Home » , » Amanah tentang tindakan terhadap media di bawah Akta Hasutan dan Mesin Cetak

Amanah tentang tindakan terhadap media di bawah Akta Hasutan dan Mesin Cetak

Written By Wadah Baru on Khamis, 1 Jun 2017 | 10:18 PG

Pemuda Amanah Nasional mendesak  Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)  tidak mengambil sebarang tindakan terhadap akhbar The Star di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Timbalan Ketua Pemudanya Faiz Fadzil berkata, insiden ini mampu menjadi pengajaran terbaik kepada semua pihak di negara ini.

"Insiden ini akan dapatmempromosikan permuafakatan kaum dan agama sebagai agenda nasional bagi memastikan kemakmuran dan keamanan negara ini terus terpelihara.

"Sensitiviti kaum dan agama hendaklah sentiasa diutamakan. Justeru, kami percaya pihak media harus memainkan peranan penting menjayakan agenda ini," ujarnya dalam kenyataan.

Pada 27 Mei lalu akhbar berbahasa Inggeris itu telah memaparkan di muka hadapan foto dan keterangan gambar umat Islam sedang mengerjakan solat terawih pada hari pertama Ramadan di bawah tajuk terang “Malaysian Terrorist Leader”.

Ini mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak, pemimpin parti politik dan terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam, yang menyifatkan tajuk berita dan keterangan gambar itu sebagai tidak sensitif terhadap perasaan masyarakat Islam.
Pada Selasa Kementerian Dalam Negeri memanggil empat editor The Star untuk menjelaskan tajuk, foto dan keterangan gambar yang seolah-olah menunjukkan umat Islam ada kaitan dengan terrorisme.

The Star kemudian diberikan masa tujuh hari untuk menjawab surat mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar tabloid itu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, termasuk menggantung permit penerbitannya.

Polis juga  telah  membuka kertas siasatan berhubung penyiaran muka depan akhbar berbahasa Inggeris The Star di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan, menerusi kenyataan  Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Baka pada Selasa.

Menurut Faiz lagi, Amanah sebagai sebuah parti yang menjunjung kebebasan dan hak asasi seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya lagi, sebarang tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau mana-mana undang-undang drakonian yang menyekat kebebasan media terhadap akhbar The Star termasuk pengarang, wartawan atau jurufoto yang dikaitkan dengan berita tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Pemuda Amanah Nasional mengambil pendirian bahawa keluhuran Perlembagaan dan undang-undang hendaklah dipelihara demi menyuburkan amalan demokrasi di dalam negara ini," ujarnya.

Pada 28 Mei lalu menerusi kenyataan Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan dipetik berkata, akhbar The Star perlu memohon maaf kepada umat Islam di negara ini kerana menimbulkan persepsi negatif berhubung ibadat orang Islam.

Sebagai media yang bertanggungjawab terhadap sebarang laporan yang disediakan, The Star perlu mengakui kekhilafan mereka terhadap perkara ini dan ia wajar dijernihkan segera.

Tambah Faiz lagi, Pemuda Amanah Nasional menerima permohonan maaf akhbar The Star yang dibuat secara terbuka kepada rakyat negara ini.

"Pemuda Amanah Nasional menerima permohonan maaf akhbar The Star berkaitan berita muka depan keluaran 27 Mei 2017 lalu." ujarnya.

Akhbar The Star pada 29 Mei lalu telah menyatakan permohonan maaf mengenai insiden muka depan yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan akhbar berkenaan telah memperjelaskan pihaknya tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam.

Oleh itu Pemuda Amanah mengesa semua pihak bersikap terbuka dengan insiden yang telah berlaku itu.

"Kami menggesa agar semua pihak bersikap terbuka dan mahabbah untuk menerima permohonan maaf tersebut kerana agama Islam menganjurkan sikap berkasih sayang dan kemaafan di atas keterlanjuran sesuatu perkara sebagai nilai penting Islam sebagai agama rahmat," ujarnya.

Semalam dua editor kanan The Star telah digantung tugas berikutan siasatan terhadap muka hadapan akhbar itu pada 27 Mei.

Menurut laporan The Star Online, dua editor itu ialah Ketua Pengarang Datuk Leanne Goh Lee Yen dan  Pengarang Eksekutif Dorairaj Nadason.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger