Oleh Shahbudin Husin
Naib Presiden Bersatu, Hamidah Osman dipercayai akan meninggalkan parti
itu dalam waktu terdekat ini untuk menyertai Parti Bebas Rasuah
pimpinan Ezam Mohd Nor.
Hamidah yang kini bermasalah dengan
Bersatu dan semalam didesak oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar
meletakkan jawatan kerana didakwa menjadi dalang dalam isu perpecahan
parti itu di peringkat negeri Perak, dikatakan tiada pilihan lain selain
menyertai Parti Bebas Rasuah untuk meneruskan perjuangan politiknya.
Walaupun Hamidah didakwa sudah sekian lama memendam rasa dengan Bersatu
atas beberapa perkara, cabaran Syed Saddiq semalam dikatakan menjadi
antara punca beliau mempercepatkan tindakannya itu.
Sebelum ini,
sudah terdapat rakan-rakannya yang mencadangkan beliau berbuat
demikian, tetapi mereka mahu Hamidah meninggalkan Bersatu setelah Parti
Bebas Rasuah diterima sebagai anggota baru Pakatan Harapan.
Namun, kini hasrat itu terpaksa dipercepatkan kerana terus kekal dalam Bersatu pun tidak bermakna apa-apa lagi baginya.
Hamidah dikatakan tidak akan akan memilih untuk kembali kepada UMNO
kerana masih ingin bersama-sama dengan Tun Mahathir Mohamad dalam
perjuangan menyingkirkan Najib Razak, UMNO dan BN.
Hamidah
dipercayai hanya bermasalah dengan Muhyiddin Yassin yang merupakan
Presiden Bersatu dan dengan menyertai Parti Bebas Rasuah, wadah saja
yang berbeza baginya tetapi matlamatnya tetap sama sebagaimana sebelum
ini.
Selepas menyertai Parti Bebas Rasuah, Hamidah dipercayai akan diberikan satu jawatan penting dalam parti itu.
Parti Bebas Rasuah, sebelumnya adalah Parti Generasi Baru dan kini
sedang dalam proses pertukaran nama dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.
Ia ditukar nama sebaik Ezam mengambil alih parti tersebut.
Sekiranya penyertaan Hamidah itu menjadi kenyataan, bermakna ketiga-tiga
pemimpin utama Parti Bebas Rasuah selepas ini adalah merupakan bekas
ahli Bersatu.
Sebelum ini, Presidennya, Ezam Mohd Nor dan
timbalannya, Khairuddin Abu Hasan, turut pernah menyertai Bersatu tetapi
kemudian keluar secara tiba-tiba dengan alasan masing-masing sebelum
mereka kemudian bergabung untuk menerajui Parti Bebas Rasuah.
Apakah masa depan Parti Bebas Rasuah makin menyerlah dengan penyertaan Hamidah?
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan