Home » » Apalah Erti Kos Sara Hidup Terendah Di ASEAN, Jika Rakyat Terus Derita

Apalah Erti Kos Sara Hidup Terendah Di ASEAN, Jika Rakyat Terus Derita

Written By Wadah Baru on Ahad, 23 April 2017 | 3:58 PTG

Oleh Syed Ibrahim Syed Noh

Kenyataan mengenai kos sara hidup paling rendah di Asean tidak membawa sebarang erti selagi rakyat terbeban dengan kenaikan harga mendadak pelbagai barangan dan perkhidmatan, apatah lagi pemansuhan pelbagai subsidi kerajaan.

Segenap lapisan rakyat tahu membezakan antara keperitan menanggung kos sara hidup masa kini dengan zaman-zaman sebelum ini sekalipun ia digula-gulakan dengan pengiktirafan kaji selidik antarabangsa.

Pengiktirafan yang membandingkan harga barangan dan perkhidmatan dengan 133 bandar raya di seluruh dunia itu, langsung tidak mengambarkan realiti kehidupan dan hakikat penderitaan rakyat berpendapatan rendah.

Kenyataan Datuk Seri Najib Razak susulan keputusan kaji selidik itu, kononnya untuk merangka pelbagai program untuk memacu pendapatan dan mengurangkan harga barangan, pula hanya retorik yang diulang-ulang.

Apakah yang kerajaan Umno BN pimpinan Najib telah lakukan sepanjang pentadbirannya kerana pendapatan rakyat tidak meningkat; apakah pula usaha kerajaan Najib untuk mengurangkan harga barangan?

Ketika BR1M yang diilhamkan oleh Najib terus gagal menyelesaikan bebanan kehidupan rakyat, skandal kewangan terutama 1MDB membangkitkan kemarahan ramai manakala lambakan rasuah terus berleluasa dalam kalangan golongan yang dekat dengan rejim penguasa.

Kata-kata Najib untuk menjadikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, nyata tidak berpijak di bumi nyata, malah ia sangat bertentangan dengan realiti kehidupan semasa ekonomi rakyat.

Apatah lagi, pengiktirafan itu bertentangan dengan dapatan Jabatan Statistik yang dikeluarkan pada 19 April 2017 dan menyaksikan pelbagai indeks komponen mengalami paras kenaikan harga hampir 30 peratus.

Komponen pengangkutan merekod kenaikan tertinggi sebanyak 23 peratus, diikuti komponen makanan dan minuman bukan alkohol (4.1 peratus) manakala komponen perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api naik (2.1 peratus).

Mengikut Jabatan Statistik, petunjuk inflasi keseluruhan meningkat 5.1 peratus manakala inflasi teras yang tidak mengambil kira harga makanan dan bahan api yang kerap berubah, pada paras 2.5 peratus.
Ini sekaligus menunjukkan pengiktirafan kaji selidik yang digembar-gembur Najib, tidak memberi gambaran menyeluruh mengenai suasana ekonomi semasa dan kesusahan yang dilalui rakyat, khususnya keluarga berpendapatan rendah.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger