Home » , » Calon MB Kelantan: Husam terima tetapi...

Calon MB Kelantan: Husam terima tetapi...

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Julai 2017 | 3:49 PTG

Oleh HAZAYANI ZAKARIA 

Datuk Husam Musa menerima beliau dinamakan sebagai calon Menteri Besar Kelantan buat sementara waktu, sehingga ada orang lain yang lebih berkelayakan.

Beliau berkata, amat penting bagi sesebuah gabungan politik menamakan calon menteri besar yang boleh diterima rakyat bagi memberikan keyakinan kepada mereka untuk membuat perubahan.

"Buat sementara ini saya terimalah saya dinamakan calon menteri besar sementara ada orang lain yang lebih berkelayakan supaya rakyat Kelantan nampak siapa nak pimpin mereka dan Pakatan Harapan boleh bersatu tenaga," katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini.

Minggu lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kelantan menamakan Husam sebagai menteri besar jika pakatan itu menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kit Siang menyifatkan Husam sebagai calon sesuai dengan ketokohannya untuk mengetuai Kelantan setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Semasa Tok Guru Nik Aziz dulu, dia tak pernah calonkan diri sendiri (menjadi menteri besar) dan Pas tak pernah warwarkan calon menteri besar tapi telah diwarwarkan dalam ceramah parti Semangat 46.

"Kenapa Semangat 46 namakan tok guru pada pendapat saya untuk berikan kejelasan kepada rakyat Kelantan bahawa kerjasama Pas dan Semangat 46 erat ataupun Angkatan Perpaduan Ummah pada ketika itu ada satu tokoh yang boleh diterima awam, yang boleh membawa perubahan.

"Kalau langsung tak ada tokoh dinamakan akan menimbulkan ketidakjelasan dalam pemikiran rakyat dalam gerakan perubahan," kata Husam yang juga penasihat Amanah Kelantan.

Bagaimanapun Naib Presiden Amanah itu menegaskan, perkara itu mesti dipersetujui oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

"Syaratnya parti-parti dalam Pakatan boleh terima. Kalau parti dalam pakatan tak terima, tak jadilah. Kalau mereka terima sementara bolehlah saya terima. Kalau ada orang lain yang lebih layak saya akan beri pada orang itu," katanya.

Pas yakin hilang kerajaan?

Mengulas mengenai Pas yang mengkritik hebat cadangan Kit Siang itu, Husam menganggap Pas yakin akan jatuh di Kelantan sehingga begitu prihatin terhadap calon menteri besar daripada Pakatan Harapan.

"Cadangan ini dikritik hebat oleh Pas. Saya rasa teruja kerana seperti Pas yakin akan hilang kerajaan. Kalau tak yakin hilang kerajaan kenapa nak bahas menteri besar orang lain. Dia kena namakan menteri besar Kelantan.

"Saya berterima kasih kerana Pas rasa dia tak nak jadi kerajaan sebab itu dia bahas boleh tak saya jadi menteri besar untuk ganti Kerajaan Pas," katanya sinis.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger