Home » , » Bukan Umno sahaja politikkan hudud, kata Raja Bahrin kepada PAS

Bukan Umno sahaja politikkan hudud, kata Raja Bahrin kepada PAS

Written By Wadah Baru on Selasa, 30 Mei 2017 | 8:53 PG

PETALING JAYA: Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyindir PAS ekoran kenyataan Naib Presidennya Idris Ahmad yang mendakwa Umno menjadikan hudud modal politik menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Bukan Umno sahaja yang mempolitikkan hudud untuk kepentingan politik. Ada parti lain yang menggunakan hudud lebih awal dari Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Idris hari ini bahawa Umno tidak konsisten dalam isu undang-undang syariah, dan hanya menjadikannya sebagai modal politik bagi menyekat PAS di Terengganu pada pilihan raya akan datang.
Ia ekoran Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang berkata negerinya belum bersedia melaksanakan hudud.
Ia bertentangan dengan kenyataan Exco Telekomunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2001 akan tetap diperjuangkan.
Raja Kamarul Bahrin mengingatkan kembali saat Umno dan PAS menolak usul seorang Adun yang mahu membahaskan Enakman Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 pada sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu.
Beliau mendakwa usul dibawa Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) bertanyakan tentang kemajuan dan perjalanan enakmen yang diluluskan 15 tahun lalu ketika PAS mentadbir negeri.
“Cadangan Syed Azman anehnya ditolak oleh Speaker, dan tidak disokong oleh mana-mana Adun PAS dan Umno.
“Inilah situasi di Terengganu, 31 dari 32 Adun terdiri daripada PAS dan Umno. Hanya ada seorang Adun dari PKR yang dituduh ‘penghalang pelaksanaan undang-undang syariah’. Siapa sebenarnya penghalang?” soal Raja Kamarul.
Enakman Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 diluluskan kerajaan negeri ketika di bawah pentadbiran PAS sebagai usaha untuk melaksanakan hudud di sana.
“Di Parlimen, RUU 355 dikatakan digagalkan Pakatan Harapan yang hanya ada 88 daripada 222 kerusi Parlimen. Siapa pula yang menggagalkan (usul membincangkan enakmen) di DUN Terengganu, jika bukan Umno dan PAS yang menguasai 31 daripada 32 kerusi DUN?” tambahnya.
Beliau merujuk kepada rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 yang mula diusulkan di Parlimen oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku ahli Parlimen Marang pada 2015.
Usul Hadi itu mahu meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.
“Pihak kerajaan dan PAS-lah yang telah menangguhkan (perbahasan) RUU 355 sebanyak 3 kali di Parlimen. Pihak yang sama menghalang enakmen jenayah syariah dibahaskan di DUN Terengganu tahun lepas,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger