Home » , » Ahli akademik cabar Hadi jelas kewajaran RUU 355

Ahli akademik cabar Hadi jelas kewajaran RUU 355

Written By Wadah Baru on Rabu, 10 Mei 2017 | 12:56 PTG

Oleh Sheith Khidhir Bin Abu Bakar
 
KUALA LUMPUR: Seorang ahli akademik mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan kewajaran cadangannya untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan syariah.

Cabaran itu dibuat Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhamad Rozaimi Ramle pada sebuah forum mengenai rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Beliau yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis merujuk cadangan untuk meningkatkan hukuman penjara maksimum terhadap pesalah syariah kepada 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.
Katanya, Al-Quran mahupun mana-mana hadis tidak menyatakan penjara 30 tahun ialah hukuman berat.
“Jadi, adakah adil melabelkan saya anti-hudud jika saya meminta justifikasi di sebalik hukuman penjara dan denda itu? Saya tak fikir begitu,” katanya yang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang hadis.

Merujuk cadangan sebat, beliau berkata, rang undang-undang itu tidak menyatakan jumlah sebatan bagi jenayah tertentu.

“Di bawah hudud, sangat jelas anda mendapatkan 100 sebatan jika anda berzina, 80 untuk qazaf dan 40 sebatan jika anda minum alkohol, tetapi rang undang-undang ini tidak membiarkannya (tidak menyatakan secara spesifik).

“Oleh itu, ini bukan undang-undang tuhan dan anda tidak boleh melabelkan mereka yang menentang rang undang-undang itu sebagai kafir.”

Rozaimi mencadangkan Hadi menyemak semula cadangan untuk menjadikannya lebih khusus.

“Penyokong rang undang-undang ini berhujah jika tidak boleh melaksanakan semua hukum Allah, ia bukan alasan untuk melaksanakan apa yang anda mampu. Baiklah, tetapi anda tidak boleh membuat semua umat Islam bersetuju dengan rang undang-undang Hadi.

“Dengan menggunakan hujah sama, jika anda menyatakan 100 sebatan untuk zina, 80 untuk qazaf dan 40 untuk minum alkohol, maka saya percaya umat Islam boleh bersetuju dengannya, menjadikan rang undang-undang itu lebih senang untuk diluluskan.”

Bekas ketua hakim syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya turut berucap pada forum itu. Beliau mengecam umat Islam yang menggelar umat Islam lain sebagai kafir.

“Nabi Muhammad melarang umat Islam memanggil orang lain kafir, dengan berkata anda boleh menjadi kafir jika berbuat demikian.

“Malah, imam besar daripada 4 mazhab Sunni tidak bersetuju dengan satu sama lain dalam perkara tertentu, namun mereka tidak menggelar satu sama lain kafir. Amat sedih melihat sejauh mana kita tersasar daripada jalan dilalui mereka yang kita mahu contohi.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger