Pakatan Harapan menggesa kerajaan mengeluarkan Kertas Putih berkenaan
dakwaan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada
sidang tergempar Parlimen susulan pemfailan ketiga Jabatan Keadilan
(DoJ) Amerika Syarikat baru-baru ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata,
fakta-fakta daripada kerajaan itu harus menjawab segala kemusykilan
rakyat yang timbul ekoran jumlah dana 1MDB yang didakwa diseleweng telah
mencecah hampir AS$4.47 bilion (RM19.15 bilion) mengikut dokumen
mahkamah.
Menurutnya, reaksi menteri bahawa segala dakwaan DoJ kononnya
bermotif politik atau campur tangan asing tidak mencukupi untuk
menangkis segala persoalan yang didedahkan.
"Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka
kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan
laporan siasatan daripada institusi-institusi siasatan negara melalui
Kertas Putih di Parlimen," katanya pada sidang media di Parlimen hari
ini.
Beliau yang turut disertai ahli parlimen Amanah, DAP, PSM dan Warisan
serta wakil PPBM juga mendesak seluruh agensi berwajib seperti Jabatan
Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank
Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka
kembali kertas siasatan.
"Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya sembilan
negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun, kertas siasatan
ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia.
"Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini.
"Tumpuan harus diberikan untuk membersihkan nama negara dan
menyelesaikan kemelut melanda yang diakibatkan oleh skandal
penyelewengan 1MDB," tegas mereka.
Sehubungan itu, satu Jawatan Kuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action
Committee) yang akan merangka strategi dan respon pembangkang terhadap
isu 1MDB akan diwujudkan.
Pihak pembangkang juga akan membuat laporan bersama kepada SPRM serta BNM bagi menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula.
Turut bakal dilakukan siri jelajah penerangan terkini isu skandal
penyelewengan dana 1MDB ke seluruh negara dengan dimulakan di Dewan JKKK
Penaga, Kepala Batas pada 6 Julai ini dan diakhiri perhimpunan rakyat
pada September.
"Kami juga menyeru kesemua parti pembangkang mengenepikan segala
perbezaan dan berkerjasama serta bersatu tenaga untuk membawa mereka
yang terlibat di dalam skandal penyelewengan dana 1MDB ke muka
pengadilan," katanya.
Saman ketiga DoJ kali ini antara lain menyatakan tentang sumbangan
yang patut dipulangkan semula oleh Malaysian Official 1 (MO1) kepada
putera Arab Saudi (kini "Saudi Account") telah diguna untuk membeli
barangan kemas untuk isteri MO1 termasuk kalung berlian 22 karat
berwarna merah jambu.
Kerajaan digesa keluarkan Kertas Putih skandal dana 1MDB
Written By Wadah Baru on Khamis, 29 Jun 2017 | 12:31 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan