Oleh Mohd Sayuti Omar
Sehingga tulisan ini diperbuat kedudukan parti-parti pembangkang yang
berhajat untuk menentang BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang masih
belum memutuskan pendirian mereka. Kerjasama menerusi Pakatan Harapan
(PH) yang sudah digagaskan juga belum mendapat konsensus menyakinkan.
Belum mantap.
Kalau ia boleh dianggap padu dan jelas hanya di antara dua buah parti
sahaja, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Dua buah parti lagi, PKR
dan PPBM masih berjerubu, ketidaktentuan hala tuju, sementara sebuah
parti lagi (Pas) sudah boleh di ignore.
Kedua-dua parti ini, DAP dan Amanah tidak banyak membuat kerenah.
Mereka nampak kosentrek untuk berhadapan dengan BN walau apa pun akan
berlaku. Kedua-dua parti ini tidak mengelirukan pandangan umum dan
rakyat. Inilah gaya politik yang dimahui, tegas dan pantas.
Sementara dua buah parti lagi, PKR dan PPBM masih lagi belum kejap
dan masih teraba-raba mencari jalan yang dianggap paling ideal.
Kedua-dua parti ini umpama berada dalam guni yang diikat kemudian
dicampak ke dalam gelap gulita. Strateginya tidak jelas dan kabur.
Dan PAS pula sudah boleh dianggap terbatal? Faham ke maksud terbatal?
Tindak tanduk dan strategi yang diaturkan parti itu di bawah kepimpinan
al ulama seratus peratus, menunjukkan ia bukan parti yang mukalaf.
Mengapa DAP dan Amanah dikatakan sudah kemas dan jelas dalam
keputusan mereka, kerana keduanya dalam perhatian saya tidak memikirkan
perkara yang remeh temeh yang boleh menjadikan mereka bertelagah sesama
sendiri. Mereka tidak memikir apakah yang ada dalam tidur, mimpi.
Sebaliknya mereka memfokuskan kepada tujuan asas yang besar yakitu untuk
menumbangkan kerajaan UBN. Mereka mencari idea dan kekuatan untuk
bergerak ke arah itu.
Di celah-celah usaha itu mereka tidak menjempilkan angan-angan
lain. DAP dan Amanah tidak bertindak sambil menyelam minum air. Mereka
benar-benar meletakkan harapan rakyat yang mahu melihat kerajaan
Malaysia bertukar tangan, tanpa mengambil kesempatan memperjuangkan hak
peribadi pemimpin parti masing-masing. DAP dan Amanah bukan 'selffish'.
DAP tidak mempunyai cita-cita untuk meletakkan pemimpin mereka
sebagai PM. Mereka sedar dan insaf kedudukan mereka, tahu mengukur baju
dibadan sendiri. Perjuangan mereka adalah untuk menghapuskan parti
pemerintah yang memerintah secara kleptokrasi. Hanya musuhnya sahaja
melaung-laung dan menjualkan cerita basi yang konon DAP hendak jadi PM.
Mereka sendiri tidak pernah mengimpikan itu walaupun secara senyap.
Setakat ini DAP hanya bercita-cita untuk mengekalkan kerajaannya di
Pulau Pinang sahaja di samping menambah beberapa kerusi parlimen. Itulah
cita-cita peribadi terbesar DAP yang tidak dapat disembunyikan oleh
parti berkenaan.
Jajaan modal oleh musuhnya itu tidak mudah mempersonakan DAP kerana
beberapa faktor yang jelas dan mereka arif dengan hambatannya. DAP parti
dominan Cina yang bukan mudah untuk diterima oleh rakyat Malaysia
sekiranya wakil mereka diuar-uarkan untuk jadi PM. Hakikat ini disedari
oleh DAP. Bahkah Umno juga sedar akan perkara ini. Ada pun kenapa mereka
menjual kononnya Lim Kit Siang hendak jadi PM adalah propoganda
semata-mata untuk menimbulkan kebencian orang Melayu sekolah rendah
kepada DAP.
Orang Melayu yang menyertai DAP kemudian keluar kerana kelemahan diri
sendiri untuk menguasi "chauvenis" Cina membuat lelocon kononnya Lim
Kit Siang hendak jadi perdana menteri.
Bagi orang Cina yang bijak berpolitik mereka tidak obses mengenai
kedudukan dan pangkat, apa yang lebih penting mereka dapat
merealisasikan cita-cita kaum dan prinsip mereka. DAP mahu melaksanakan
sosialisme di negara ini. Kedudukan muasir ini dengan percaturan politik
yang dimainkan, DAP sudah berjaya meletakkan masyarakat Cina dan
golongan sosialis ditempat terbaik dalam gelanggang kenegaraan ini.
Melayu liberal tidak segan silu menyertai DAP.
DAP umpama taukeh Cina yang sedia menyewa bangunan dan gendung milik
Melayu untuk berniaga. Mereka tidak gah memilik gedung tetapi lebih
gembira kalau perniagaan mereka laris dan maju. Pemilik gedung itu juga
sebenarnya bergantung kepada aktiviti perniagaannya. Begitulah cara DAP
berpolitik jauh bezanya dengan Melayu yang suka bergaya walaupu papa.
Demikian halnya dengan Amanah. Parti itu tidak cuba mengatur strategi
untuk mengenengahkan tokoh mereka sebagai calon perdana menteri. Bagi
Amanah apa yang sedang dilakukan kini ialah menjadikan parti itu sebagai
parti baharu yang akan mengambil tempat Pas. Kekosongan ditinggalkan
oleh Pas sebagai parti Islam yang progresif dan dinamik kini sedang
diisi oleh Amanah.
Atas tanggungjawab memenuhi kekosongan yang ditinggalkan oleh Pas
kerana kecelaruan prinsip dan dasar politiknya, tanggungjawab itu kini
dipikul oleh Amanah sebagai fardu kifayyah. Amanah telah mengambil
akautabiliti besar untuk menyelamatkan umat Islam dan Melayu negara ini.
Kerana kesibukan dan tanggungjawab itu menyebabkan Amanah tidak
terfikir untuk mengangkat mana-mana pemimpinnya sebagai perdana menteri
selepas Najib seperti dua parti rakannya.
Amanah juga menyedari akan keadaan dirinya baharu yang masih belum
kemas dari segi organisasi, logistik, keahlian dan sebagainya walaupun
ia kian mendapat sambutan. Langkah diambil Amanah adalah bijak dan
mencerminkan parti itu sebuah parti realistik yang diharap dan diimpikan
oleh rakyat. Soal siapa bakal dilantik menjadi PM, dikira kemudian
hari. Amanah tidak mahu terulik asyik dengan mimpi tetapi sedia berpeluh
dengan hakiki dan menjenguk suasana kontemporari.
Sebaliknya berbeza dengan dua parti PKR dan PPBM. Keduanya sekarang
ini sibuk mencaturkan siapakah bakal menjadi perdana menteri dan
timbalan perdana menteri. Kerana ghairah untuk mencaturkan tokoh
masing-masing menyebabkan mereka lupa kepada tugas yang aulia yakitu
untuk memperkemaskan pakatan pembangkang bagi menghadapi Piraum 14.
Mengapa PPBM sampai sekarang tidak dapat memutuskan hubungan dengan
Pas dan masih berusaha membujuk Abdul Hadi Awang agar membawa Pas
bersamanya untuk berkolabrorasi dalam pembangkang? Ia tidak lain dan
tidak bukan kerana PPBM sedang mencaturkan tokohnya untuk jadi perdana
menteri. PPBM bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.
PPBM mempercayai pembangkang boleh menang besar dan mengalahkan UBN
apabila semua pembangkang bercantum. Dalam hal ini PPBM melihat Pas akan
menjadi kuasa penentuan dalam mencapai cita-citanya. Jika tanpa Pas
pembangkang tidak akan menang, dan kegagalan itu menyebabkan PPBM
berputih mata untuk mengangkat tokohnya (Muhyiddin) menjadi perdana
menteri. Sikap ini menunjukkan PPBM tidak mempunyai keyakinan diri.
Tidak syak lagi mengenai agenda ini. Muhyiddin Yassin bersama Mukhriz
Mahathir yang bersungguh mahu bersama Pas kerana mereka ada cita-cita
atau syok apabila dikatakan akan menjadi PM. Dalam perkiraaan Muhyiddin
sekiranya pembangkang menang, dialah yang akan dinobat sebagai perdana
menteri. Dan jika Muhyiddin jadi PM maka Mukhriz akan mengikuti dari
belakang. Teori lama yang dipasang Dr Mahathir Mohamad semasa dalam Umno
dahulu akan hidup semula.
Dari segi pengalaman memang Muhyiddin berkelayakan, sebab beliau
pernah menjadi timbalan perdana menteri. Dalam pembangkang hari ini,
hanya beliau dan Anwar Ibrahim sahaja pernah menjadi timbalan perdana
menteri. Atas kepasiti itu maka mereka berdua dikira layak. Walaupun
Anwar lebih layak berbanding Muhyiddin tetapi kerana Anwar terhalang
dengan undang-undang dan penjara maka beliau (Muhyiddin)lah paling
layak.
Adapun tokoh-tokoh lain dalam pembangkang, seperti Lim Kit Siang,
Salahuddin Ayub, atau Mohamad Sabu, Husam Musa, Mukriz Mahathir dikira
belum layak kerana mereka tidak pernah duduk di kerusi timbalan perdana
menteri.
Atas perkiraan dan hisab siasah itulah menyebabkan PPBM masih
terkapar-kapar dalam membuat penentuan dan menyusun kerjasama dengan
Pas. Masih terus berusaha walaupun Pas telah memberi isyarat jelas yang
mereka tidak mungkin bersama pembangkang yang di dalamnya ada sama
Amanah dan DAP. Apakah PBBM ada kuasa sakti dapat menyakinkan Pas akan
bersama pembangkang dengan ada sekali Amanah dan DAP? PPBM jangan hanya
boleh berkahwin dengan Pas tetapi semasa diranjang ia dilarang menyentuh
Pas.
Kita ingin ingatkan PBBM jangan terlalu bercanda dan menyusun
strategi pelik-pelik dalam politik nanti kamu akan dicemuhi rakyat.
Demikian juga dengan PKR. Parti ini juga kalut dengan agendanya
sendiri untuk mengangkat tokoh dari kalangan mereka untuk jadi perdana
menteri. Apabila Anwar tersendor dalam penjara, maka ada orang lain
bermimpi untuk menjadi perdana menteri, atau timbalan perdana menteri.
Menerusi apa dinamakan Grand Coalition katanya Mohamed Azmin Ali akan
diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sudah tentu jabatan itu lebih
besar daripada MB Selangor yang dipanggungnya kini.
Selain dari plot itu, Azmin sebagai TPM, PKR juga cuba mengangkat
pesidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri. Walaupun Dr
Azizah ada sedikit kekurangan tetapi dia dikira layak untuk menjadi PM
sementara, sebelum diberikan semula kepada suaminya Anwar Ibrahim.
Menerusi teori ini, Dr Azizah atau pun Muhyiddin akan menjadi PM
sementarta sahaja, sementara menanti Anwar keluar.
Kegelabutan dalam mencaturkan siapa PM, siapa TPM inilah menyebabkan
PKR juga dalam keadaan terabai untuk menumpukan kepada kepaduan
pembangkang. Main tali antara PKR dengan Pas di Selangor sebahagian
daripada agenda ini dan ia meletakkan pembangkang dalam keadaan
bercelaruan. Kita juga hendak mengingatkan PKR jangan terlalu ligat
mencatur sehingga dicuaki rakyat. Dan orang PKR jangan berdiam diri
kerana takut dengan kekuasaan Azmin sebagai MB dan timbalan presiden.
Seelokknya PPBM maupun PKR lupakan siapa yang akan diangkat menjadi
PM. Soal jawatan itu hendaklah dialpakan dahulu. Apa yang lebih afdal
ditumpukan ialah menyatukan parti pembangkang berada dalam satu tekad
dan nekad yang sama. Satu konsensus jitu perlu segera dicapai kerana
masa sudah teramat semput.
Apa yang sedang dilakukan DAP dan Amanah kini perlu dicontohi oleh
PPBM dan PKR. Kedua-dua parti itu sudah tidak mempedulikan Pas, dan
mereka juga tidak tergila-gila berangan-angan untuk jadi PM atau TPM
selagi kuasa belum ada dalam genggaman.
Tampaknya DAP dan Amanah parti yang realistik dan rasional yang lebih menyakinkan rakyat daripada PPBM dan juga PKR.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan