Home » » Ketua umum, pengerusi dan presiden: Merungkai makna dan peranannya

Ketua umum, pengerusi dan presiden: Merungkai makna dan peranannya

Written By Wadah Baru on Ahad, 23 Julai 2017 | 9:13 PTG

Oleh Zin Mahmud
Ketua Umum pada asalnya adalah istilah yang digunakan di Indonesia dan ia tidak pernah ada di Malaysia atau di Malaya, iaitu setakat yang penulis tahu, sebelum penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999. 
Apabila Keadilan ditubuhkan, yang menjadi ketua seharusnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun apabila beliau ditahan dalam penjara, maka jawatan presiden tidak boleh disandang. Maka jawatan itu dipegang oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagaimanapun, umum tahu Anwar mengetuai Keadilan dengan keputusannya dipatuhi oleh parti itu. Maka beliau disebut sebagai “de facto leader” iaitu pemimpin sebenar tetapi tidak rasmi. Apabila diterjemahkan, pihak Keadilan menggunakan istilah “Ketua Umum”.
Di Indonesia, istilah “ketua umum” biasa digunakan oleh pertubuhan dan parti. Ia bermaksud ketua tertinggi yang mewakili pertubuhan berkenaan, membuat keputusan dan memberi arahan.
Tetapi pelaksanaan arahan pula dibuat oleh pemegang jawatan “ketua harian”. Apa yang dimaksudkan dengan harian ialah pengurusan atau pentadbiran harian. Maknanya ketua harian ialah ketua eksekutif. Sebab itu Jawatankuasa Eksekutif atau Jawatankuasa Kerja juga disebut sebagai Dewan Harian.
Maka istilah ketua umum terus digunakan untuk Anwar apabila Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Begitu juga apabila Pakatan Rakyat ditubuhkan dengan penyertaan PKR, PAS dan DAP. Anwar bukan saja merupakan ketua umum PKR tetapi juga Pakatan Rakyat.
Begitu juga apabila Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan bagi menggantikan PR yang terbubar ekoran konflik PAS dengan DAP. Maka Anwar terus menjadi ketua umum PH yang disertai oleh PKR, DAP dan Amanah. Maka kedudukannya dikekalkan walaupun PPBM menyertainya.
Signifikan ketua umum
Ketua umum masih diterjemahkan sebagai “de facto leader” tetapi signifikan gelaran itu ternyata membawa implikasi yang lebih besar daripada maksudnya.
Walaupun sejak Keadilan ditubuhkan adalah difahami Anwar merupakan calon perdana menteri bukan saja oleh parti itu tetapi juga PR. Ia bermakna PKR, DAP dan PAS ketika dalam PR ada menyokong ketua umum mereka sebagai calon PM.
Hanya apabila PR runtuh, PAS tidak lagi menyokong Anwar sebagai PM. Namun begitu, parti serpihan PAS, Amanah bersama PKR dan DAP tetap mendokong Anwar sebagai ketua umum mereka menjadi calon PM.
Bagaimanapun, timbul masalah apabila PPBM menyertai PH. Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri. Sungguhpun begitu, beliau menyatakan tiada halangan baginya jika Anwar menjadi PM. Nampaknya tiada halangan itu tidak bermaksud menyokong.
Setelah dilihat Dr Mahathir bertemu dengan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan kemudiannya mesyuarat panjang sebelum sidang media PH minggu lalu, maka dapat dikesan bahawa keputusannya adalah mengekalkan nama ketiga-tiga jawatan utama pemimpin bagi Pakatan Harapan yang ada, tanpa menyebut siapakah bakal calon PM.
Maka ketua umum Pakatan Harapan kekal Anwar. Pengerusi PPBM pula juga adalah pengerusi PH dan presiden PKR adalah juga presiden Pakatan Harapan.
Nampaknya pemimpin DAP boleh menerima struktur sedemikian. Timbalan presiden PH pula terdiri daripada setiausaha agung DAP, presiden Amanah dan presiden PPBM.
Namun begitu, ditetapkan bahawa dalam PH, jawatan tertinggi adalah ketua umum, diikuti dengan pengerusi, kemudian barulah presiden.
Dari segi bahasa, ketiga-tiga perkataan itu bermaksud ketua bagi sesebuah pertubuhan, persatuan dan parti politik. Maka dalam parti politik, ada yang menetapkan ketua dipanggil ketua umum seperti yang berlaku di Indonesia, “pengerusi” seperti yang dilakukan oleh DAP dan “presiden” di banyak parti politik.
Parti perkaderan seperti DAP mengasingkan jawatan pengerusi yang merupakan ketua umumnya dan setiausaha agung bertindak sebagai ketua harian. Seperti mana dalam PKR, presidennya adalah ketua hariannya.
Sejarah jawatan parti politik
Dalam sejarah Malaysia, istilah presiden pula mula banyak digunakan sekitar awal tahun 1970-an. Sebelum itu persatuan, pertubuhan dan parti politik menggunakan istilah Yang Dipertua. Apabila diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Yang Dipertua menjadi presiden.
Akhirnya orang di Malaysia menggunakan istilah presiden menggantikan Yang Dipertua. Pada asalnya, Umno dan PAS juga menggunakan istilah Yang Dipertua tetapi kini kedua-duanya menukarkannya kepada presiden.
Istilah presiden digunakan lebih awal lagi di Indonesia untuk jawatan ketua negara mereka. Maka dalam bahasa Melayu, termasuk Indonesia, istilah presiden adalah terjemahan kepada “president” yang merujuk pada ketua negara yang mengamalkan sistem republik.
Di Indonesia, pada awalnya ketua bagi pertubuhan dan parti politik tidak menggunakan istilah presiden. Untuk itu ia menggunakan istilah ketua umum.
Dalam sejarah dunia, istilah presiden bagi negara mula digunakan oleh Amerika Syarikat. Ia datang daripada perkataan “preside” atau orang yang mempunyai kuasa dalam sesebuah mesyuarat.
Nama ini adalah selaras dengan fahaman demokrasi yang dibawa oleh sistem pemerintahan Amerika.
Kalau ikut asal makna, presiden adalah sama makna dengan pengerusi. Sementara ungkapan to preside adalah sama maksud dengan to chair, atau mempengerusikan mesyuarat. Ini membawa kepada perkataan “chairman” yang dicipta di Britain.
Pada mulanya “chairman” bermaksud orang yang mempengerusi mesyuarat, dan kemudian ia merebak menjadi pengerusi lembaga pengarah syarikat, dan seterusnya pengerusi syarikat, bermaksud ketua umum pada syarikat.
Istilah pengerusi juga digunakan di Malaysia, dan sebelumnya di Malaya. Ia terjemahan secara langsung daripada perkataan “chairman”. Pengerusi dari perkataan kerusi seperti mana “chairman” dari perkataan “chair”. Namun pada awalnya ia hanya merujuk kepada seseorang yang mengendalikan atau mempengerusikan mesyuarat dan sidang. Ia tidak merujuk pada mengetuai persatuan atau pertubuhan.
Maka istilah ketua umum, pengerusi dan presiden PH yang walaupun merupakan hasil daripada kompromi politik bertujuan mempersatukan Dr Mahathir dan Anwar, tetapi masing-masing mempunyai peranan tersendiri.
Peranan 3 jawatan tertinggi PH
Ketua PH adalah Anwar. Tetapi pemimpin yang mempengerusikan mesyuarat Dewan Presiden ialah Dr Mahathir. Sebagai pengerusi, beliau boleh menetapkan hala tuju perbincangan seperti yang dilakukannya pada malam Jumaat lalu, sebelum sidang media itu.
Tapi bagi pelaksanaan perjalanan PH, ia terletak pada bahu presidennya, Dr Wan Azizah.
Tidakkah Dewan Presiden itu merupakan badan tertinggi PH, yang ketuanya adalah presiden walaupun mesyuarat dipengerusikan oleh pengerusi? Dewan Presiden itu adalah Dewan Harian atau Jawatankuasa Eksekutif. Tetapi ketua PH tetap adalah Anwar.
Tidak disebut siapa calon PM. Sementara Dr Mahathir pula telah menyatakan tidak ada PM sementara atau interim. Namun begitu beliau tidak menghalang Anwar untuk menjadi PM. Maka akhirnya keputusan pilihan raya umum ke-14 akan menentukan siapa akan menjadi PM andai kata PH menang.
Sementara itu, Anwar yang dalam penjara tentu tidak bertanding dan beliau tidak akan menjadi PM walaupun merupakan ketua bagi PH.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger