Home » , » Pakatan Harapan di Selangor tumbang jika PKR masih bersama Pas

Pakatan Harapan di Selangor tumbang jika PKR masih bersama Pas

Written By Wadah Baru on Ahad, 2 Julai 2017 | 12:38 PG

Oleh Arif Atan

PKR di Selangor boleh berkongsi kerusi mereka pada masa ini dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika berminat untuk terus bekerjasama dengan Pas di luar daripada kerangka Pakatan Harapan, tegas Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim.

Walau bagaimanapun, ujarnya, komposisi majmuk pengundi di negeri itu dijangka mengundang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya tetap bekerjasama dengan Pas yang kini dilihat mesra Umno-BN.

"Sekiranya, pengundi bukan Melayu menolak Pakatan Harapan kerana masih bersama Pas maka kerajaan Pakatan Harapan Selangor akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang," ramalnya.
Timbalan Pengarah Strategi Amanah Nasional itu berkata, sebarang keputusan untuk bertanding mana-mana kerusi akan diputuskan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan.

"Pas bukan komponen dalam Pakatan Harapan. Amanah tidak bersedia untuk berkongsi kerusi dengan parti yang bukan daripada Pakatan Harapan," tegasnya ketika dihubungi
Kedudukan semasa Dun di Selangor menyaksikan Pakatan Harapan (PKR-Amanah-DAP) menguasai 30 kerusi, Pas 13, BN 12 dan Bebas 1 kerusi.

Mengulas sikap pengundi bukan Melayu, Izham berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun tahun lalu bukti segmen pengundi terbabit menolak Pas.

"Kemungkinan tinggi mereka menolak parti lain yang masih mahu bekerjasama dengan Pas seperti kata Datuk Husam Musa, jangan kita anggap bahawa pengundi bukan Melayu akan sentiasa berpihak dengan kita," ujarnya.

Husam yang merupakan Naib Presiden Amanah kelmarin berpendapat Pakatan Harapan di Selangor terancam jika PKR masih mahu bekerjasama untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di 15 Dun yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau dalam program Dialog Isu Semasa Perantau Bersama Pakatan Harapan di Kota Bharu itu berkata, risiko kerajaan Pakatan Harapan di negeri berkenaan tumbang tidak dapat dielak memandangkan Pas hampir pasti kalah di kesemua kerusi yang mempunyai kira-kira 20 peratus pengundi Cina.

Lanjut, Izham menjangkakan pengundi bukan Melayu mungkin mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi jika sudah sampai tahap "menyampah" dengan BN dan Pakatan Harapan.

"Mungkin juga mereka (pengundi bukan Melayu) akan pilih calon-calon yang dirasakan berakhlak dan membawa mesej perubahan sahaja daripada Pakatan Harapan dan bukan semua calon Pakatan Harapan," ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegur penggunaan kata "kerajaan PKR" di Selangor memandangkan, jelasnya, tanpa DAP dan Amanah, PKR tidak akan mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya kurang bersetuju bahawa kerajaan Selangor adalah kerajaan PKR. Namun, tanpa Pas masih cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Pakatan Harapan Selangor. Mesti sebut kerajaan Pakatan Harapan Selangor," tegasnya lagi.

Untuk rekod, purata peningkatan undi Cina untuk Pas di Selangor naik daripada 42.9 peratus pada PRU-12 (2008) kepada 70.3 peratus pada PRU-13 ketika Pas masih bersama dalam Pakatan Rakyat sekaligus menyumbang pertambahan daripada lapan kepada 15 kerusi Dun.

Bagaimanapun, perpecahan Pas menyebabkan dua daripada Adun Pas iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) mengambil keputusan untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger