Home » , » Parti baru ini akan menawan hati golongan generasi baru Malaysia

Parti baru ini akan menawan hati golongan generasi baru Malaysia

Written By Wadah Baru on Khamis, 3 September 2015 | 12:52 PTG

Oleh Abd Shukur Harun 

Penubuhan parti baharu di mana namanya akan diumumkan tidak lama lagi, iaitu anak kandung NGO
Gerakan Harapan Baru (GHB) secara rasmi diumumkan semalam, bertepatan pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos, tentunya mempunyai makna yang penting.

Pertamanya kerana ia didahului perhimpunan Bersih 4 yang mendapat sambutan luar biasa rakyat pelbagai kaum dan agama. Walaupun semuanya ini secara kebetulan, tetapi parti baharu ini memang mendukung cita-cita Bersih yang mahukan pilihan raya bersih, memperjuangkan demokrasi dan kebebasan serta keadilan.

Kedua, kelahirannya pada Hari Kemerdekaan, seperti suatu isyarat parti baharu ini sewajarnya mendukung sepenuhnya aspirasi kemerdekaan tanah air dengan segala maknanya. Di sini, saya kira, dengan cita-cita parti baharu itu untuk memperjuangkan sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu akan meninggalkan jauh ke belakang fahaman perkauman dan segala ekstremis yang ditentang Islam sendiri.

Akar tunjang parti baru ini berasaskan Islam dalam makna yang lebih luas, terbuka dan demokratik sesuai dengan sifat Islam sebagai Rahmatan-Lil-Alamin, rahmat seluruh alam, yang bukan saja menaungi umat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam. Di samping itu parti baharu ini akan berusaha membina integriti.

Wajah Islam syumul yang ditampilkan parti baru ini akan bersifat ramah dan mesra dengan semua pihak. Berusaha menambahkan sahabat dan mengurangkan musuh. Mengekalkan hubungan dengan pihak mana pun seperti yang apa dipesan oleh Nabi Muhammad:"Kamu mestilah mengekalkan hubungan dengan sesiapapun, walaupun hubungan itu sampai kepada peringkat seperti sehelai benang sutera."

Ia mendukung pendekatan muwjahah silmiyah - politik santun - yang sangat sesuai dengan iklim politik dan budaya negara yang indah ini. Ketika berada di majlis penubuhan parti itu, saya terkenang allahyarham Ustaz Fadhil Noor dan Dtuk Nik Abd Aziz Nik Mat, di mana saya yakin, parti baharu ini akan meneruskan pendekatan politik Islam kedua-dua tokoh besar itu.

Sejak GHB diwar-warkan beberapa bulan lalu hinggalah tertubuhnya parti ini, sambutan dan harapan rakyat pelbagai kaum sangat tinggi kepadanya.

Walaupun ia dilemparkan dengan pelbagai penghinaan dan tuduhan pihak tertentu di mana tidak perlu diulang lagi di sini, namun parti ini nampaknya mendapat keyakinan pelbagai pihak akan kemunculannya sebagai parti yang teguh dan peramah.

Pendukung utamanya seperti Ustaz Haji Ahmad Awang (penasihat) dengan saf pimpinannya seperti Muhamad Sabu, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Maria Mahmud, Khalid Samad, Nizar Jamaludin, Izham Hashim, Hanipa Maidin, Datuk Wan Rahim, Aminolhuda Hasan dan ramai lagi sangat meyakinkan akan kejayaan parti baru ini.

Bukan semata-mata kerana pengalaman lama mereka dalam kancah politik, tetapi juga dengan latar belakang ketokohan mereka, memberi nilai penting kepada parti baharu ini.

Sejumlah besar golongan profesional pelbagai bidang kini mengambil peranan penting di belakang layar dalam mengerakkan parti ini. Saya memerhatikan gerak kerja mereka ini dalam membantu pemimpin menjayakan parti ini di mana kelihatannya sangat profesional dan penuh idea dan dedikasi.

Yang juga sangat menarik ialah parti ini mendapat dukungan sejumlah ustaz dan ustazah yang progresif, berfikiran terbuka hingga berjaya menganjurkan program Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji 15) yang dihadiri lebih 500 peserta di Shah Alam baru-baru ini. Ia mendedahkan kita kepada keterbukaan fiqh yang merangjkumi politik Islam sesuai dengan keadaan masyarakat majmuk di negara ini.

Ini suatu gambaran bagaimana parti baharu ini adalah gabungan golongan profesional, agamawan dan kalangan veteran politik. Menariknya tidak ada mana-mana golongan yang mendominasi parti baru ini, justeru mereka sama-sama secara equal memberikan sumbangan dan bersedia berwacana. Parti baru ini dibina sedemikian rupa, hingga tidak akan berlaku taksof peribadi kepada pemimpinnya. Ini kerana pemimpinnya bersedia menerima kritikan sihat dan pandangan kedua dari mana pun datangnya.

Sementara itu, menurut pengamatan saya, parti baharu ini seperti sudah berada di tengah arus perdana politik tanah air, terutamanya dengan penglibatan mereka dalam Bersih 4, di mana pimpinannya bertugas di lokasi penting dan sama-sama memimpin perhimpunan yang berjaya itu. Para tokoh parti baru ini sendiri berganding bahu dengan pemimpin PKR dan DAP serta NGO yang menyertai perhimpunan tersebut.

Ini menunjukkan keserasian cita-cita dan pendekatan politik mereka untuk perjuangan besar, menegakkan demokrasi dan keadilan serta menentang perkauman.

Maka itu boleh dibayangkan dalam PRU akan datang, parti ini akan mengambil peranan penting dalam gabungan baharu pembangkang nanti.

Tidak syak lagi parti baru ini akan menawan hati golongan generasi baru Malaysia di mana dalam PRU yang lalu jumlah mereka sebagai pengundi mencapai 4.1 juta dan jumlah ini akan terus bertambah dalam PRU akan datang.

Selain itu, masyarakat sivil di bandar dijangka memberikan sokongan penuh kepada parti baharu ini, di samping pengundi luar bandar yang kelihatan sudah ada tanda-tanda hendak perubahan.
Dalam hubungan ini terlalu awal untuk memikirkan kemungkinan berlaku pertandingan satu lawan satu atau dua atau tiga penjuru dalam PRU akan datang.

Apabila sampai saat PRU nanti, pengundi akan tahu bagaimana parti baru ini berperanan dalam gabungan pembangkang yang baru dan diyakini, parti baru ini akan berada dalam arus perdana politik tanah air.

Yang penting sekarang ialah berusaha mengulangi kemenangan Pakatan Rakyat dalam dua PRU yang lalu. Diharapkan pakatan baharu akan muncul lebih gagah lagi.

Dirgahayu atas kelahiran parti baharu ini.

Kelahiran harapan baharu adalah kehendak gelombang rakyat terbentuk daripada kelompok pelbagai yang mahu bebas politik lama dan harapan lama. Kini harapan baharu akan muncul sebagai entiti politik menyatukan kekuatan pembangkang dalam kelahiran PR 2.0 yang dinanti-nantikan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger