Home » , » Pengerusi PH tidak semestinya calon PM, kata PKR

Pengerusi PH tidak semestinya calon PM, kata PKR

Written By Wadah Baru on Rabu, 28 Jun 2017 | 9:02 PG

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya menjadi calon perdana menteri gabungan itu, kata seorang pemimpin kanan, menjelaskan mengenai kekeliruan di kalangan penyokong mereka.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata walaupun pengerusi PH mungkin akan diumumkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon perdana menteri gabungan itu hanya akan diketahui selepas pilihan raya.

Beliau berkata keputusan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim menarik diri tidak bermakna Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad akan secara automatik menjadi calon perdana menteri PH.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata jawatan pengerusi PH hanya untuk memenuhi syarat Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar gabungan itu dapat didaftarkan secara rasmi dan menggunakan satu logo pada PRU14.

Katanya, isu tentang siapakah bakal perdana menteri hanya akan dibincang dan dirundingkan di antara parti komponen PH jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

“Pengerusi dan perdana menteri adalah dua perkara yang berbeza. Satu ialah struktur PH yang bakal diberikan kepada RoS,” kata Nurul Izzah dalam satu temu bual eksklusif bersama The Malaysian Insight di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Seperkara lagi, pemimpin yang bakal mendapat sokongan majoriti supaya dinobatkan sebagai perdana menteri.”

Pandangan Nurul Izzah itu selari dengan kenyataan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini.

Nurul Izzah mengakui terdapat kekeliruan di antara kedua-dua jawatan itu di kalangan orang ramai disebabkan struktur Barisan Nasional (BN) di mana pengerusi dan timbalan pengerusi secara automatiknya menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri

Katanya, pemerintahan BN selama 60 tahun menyebabkan orang ramai beranggapan PH akan mempunyai struktur sama.

“Sebab itu kita harus bergerak di luar kepompong BN,” katanya.

Sewaktu Pakatan Rakyat masih wujud, gabungan itu tidak pernah mempunyai jawatan pengerusi. Idea tentang jawatan itu muncul selepas Bersatu menyertai PH akhir tahun lalu.

PH terdiri daripada Bersatu yang diketuai bekas pengerusi BN, Dr Mahathir, PKR, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir sebagai ketua

Nurul Izzah enggan terjerat dalam debat siapa yang beliau fikir untuk mengetuai PH atau menjadi calon perdana menteri.

Parti komponen PH kini tersepit di antara Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah yang juga ibu kepada Nurul Izzah.

Difahamkan parti dalam PH sudah bersetuju agar Dr Mahathir menjadi pengerusi akan tetapi tergendala disebabkan satu bahagian dalam PKR masih sangsi dengan bekas perdana menteri itu.
Ketika ditanya apakah beliau akan menyokong Dr Mahathir sekiranya itu merupakan pilihan PKR untuk calon PH, Nurul Izzah berkata:

“Saya mahu menjadi penyatu kepada semua hati. Jika jawapan yang jelas akan menambah kepada polemik, tidak perlulah saya sebut secara terbuka.

“Itu merupakan delibrasi yang akan saya adakan bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan.”
Beliau berkata, PH tidak memerlukan lagi polemik yang “tidak membantu” gabungan itu.

“Apa yang penting integriti dipertahankan, reformasi dilaksanakan supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik.”

Nurul Izzah bagaimanapun berkata keputusan Anwar tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri tidak bermakna secara automatiknya Dr Mahathir mengetuai PH.

Sebelum Anwar menarik diri pada 17 Jun, pilihan calon perdana menteri PH adalah beliau, Dr Mahathir, Dr Wan Azizah dan Muhyddin Yassin.

Selepas Anwar mengumumkan keputusannya, The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin juga melakukan perkara sama.

“Anwar ialah seorang demokrat. Maka beliau sangat menghormati daripada segi delibrasi di antara pimpinan dan itulah budaya yang kita amalkan dalam Pakatan Rakyat satu ketika dulu.

“Pada masa sama kita harus ingat, beliau juga tidak mahu namanya diguna pakai oleh segelintir pihak yang mengatakan semuanya diterima atau ditolak kerana Anwar Ibrahim. Itu jelas.

“Tetapi bukan bermaksud beliau menyokong secara serta merta peralihan kepada contohnya bekas perdana menteri yang akan memegang tampuk kuasa,” katanya

1 ulasan:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    BalasPadam

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger