Home » , » Kit Siang gesa pengundi Kelantan gulingkan PAS pada PRU14

Kit Siang gesa pengundi Kelantan gulingkan PAS pada PRU14

Written By Wadah Baru on Ahad, 2 Julai 2017 | 12:35 PG

DAP tidak akan bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sejak kebelakangan ini memfokuskan kempennya di negeri pantai timur yang dikuasai PAS.

Penasihat parti itu, Lim Kit Siang memberitahu pengundi di sana mereka perlu "membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu" dengan mengubah kerajaan negeri dan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis dialog dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) semalam di Gua Musang, Kelantan, pemimpin Parlimen DAP itu berkata PAS kehilangan cengkamannya di negeri itu, yang menjadi kubu kuat parti Islam selama hampir 30 tahun.

"Saya rasa PAS mungkin kehilangan kuasa di Kelantan, dan ujian terbesar PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah sama ada ia mampu mengekalkan kuasa di Kelantan, yang dimenangi 27 tahun lalu di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya ketika berucap.

Lim berkata terdapat banyak sebab bagi pengundi Kelantan mengubah pentadbiran negeri, seperti isu pembalakan yang menyumbang kepada banjir pada 2014, kemiskinan di kalangan penduduknya dan hutang kerajaan negeri sebanyak RM1.4 bilion kepada kerajaan persekutuan.

Isu lain yang dikatakannya ialah kepimpinan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang membentuk PAS "sangat berbeza" daripada parti yang memenangi Kelantan pada 1990 di bawah kepimpinan Nik Aziz, dan parti yang memainkan peranan penting dalam membentuk Barisan Alternatif pada 1999 di bawah bekas presiden PAS Fadzil Noor.

Lim berkata masih ada harapan untuk mencapai perubahan politik menerusi proses pilihan raya, dan pengundi di Kelantan mampu mengubah kerajaan negeri dan persekutuan pada PRU14.
"Ini sepatutnya menjadi objektif PH untuk PRU14 – membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu di Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor, sambil mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Lim, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, melawat negeri Pantai Timur, termasuk Kelantan, sepanjang tempoh Hari Raya.

Dalam ucapannya di sana, beliau mengingatkan orang ramai supaya bersatu menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal.

Beliau bercakap tentang skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan "hubungan selesa" antara PAS dan Umno.

Pada malam Hari Raya, Hadi dilaporkan mengeluarkan surat terbuka kepada semua parti politik, meminta mereka berhenti menyerang Perdana Menteri Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Ia disiarkan selepas Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman sivil terbaru untuk merampas aset bernilai berbilion ringgit yang dibeli dengan wang yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.
Dakwaan Hadi yang PAS boleh menawan lima negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Selangor – mendorong Lim mempersoalkan sama ada PAS boleh mengekalkan Kelantan disebabkan kepimpinan semasa dan dasar "mesra Umno" atau kehilangan kubu lama seperti Terengganu pada 2004.

Pada majlis Hari Raya yang dianjurkan beberapa cawangan DAP di Kota Baru pada Khamis, Lim berkata beliau berharap pada Hari Raya tahun depan, Kelantan akan mempunyai kerajaan negeri dan menteri besar baru.

Beliau juga berkata berharap Husam Musa, bekas pemimpin tertinggi PAS yang kini penasihat Amanah di Kelantan, akan menjadi menteri besar baru negeri itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger