Home » , » PM Sementara: Mengapa tidak Mat Sabu?

PM Sementara: Mengapa tidak Mat Sabu?

Written By Wadah Baru on Selasa, 23 Mei 2017 | 9:07 PG

Oleh Mohd Azhar Abd Rahman 

Dalam pada seluruh pimpinan Pakatan Harapan bersetuju untuk menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional terlebih dahulu sebelum menamakan mana-mana pemimpin sebagai perdana menteri, namun pada masa sama terdapat pimpinan parti mula mengenengahkan ketua mereka sebagai calon tidak dapat disembunyikan. Ia bolehlah diibaratkan seperti kelip-kelip terbang malam.

Pada sesetengah pihak ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat kerana ia menggambarkan seolah-oleh PH terlalu memikirkan soal jawatan dan pangkat daripada memberi tumpuan sepenuhnya terlebih dahulu kepada strategi dan kempen mengalahkan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang. Tidak kurang juga yang berpendapat calon PM sebaiknya dikemukakan lebih awal supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat di bawah bahawa kesepakatan PH benar-benar ampuh dan bersedia mengambil alih Putrajaya.

Apa yang pasti, majoriti pimpinan PH bersetuju sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya, tanggungawab PM diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dibebaskan dari hukuman penjara. Malah bekas seterunya, Tun Dr Mahathir juga pernah berkata jika itu yang dimahukan rakyat, siapalah beliau untuk menghalang.

Mengambil kira tempoh masa Anwar dapat dibebaskan untuk melayakkan beliau bertanding sebagai ahli Parlimen seterusnya diberi mandat sebagai PM, masa yang diperlukan untuk ke arah itu kira-kira 2 hingga 3 tahun dan mungkin lebih. Sebelum usaha itu dapat dijayakan, seorang PM interim perlu dilantik supaya urusan kerajaan dan perubahan-perubahan yang diuar-uarkan semasa kempen dapat dilaksanakan.

Sekiranya ini “roadmap” yang dipersetujui, maka PM interim inilah yang menjadi tanda tanya, siapa selayaknya?

Kelihatannya seperti mudah. Lantik, tunggu Anwar keluar dan serah kepada Anwar. Tetapi tidak semudah yang difikirkan. Lihat sahaja roadmap Langkah Kajang. Nampak mudah dan seperti boleh dilaksanakan tetapi setelah separuh jalan, pelbagai pula mehnah dan karenah berlaku. Bukan kerana roadmapnya tetapi keteguhan kepada janjinya.

Sesiapa sahaja boleh meletakkan nama sebagai PM interim ini kerana pada kefahamannya ia hanya bersifat sementara. Tetapi sementara itu bukan bermaksud tak perlu buat apa-apa dan hanya menunggu Anwar. Ada kerja dan tuntutan yang perlu dilaksanakan dan tidak boleh diambil mudah.

Kita tidak mahu Pakatan Harapan yang mendapat kepercayaan rakyat nanti bertukar menjadi “putus harapan”. Dalam Kongres PKR baru-baru ini, malah sebelum ini pun PKR optimis tugas PM sementara hanya layak disandang Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. PPBM pula melalui pengerusinya enggan memberi sebarang bayangan awal dan mengajak semua pihak berusaha mengalahkan BN terlebih dahulu dan melihat parti mana yang memenangi kerusi terbanyak akan diberi mandat tersebut. Maka mereka memilih untuk menangkap gambar daripada mengangkat sepanduk ANWAR PM ke-7 .

Namun ada pihak yang melihat PPBM berminat dengan jawatan tersebut setelah dikatakan berusaha meminta lebih banyak kerusi parlimen untuk ditandingi pada PRU akan datang.

DAP pula dari awal menolak sangkaan pihak tertentu yang mengatakan mereka bakal diangkat sebagai PM atau TPM sekiranya menang PRU-14 nanti. Lim Kit Siang tegas mengatakan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi PM.


Hanya Amanah yang kelihatan tidak mahu dilihat berminat dengan jawatan tersebut dan hanya akan membawa pandangan melalui perbincangan dalaman. Namun sebagai gabungan yang mesra kepada pandangan dan pendapat dari sisi berbeza, saya lontarkan, mengapa tidak Mohamad Sabu?
Tanpa menafikan kemampuan mana-mana calon yang disebut, mari kita lihat merit yang ada pada Haji Mohamad bin Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu yang kini berusia 63 tahun, 29 tahun lebih muda dari Tun Dr Mahathir.

Beliau tokoh tulen yang setia berada dalam posisi pembangkang sejak dari awal pembabitannya dalam politik. Lebih separuh usianya dihabiskan dalam gerak kerja sebagai ahli politik pembangkang.

Beliau tidak mengambil langkah “mencuci dari dalam” seperti yang dibuat beberapa pimpinan yang akhirnya diri mereka “dicuci” terlebih dahulu. Seandainya beliau mengambil langkah sedemikian, dan setia benar kepada ketuanya, mungkin tempat Zahid Hamidi itu miliknya. Tetapi kerana percaya dan benar-benar berpegang teguh dengan prinsip, itu bukan jalan yang dipilih Mat Sabu.

Beliau berusaha dan komited, untuk melaksanakan perubahan, reformasi, tajdid, islah atau apa sahaja istilah yang disebut ke arah membina semula negara, maka sebuah kerajaan di luar dari pengaruh BN perlu diwujudkan.

Menyedari hakikat itu, beliau menjelajah ke seluruh negara, masuk ke semua ceruk kampung, berceramah dan bersyarah dengan gaya bahasa bersahaja mengajak rakyat berfikir tentang masa depan. Tanyalah kepada beliau, daerah mana yang tidak pernah beliau kunjungi.

Sejak 70-an beliau berpegang kepada prinsip ini dan berjuang sepenuh hati mengajak rakyat bersama beliau ketika itu. Melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), seterusnya bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kini Parti Amanah Negara (Amanah), beliau tetap meneruskan usahanya mengajak kepada perubahan.

Masuk keluar penjara tidak menjadi masalah baginya malah duduk bersama dengan orang yang memenjarakannya pun bukan penghalang untuk terus berusaha memastikan perubahan berlaku sehinggakan ramai tokoh yang dahulunya penentang beliau kini mengakui apa yang diperjuangkan Mat Sabu adalah benar.

Mat Sabu pencetus kepada budaya berbincang secara ilmiah. Ingatkah anda isu Mat Indera? Atas lontaran beliau tentang Mat Indera, forum-forum dan perbincangan berkaitan sejarah negara menjadi perhatian dan menghidupkan budaya perbincangan ilmiah di universiti malah di kampung. Itulah penangan Mat Sabu.

Meskipun beliau bukan pemegang ijazah kedoktoran (phd), rekod yang merakamkan pemikiran dan usaha juang beliau ada dalam arkib tesis dan disertasi di universiti. Beliau juga mengamati perkembangan politik dunia dan sering ke negara luar untuk memahami dan melihat sendiri isu yang berlaku di negara tersebut. Cuma kehadirannya bukan sebagai pemimpin kerajaan, jadi tiada liputan yang diberikan kepada beliau.

Seperti yang pernah disebut Prof Dr Ridhuan dalam satu majlis penyerahan tesis oleh graduan seliaannya, beliau berkata, pemikiran Mohamad Sabu bukan sahaja terpancar di dalam negara bahkan hingga ke University Frankfurt cuma perjalanan dan pemikiran Mohamad Sabu tidak dirakam dalam bentuk tulisan menyebabkan ia seakan tidak terpandang dan tiada dalam rak di perpustakaan.

Dalam gerakan bersama rakyat, gerakan apa yang tidak disertai Mat Sabu? Hampir kesemua gerakan sivil yang melibatkan isu rakyat didokongi beliau malah ada beberapa gerakan diasaskan beliau. Ini menunjukkan beliau benar-benar menjiwai keluhan rakyat dan mempamerkan sikap yang tegas dalam memperjuangkan isu rakyat. Oleh sebab itu, hampir seluruh rakyat di negara ini baik di kampung mahupun bandar mengenali Mat Sabu malah kebanyakan orang kampung memanggil Amanah sebagai Parti Mat Sabu. Begitulah betapa tingginya jenama Mat Sabu di mata rakyat.

Apa yang lebih penting dalam semua yang dinyatakan di atas adalah ketulenan beliau dalam menggalas tugas sebagai pemimpin pembangkang. Istiqamahnya beliau dalam menjadi penyemak dan pengimbang dasar kerajaan dan terus-terusan memberi tekanan kepada isu korupsi telah teruji dan pengalaman beliau ini merupakan kualiti yang diperlukan sebagai pemimpin utama negara.

Soal prinsip dan keberanian membuat keputusan tidak perlu dipertikai. Beliau keluar dari memegang sebarang jawatan di Pulau Pinang sejurus PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Beliau keluar dari PAS, parti yang beliau perjuangkan puluhan tahun dan membina Amanah kerana mempertahankan prinsip “amar makruf nahi mungkar” yang dipegang beliau.

Beliau buang hal peribadi dan perasaan lama untuk meraikan sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan ini atas dasar prinsip. Maka, andai diberi mandat untuk memimpin negara sehingga Anwar layak diserahkan tugas tersebut, saya yakin beliau tidak akan berdolak-dalih untuk merealisasikan perkara tersebut.

Sehingga kini, ketokohan dan kualiti yang ada pada Mat Sabu sebagai pembawa perubahan perlu diakui. Beliau antara pemimpin teratas yang disenangi oleh semua komponen PH baik Melayu mahupun bukan Melayu. Tidak pernah terlibat atau mencetuskan konflik sesama mereka malah sering mengambil sikap terbuka apabila timbul perselisihan. Di dalam parti yang diketuainya, kedudukannya teguh dan bergerak maju. Inilah nilai kepimpinan yang ada padanya bersama pasukan yang mempunyai latar dan rekod cemerlang.

Sekiranya ditanya siapa pemimpin “Muslim Demokrat” yang ada di Malaysia selain Anwar Ibrahim, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa orangnya adalah Mat Sabu.

Cuma Mat Sabu tidak pernah duduk dalam kerajaan, tidak pernah memegang kuasa dan jawatan besar seperti mana Anwar dan orang tidak dapat melihat bekas tangannya dalam hal pentadbiran kecuali pengalamannya menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal, Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).

Namun sekiranya tugas sebagai PM interim diberikan kepadanya, saya yakin beliau tidak hanya akan menunggu, malah beliau akan segera melaksanakan proses perubahan yang dilaungkan seiring dengan aspirasi Anwar dan rakan-rakan.

Maka, sekali lagi saya sarankan dalam isu ini, mengapa tidak Mohamad Sabu yang menjadi pilihan?
Mohd Azhar Abd Rahman adalah Setiausaha Pemuda Amanah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger