Home » , » Muktamar hasil persepsi buruk kepada Pas, kata Mahfuz

Muktamar hasil persepsi buruk kepada Pas, kata Mahfuz

Written By Wadah Baru on Rabu, 3 Mei 2017 | 2:12 PTG

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan muktamar tahunan Pas yang berakhir Isnin lalu sebagai gagal dan menjadikan Pas semakin terpinggir.
"Sebagai ahli yang amat sayangkan Pas, saya sungguh sedih kerana apa yang berlaku pada muktamar itu menyebabkan persepsi orang ramai terhadap Pas semakin buruk," katanya ketika berceramah di program menuju Kelantan baru di Kota Bharu malam tadi.
Menurutnya kini Pas semakin dilihat mahu bermusuh dengan semua orang dan semakin lunak dan mesra dengan Umno dan Barisan Nasional.
"Dengan keputusan bercerai talak tiga dengan PKR, kini semua parti-parti pembangkang dianggap musuh dan dilabel dengan perkataan-perkataan yang buruk," katanya.
Kepimpinan Pas kini, katanya, bersifat songsang berbanding dengan kepimpinan terdahulu.
"Arwah Ustaz Fadhil, Yusuf Rawa serta Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencari kawan seramai mungkin sementara Tuan Guru Haji Hadi menghalau kawan-kawan yang sudah lama bersama," katanya.
Mengambil semangat Israk dan mikraj, Mahfuz berkata Allah SWT membuka kaedah siasah dan dakwah kepada Rasululullah SAW.
"Ketika baginda bersedih kerana kematian isteri dan bapa saudara yang banyak membatu, Allah menunjuk jalan.
'Peristiwa perjalanan malam ini membawa nabi bertemu nabi-nabi terdahulu.
"Ini untuk gambarkan usaha dakwah dan siasah ini bukan kita keseorangan tetapi ada ramai kawan yang menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
"Sebab itu dalam melaksanakan kerja besar dan berat mesti kita ramaikan kawan bukan cipta permusuhan dengan semua orang," katanya.
Mengenai tuduhan kepada Amanah sebagai parti pengkhianat, beliau mengingatkan Pas supaya meneliti sejarah.
"Dulu sudah ada orang Pas keluar parti tubuh Berjasa dan Hamim.
"Masa buat Angkatan Perpaduan Ummah untuk jatuhkan Umno tahun 1990, Tok Guru Aziz terima meraka bersama.
"Kalau parti bekas orang Pas ini pengkhianat, adakah kita nak kata arwah Tok Guru telah berpakat dengan pengkhianat," soal beliau.
Beliau turut menyeru ahli Pas supaya berani menegur pimpinan jika mahu parti itu terus maju.
"Memang kita kena taat kepada parti, tapi bila jelas ada perkara yang merosakkan, teguran mesti dibuat.
"Islam bukan agama yang suruh ikut tanpa membuat penilaian dalam segala perkara," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger