(PRU) 1999, sebab kes mata lebam Anwar Ibrahim. Itu fakta sebab
tahun 1995, Pas hanya menang 43 peratus sahaja undi popular dalam
keadaan seluruh orang Terengganu tidak mahu lagi Wan Mokhtar Wan Ahmad
(bekas Menteri Besar, 1974 hingga 1999) tapi dia boleh menang lagi.
"Undi popular (Pas) daripada 43 bertambah 13 peratus jadi 56 peratus.
Itu yang dapat 28 kerusi. Bukan sebab Pas kuat," tegasnya pada Ceramah
Pakatan Harapan di Cabang Tiga, Kuala Terengganu kelmarin.
Berdasarkan keputusan PRU-13 lalu pula, Hasbie juga menolak andaian
kononnya Pas hebat kerana faktor tokoh melalui kehadiran Abdul Hadi di
Parlimen Marang.
"Kerusi Marang itu sendiri, undi popular di kawasan itu tidak besar
mana pun. Biasa tokoh utama dalam parti politik macam Lim Kit Siang
bertanding di Gelang Patah, Anwar Ibrahim di Permatang Pauh boleh dapat
lebih besar undi majoriti.
"Tapi tokoh di Marang (Abdul Hadi) tak sampai 10,00 ribu pun. Paling
banyak pada 1999. Sekarang hanya lebih 5,000 undi majoriti," tegasnya
sambil menyifatkan kerusi itu memang sedia dimenangi Pas sejak dahulu
lagi sekaligus menafikan persepsi Abdul Hadi kuat di kawasan tersebut.
Hasbie yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda Pas Pusat
bagaimanapun tidak bermaksud mahu memperlekeh parti lamanya itu yang
dipanggil sebagai 'parti rakan'.
"Saya sudah buat kajian. Dua buku dikeluarkan mengkaji kekuatan dan
pencapaian Pas ini sejak 1959. Sebab itu, Pas jika dengan perangai
sekarang yang tidak mahu berkawan dengan orang lain, memang kembali ke
tahun 1986 dengan hanya menang satu kerusi di Pengkalan Chepa.
"Di Terengganu, tahun itu (1986), Cikgu Pa (Datuk Mustafa Ali, kini
Pengarah Pilihan Raya Pas) beritahu, Pas berarak, yakin menang tapi
hanya dua kerusi sahaja yang menang," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana parti politik tidak
boleh bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama serta berpolitik
berasaskan fakta termasuk mengambil kira pengalaman juga sejarah lalu.
"Sebab itu, saya mahu mengajak orang muda di kawasan Dun Bandar dan
Parlimen Kuala Terengganu, kita jangan takutlah. Nak duduk dalam Pas,
silakan tetapi keputusan pimpinan parti tuan-tuan kalau rasa tak betul,
mesti berani kritik.
"Takkan presiden cakap semua betul. RUU (Rang Undang-undang) 355,
kita di Amanah dan Pakatan Harapan kritik sebab itu cek kosong. Eh, tak
sampai tiga bulan, tiba-tiba dia sendiri (Abdul Hadi) pinda kepada ada
jumlah tahun dan sebat," bidasnya.
Mengulas lanjut tentang sikap politik sebahagian anak muda yang
dilihat masih bersama Pas, beliau menasihatkan supaya golongan tersebut
mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berusia selain banyak
membaca.
"Kita (orang muda) mungkin tiada waktu 1986. Kita kena berdamping
orang lama. Orang tua dulu juga pernah muda. Mereka melalui pengalaman
dan membandingkan dengan keadaan sekarang. Sebab itu mereka bersama
Pakatan Harapan.
"Baca buku supaya keputusan yang dibuat pada waktu muda ini, kita
tidak menyesal kemudian hari. Saya juga yakin 30 tahun akan datang,
orang muda hari ini juga akan menerima formula Pakatan Harapan dan sedar
bahawa Pas tidak boleh bersendirian," tambah Hasbie lagi.
Untuk rekod, keputusan PRU-13 dengan Pas masih dalam Pakatan Rakyat
(nama gabungan parti pembangkang ketika itu) menyaksikan Abdul Hadi yang
bertanding di P 037 Marang hanya memperoleh majoriti 5,124 undi.
Rekod itu jauh lebih rendah berbanding Ketua Umum PKR ketika itu,
Anwar Ibrahim di P 44 Permatang Pauh yang berjaya menang majoriti 11,721
undi manakala Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di P 162 Gelang Patah
menguasai majoriti 14,762 undi.
Tiga bukti Pas, Abdul Hadi tidak kuat di Terengganu
Written By Wadah Baru on Isnin, 6 Mac 2017 | 1:18 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan