Oleh Arif Atan
Pakatan Harapan berpendapat kerajaan BN cuba menutup kelemahan besar
polisi berkaitan kebajikan golongan pekerja sehingga kadar pertumbuhan
gaji di negara ini jauh lebih rendah berbanding kadar produktiviti dan
peningkatan aset hartanah.
"Lebih malang lagi, pecahan daripada pendapatan keseluruhan negara
menyatakan bahawa hanya sekitar 34.8 peratus sahaja yang diagihkan
kepada golongan pekerja dan selebihnya kepada golongan korporat dan
kerajaan (melalui cukai).
"Keadaan ini membuktikan wujudnya masalah gaji di negara kita.
Ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang
meningkat, pekerja hari ini semakin tertindas dengan kekurangan
pemilikan aset serta jurang kekayaan yang semakin melebar," dipetik
daripada kenyataan bersama pemimpin PKR, Amanah dan DAP.
Kelemahan sistem pendidikan juga, tegas mereka, menyebabkan majoriti
pekerja di negara ini merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)
dan ke bawah dengan hanya sekitar 28 peratus golongan pekerja yang
berpengalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
"Keadaan ini dikaitkan dengan pendapatan rakyat Malaysia yang rendah.
Kelulusan pendidikan pada tahap-tahap tertentu begitu penting di
Malaysia dalam memasuki alam pekerjaan.
"Pekerja tidak mahir di Malaysia seringkali ditindas dengan
pendapatan kecil, bahkan terpaksa bersaing dengan enam juta pekerja
asing yang sebahagian besarnya adalah pendatang asing tanpa izin
(PATI)," jelas kenyataan tersebut hari ini.
PKR yang diwakili Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani
berkata, pada masa sama hanya lapan peratus pekerja di Malaysia bernaung
dengan mana-mana kesatuan pekerja sekaligus bukti kerajaan BN kurang
memberi perhatian pada kebajikan golongan pekerja.
"Kerajaan tidak memberikan insentif atau menekankan keperluan
wujudnya kesatuan pekerja yang berusaha menjaga kebajikan ahli mereka.
"Daripada perspektif lain, kesatuan sekerja seharusnya lebih
progresif dan inovatif dalam menuntut hak pekerja, bukannya membawa
idea-idea lama seperti menaikkan usia persaraan.
"Dalam era industri, keperluan kesatuan pekerja perlu dititikberatkan
dan dilindungi. Majikan harus memahami dan menerima kesatuan pekerja
secara terbuka kerana merekalah yang menyumbang tenaga, masa dan idea
untuk menggerakkan organisasi yang menyumbang pendapatan kepada majikan
itu sendiri," ujarnya.
Turut disokong Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil kenyataan
tersebut menegaskan kerajaan BN kurang memberi penekanan kepada isu
diskriminasi dalam pekerjaan terutama melibatkan etnik dan gender.
"Kajian menunjukkan berlakunya keadaan ini disebabkan oleh penguasaan sesuatu etnik dalam sektor pekerjaan awam dan swasta.
"Manakala, kebajikan pekerja wanita termasuk peluang menjawat
portfolio pengurusan tertinggi sepatutnya diambil berat oleh kerajaan,"
dipetik daripada kenyataan itu hari ini yang juga disertai Ahli Parlimen
DAP Klang, Charles Santiago.
Sehubungan itu, mereka menyifatkan permasalahan yang berlaku dalam
industri pekerja hari ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan BN dalam
memperjuangkan kelas pekerja.
"Dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia
bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi, persekitaran ekonomi
yang semakin mencabar dan tatakelola buruk BN akhirnya memangsakan
golongan pekerja.
"Jadikan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada kali ini sebagai jalan
untuk mereformasikan industri pekerja di Malaysia dalam meniupkan semula
semangat internasionalisme 1 Mei yang sudah sekian lama diabaikan oleh
kerajaan Umno-BN," tegas kenyataan bersama itu lagi.
Kadar pertumbuhan gaji rendah, kos hidup tinggi
Written By Wadah Baru on Selasa, 2 Mei 2017 | 1:58 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan