Home » » Tambah Skill Kemahiran Mahasiswa Bagi Atasi Pengangguran

Tambah Skill Kemahiran Mahasiswa Bagi Atasi Pengangguran

Written By Wadah Baru on Ahad, 23 April 2017 | 3:55 PTG



Oleh YB Chang Lih Kang

Pakatan Harapan jika diberi peluang mentadbir negara ini mahu melaksanakan dasar pendidikan yang menyaksikan mahasiswa mampu menguasai pelbagai kemahiran melalui pemantapan bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris, bukan hanya salah satu daripadanya.

Perkara itu penting kerana penguasaan bahasa yang mantap menghasilkan mahasiswa yang berdaya saing, malah menguasai pelbagai bidang kemahiran baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Malah, saya juga mahu memberi galakan supaya lebih ramai mahasiswa memiliki bahasa ketiga sebagai nilai tambah terhadap kemahiran berbahasa sedia ada. Apatah lagi, amalan itu semakin lazim dalam kalangan rakyat negara ini.

Ia sekaligus dapat menguncupkan bilangan mahasiswa yang menganggur atas sebab masalah kekurangan kemahiran dalam banyak bidang termasuk kelemahan dalam aspek berbahasa.

Ini kerana saya berasa sangat bimbang dengan pendedahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Ghauth Jasmon yang menyatakan sekitar 400,000 graduan tempatan bakal menjadi penganggur.

Saya turut berasa kecewa dengan perkembangan ini kerana 80 peratus daripada jumlah itu adalah mahasiswa dari kalangan Bumiputera, sekaligus menunjukkan wujud trend atau sebab tertentu yang mendorong berlaku masalah itu.

Justeru, saya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengambil langkah drastik bagi mengatasi masalah itu dan tidak hanya bermain retorik perkauman sempit hingga mengakibatkan kepentingan mahasiswa tempatan terjejas.

Besar kemungkinan kesukaran mahasiswa memperoleh pekerjaan akibat 'rangking' universiti tempatan merudum beberapa tahun kebelakangan ini, seterusnya syarikat tempatan mahupun bertaraf antarabangsa lebih mengutamakan mahasiswa luar negara.

Kegagalan Najib mengatasi masalah penggangguran dalam kalangan mahasiswa tempatan itu hanya akan mengesahkan jangkaan Prof Ghauth yang tidak menolak kemungkinan jumlah itu meningkat kepada 600,000 dalam masa beberapa tahun lagi.

Menteri Kabinet juga harus menjadi suri teladan (role model), bukan sahaja pandai membuat ucapan retorik dalam politik tetapi memiliki kemahiran khusus penguasaan bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris.

*YB Chang Lih Kang*
ADUN Teja
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN
Parti KEADILAN Rakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger