Home » , » Sallehen: Pesuruhjaya PAS Selangor tak semestinya exco negeri

Sallehen: Pesuruhjaya PAS Selangor tak semestinya exco negeri

Written By Wadah Baru on Rabu, 10 Mei 2017 | 12:53 PTG

Pesuruhjaya PAS Selangor tidak semestinya dipilih daripada kalangan exco negeri kerana ia bukan amalan parti Islam itu, kata Sallehen Mukhyi.

Beliau yang baru dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pemilihan calon untuk jawatan itu dibuat Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS Pusat.

“(Ia) bukannya dinilai sama ada dia exco (negeri) atau tidak.

“Pemilihan mengikut kehendak presiden dan keputusan bersama dalam PAS Pusat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor malam tadi.

Beliau berkata, bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut dilantik ke jawatan itu sebelum menjadi exco negeri.

“Begitu juga Dr Abd Rani Osman menjadi pesuruhjaya PAS Selangor, tetapi dia bukan exco dan Iskandar pun dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor secara kebetulan dia exco negeri itu.”

Minggu lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan, isu Iskandar digugurkan tidak timbul dan perubahan dibuat disebabkan isu politik di Selangor.

Katanya, Iskandar diminta menumpukan perhatian dalam pentadbiran Selangor dan peranannya selaku naib presiden untuk menjaga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iskandar yang merupakan exco perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar berkata, beliau mahu terus kekal dalam kerajaan Selangor bagi memastikan semua program dan inisiatif kerajaan negeri dilaksanakan.

Sallehen berkata, kepimpinan parti melantik beliau sebagai pesuruhjaya PAS Selangor supaya Iskandar boleh menumpukan perhatian sebagai naib presiden parti itu untuk menjaga 4 negeri.
“PAS negeri terpaksa kurangkan bebannya dan fokus ke peringkat lebih besar. Antara fokus negeri disasarkan PAS ialah Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ini untuk memastikan PAS boleh hantar calon dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di 3 negeri itu dan memastikan PAS dalam organisasi kukuh dan kuat.”

Katanya, Mohd Shafie Ngah dan Ahmad Dusuki Abd Rani juga digugurkan daripada jawatan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor II dan III bagi membolehkan mereka memfokuskan tugas di peringkat PAS Pusat.

Dalam pada itu, Sallehen mengulangi pendirian PAS Selangor untuk terus kekal dalam kerajaan negeri, selepas Muktamar PAS ke-63 pada 30 April lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Katanya, PAS hanya terkeluar daripada kerajaan negeri jika ada pembubaran DUN Selangor.
“PAS nak jaga dasar parti, tetapi terus berada dalam kerajaan kerana PAS berada dalam kerajaan negeri hari ini ialah dipilih dan diberi mandat dalam pilihan raya lalu.

“Ini bagi mengurus maslahat rakyat jauh lebih penting. Kita telah bersama dalam kerajaan negeri walaupun dah putus dengan DAP,” katanya.

Akhir bulan lalu, PAS menuduh PKR mengkhianati perjanjian kerjasama antara mereka, ketika pembentangan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.

PAS tidak berpuas hati dengan sokongan PKR kepada calon Amanah pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar Jun 2016, kegagalan PKR menyokong usul Hadi untuk meningkatkan hukuman bagi pesalah syariah, serta dilihat bersama DAP menentang usul itu.

Usul memutuskan hubungan dengan PKR itu kini diangkat ke Majlis Syura Ulama PAS untuk dimuktamadkan.

Sallehen berkata, jika Majlis Syura Ulama PAS memutuskan tiada kerjasama dengan PKR, maka mereka tidak akan berbincang soal pembahagian kerusi dengan parti reformasi itu pada PRU14.

Adun Sabak itu turut mengulangi kenyataan Iskandar pada 24 April lalu yang PAS Selangor akan bertanding di 45 kerusi DUN negeri itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger