Raya tahun ini kami sambut tanpa rumah berteduh,' luah Norman Abd
Hamid Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakar Batu Perling,
Johor.
Beliau mengeluh kerana beberapa penduduk terpaksa mengosongkan
kediamanan mereka setelah notis dikeluarkan dan mereka perlu berpindah
sebelum 9 Mei 2017.
Norman berkata, dia serta penduduk kampung telah membuat pelbagai
usaha untuk menyelamatkan kampung mereka dari diambil tindakan perobohan
oleh pihak pemaju yang ingin membangunkan tapak kampung tersebut tetapi
usaha mereka gagal.
“Sudah macam-macam usaha yang kami penduduk kampung lakukan untuk
menyelamatkan kampung kami dari perobohan oleh pihak pemaju tetapi
segala usaha kami gagal dan tidak mendapat jawapan yang baik.
“Ramai penduduk kampung yang tinggal di sini tidak memiliki rumah
lain hanya ini sahajalah rumah kami dan ada yang mengeluh termasuk saya
memikirkan soal hari raya tahun ini yang mana kami tidak lagi mampu
menyambutnya seperti sebelum ini dan silap-silap kami mungkin menyambut
di bawah bumbung langit,” ujar Norman ketika ditanya mengenai status
kampung tersebut.
Bagaimanapun katanya, semangat penduduk kampung tidak pernah pudar
sehingga pagi semalam beliau bersama tiga orang penduduk kampung sekali
lagi membuat pertemuan dengan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan
Mohamad bagi menyerahkan memorandum tetapi dakwanya, tidak dilayan malah
penduduk kampung diberikan kata dua yang tidak sepatutnya.
“Sehingga pagi tadi (semalam) saya masih lagi berjuang membawa
memorandum bantahan penduduk kepada Datuk Nur Jazlan tetapi dia kata
'kalau awak semua nak pindah saya tolong tapi kalau awak semua nak
tinggal lagi terpulanglah pada awak semua'.
“Kenyataan Nur Jazlan itu memang meruntun hati kami penduduk Kampun
Bakar Batu sedangkan kami ini semua adalah pengundi beliau dan kami
sehingga hari ini masih lagi bersemangat mempertahankan kampung kami
dari dirobohkan atau diambil oleh pihak luar,” ujarnya lagi.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Suhaizan
Kaiat menjelaskan dalam ceramah beliau, kerajaan negeri telah menjual
tanah kediaman penduduk kepada sebuah syarikat.
Suhaizan juga menjelaskan bahawa, selain tindakan perundangan yang
dibawa penduduk sebelum ini, terdapat tindakan selain itu dan ia adalah
gerakan politik yang mampu mendesak agar isu kampung ini dapat
diselesaikan dan penduduk pula harus memberikan kata dua kepada kerajaan
negeri.
Ceramah solidariti yang berlangsung di perkarangan surau kampung
tersebut turut dihadiri oleh, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub,
Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Johor Datuk Osman Sapian, Pengerusi PKR
Johor Hassan Karim, Adun Pengkalan Rinting YB Cheo Yee How dan seluruh
penduduk kampung Bakar Batu.
Penduduk Kampung Bakar Batu diarah kosongkan rumah lama diduduki
Written By Wadah Baru on Isnin, 1 Mei 2017 | 1:55 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan