Home » , » Bila PAS menjadi khadam Umno

Bila PAS menjadi khadam Umno

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Julai 2017 | 3:52 PTG

Oleh Izmil Amri

SURAT terbuka Presiden PAS kepada parti-parti politik baru-baru ini adalah petanda jelas bahawa jiwa raga parti Islam itu sudah dibeli secara borong oleh Umno. Kalau akar umbi PAS belum menyedari hal ini, baiklah segera bangun tidur.

Hadi Awang dalam suratnya di hari-hari terakhir Ramadan itu membawa mesej penolakan terhadap dakwaan parti-parti pembangkang selama ini yang kini disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) ada bangkai yang sedang membusuk di bawah karpet mahal 1MDB.

Semua orang bersembang tentang hal ini sepanjang minggu lalu, ketika pulang beraya di kampung halaman, sambil menyantap semperit dan teh o panas. Semua orang bercakap dan mempersoal benda yang sama. Kecuali barangkali di rumah Hadi Awang.

Mungkin di rumah Hadi Awang, apa yang menjadi topik perbualan di petang 1 Syawal ialah bagaimana PAS dapat menyusup masuk ke dalam struktur pentadbiran kerajaan Barisan Nasional melalui pintu belakang, tanpa perlu berpenat lelah turun ke jalanraya dan diheret ke lokap dan mahkamah, seperti yang menjadi kebiasaan buat bertahun-tahun lamanya.

Cara yang mereka temukan (mungkin) ialah dengan menjadi penasihat dan bertenggek di pintu pagar Sri Perdana, dan menadah kupiah masing-masing sepanjang-panjang jalan hingga ke muka pintu.

Ya dakwaan ini kasar, saya tahu. Saya mohon maaf di bulan mulia ini. Namun, hakikatnya PAS sudah sah menjadi khadam dan pesuruh kepada sebuah sistem yang sedang cuba ditewaskan majoriti rakyat Malaysia. Dan kerana itu, PAS secara automatik menjadi musuh kita semua.

Dalam isu dana 1MDB dan skandal yang menghurungnya, pendirian yang tegas harus diambil bagi sekurang-kurangnya mengecam penyalahgunaan dana berdaulat milik negara itu.

PAS tidak kelihatan jelas apa sebenarnya pendirian politik yang diambilnya. Ia malah menolak pelawaan blok pembangkang untuk sama-sama mendesak supaya semua pihak yang terlibat dalam skandal terbabit diheret ke muka pengadilan.

Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus, ketika menolak pelawaan Pakatan Harapan itu berkata parti mereka tidak terikut-ikut dan tidak terpengaruh dengan pihak luar seperti DoJ.
Ia kononnya menolak campurtangan pihak ‘luar’ dan mendesak siasatan di peringkat tempatan sahaja.

Si Khairuddin ini barangkali sudah lupa bahawa siasatan peringkat tempatan terhadap skandal 1MDB telah menemui jalan buntu, dan habis semua tukang siasatnya sudah ditukar dan diberhentikan belaka.

Khairuddin juga barangkali tidak menumpukan perhatian di Parlimen bagi memahami apa yang dibahaskan tentang skandal 1MDB oleh pihak-pihak yang punya autoriti dalam kerajaan sendiri; seperti bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yaasin dan juga bekas menteri kewangan kedua, Ahmad Husni Hanadzlah.

Itu baru Khairuddin. Belum lagi Hadi Awang yang hadir ke Parlimen pada kekerapan yang boleh dikira dengan jari barangkali.

Pendirian Hadi Awang melalui suratnya itu dibuat berasaskan ketidakfahaman tentang situasi. Beliau melanjutkan naratif ‘campurtangan asing’ yang direkayasa oleh Umno, ketimbang mendukung desakan pemimpin pembangkang yang disokong tindakan undang-undang di beberapa negara seluruh dunia (bukan Amerika sahaja) terhadap salahlaku dan skandal membabitkan tabung ayam Najib Razak itu.

Akar umbi PAS harus perlahan-lahan cuba menghadam keadaan politik semasa dan melihat kepada struktur partinya yang sini terpecah tiga, angkara pendirian politik parti mereka yang sedang mempunyai masalah kepimpinan.

Tiga kumpulan dalam PAS ini adalah; pertama, kumpulan yang mahu bergabung dengan Umno dan menjual cerita hudud, perpaduan Melayu-Islam dan segala yang sewaktu dengannya. Kedua adalah kumpulan yang tidak mahu bergabung dengan Umno, dan dalam diam memilih untuk bertawaquf daripada terlibat bersekongkol dengan agenda perpaduan itu.

Kumpulan ketiga adalah kumpulan yang paling penting. Ini adalah kumpulan yang sudah lebih setahun menyedari bahawa tanzim PAS sudah kena kencing hangit dengan Umno dan sedang mengusahakan cara-cara untuk kembali bekerjasama dengan parti-parti pembangkang tanpa menjatuhkan air muka mereka.

Ya, kita tahu tentang usaha itu. Ada bahagian dalam PAS yang sedang jenuh memikirkan cara bagaimana untuk kembali menyatu dengan rakan-rakan lama dalam Pakatan Harapan, demi menjahanamkan sebuah sistem yang sudah diperanginya sejak puluhan tahun lampau. Kumpulan ini tidak mahu menjadi khadam kepada Umno, dan tidak boleh dibeli jiwanya dengan sumbangan berapa puluh juta sekali pun.

Akar umbi PAS mesti tahu dan mesti diberitahu. Tanzim jemaahnya berpecah tiga. Hanya satu yang mahu terus bertenggek di pintu istana Barisan Nasional. Jauhilah khadam-khadam belaan Umno ini. Nescaya kamu akan selamat. –

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger